Kementerian Kewangan Malaysia telah mengesahkan bahawa tempoh pengecualian cukai jualan SST yang sepatutnya tamat pada 31 Disember 2020 ini telah dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021.
Pengumuman yang berlaku 3 hari sebelum 31 Disember 2020 tersebut memberikan ruang yang sangat sempit bagi pihak pengeluar kereta menyesuaikan perancangan syarikat.
Hal ini kerana senarai harga untuk model 2021 perlu ditarik balik dan dikemaskini, hanya 3 hari sebelum tahun 2020 menutup tirai.
Sesetengah pengeluar kereta mengalu-alukan inisiatif ini manakala sesetengah pengeluar yang lain bakal dibebani dengan tugas-tugas yang lebih mencabar. Ini bergantung kepada barisan model yang ditawarkan (dan bakal dilancarkan) dengan jumlah stok yang ada.
Situasi yang sedikit kacau bilau ketika pengumuman insentif PENJANA ini diumumkan pada bulan Jun 2020 dijangka akan berlaku semula.
Pengeluar bergelut untuk memenuhi permintaan yang mendadak ketika pengumuman pengecualian cukai SST diumumkan dan tugas-tugas seperti pesanan komponen, logistik dan sebagainya perlu ditingkatkan.
Kilang pemasangan memerlukan sekitar 3 - 6 bulan untuk merancang operasi pengeluaran yang lancar. Namun lanjutan pengecualian cukai SST ini hanya diumumkan selama 3 hari sahaja sebelum tarikh tamat asal.
Jenama kereta yang telah meningkatkan jumlah stok kenderaan dengan harapan dapat menghabiskan kesemuanya sebelum 31 Jan 2021 kini menghadapi masalah.
Mereka perlu menghabiskan kereta buatan tahun 2020 terlebih dahulu sedangkan pembeli baharu akan menunggu kereta buatan tahun 2021.
Sesetengah pengedar juga memberitahu Wapcar.my bahawa mereka tidak dapat memenuhi sasaran tahun 2020.
Hal ini kerana kebanyakan pembeli telah memutuskan untuk menangguhkan pembelian mereka kerana tidak terburu-buru untuk mendaftarkan kereta sebelum 30 Jan 2021.
Walaubagaimanapun jenama kereta mewah yang selalunya mempunyai tahap simpanan stok yang sangat rendah, menyambut baik langkah tersebut.
Wakil sebuah syarikat jenama kereta mewah memberitahu Wapcar.my bahawa mereka sangat mengalu-alukan inisiatif ini.
Untuk jenama kereta arus perdana dengan sasaran jualan bulanan yang tinggi, terdapat perasaan yang bercampur baur.
Inisiatif PENJANA ini membantu memacu permintaan yang tinggi tetapi pengumuman yang terlalu singkat telah mengganggu perancangan tahunan syarikat. Bagaimana pula pandangan anda sebagai pembeli?