Seperti di peringkat global, pasaran Malaysia mula didedahkan dengan pelbagai produk motosikal/skuter elektrik menerusi pengenalan beberapa jenama terkemuka dan syarikat pengeluar, pengedar motosikal tempatan, MForce Bike Holding (MForce) dijadual menyertai persaingan itu, tahun depan.
Tiada pengumuman rasmi mengenainya setakat ini, tetapi menurut sumber, MForce akan menjalankan kerjasama dengan salah satu syarikat pengeluar motosikal/skuter elektrik terkemuka China iaitu Yadea.
Juga baca: Ni Hsin EV Tech lancar 2 model skuter elektrik, TailG Ebixon Bold, Torq, harga asas mula RM 9k!
Seperti diketahui, motosikal/skuter elektrik sememangnya cukup popular dan dominan di China dan beberapa jenama sudah pun, atau bakal membuat kemunculan di pasaran global.
Dan untuk Yadea, syarikat berkenaan adalah salah satu syarikat pengaluar skuter elektrik terbesar di negara kuasa besar itu dengan lebih daripada 50 juta unit produk termasuk motosikal/skuter elektrik jenama itu sudah pun terjual di seluruh dunia.
Dalam perkembangan terbaharu di peringkat antarabangsa, Yadea dijadualkan akan membawa masuk model terbaharu skuter elektriknya dikenali Yadea G5S ke pasaran Eropah.
Juga baca: Skuter elektrik Yamaha E01 2022 didedahkan, Malaysia antara destinasi terpilih!
Sebagai penawaran terbaharu, Yadea G5S dikatakan akan menjadi skuter elektrik paling praktikal dibangunkan jenama itu setakat ini.
Dari sudut rekaan, Yadea G5S tampil dengan rekaan yang kompak, dan dicipta untuk penggunaan bandar. Begitupun, ia tidaklah begitu 'comel' dan pelananya mampu membawa penunggang/pembonceng dewasa dengan selesa.
Untuk lebih praktikal, Yadea menggunakan 'setup' dual bateri sebagai standard dengan kuasa yang dihasilkan adalah setinggi 2.8 kw/h.
Setiap unit bateri mempunyai berat 11.5 kg dan Yadea mendakwa, setiap pengecasan penuh, skuter berkenaan boleh mencapai jarak perbatuan sehingga 115 km.
Mengulas trenkuasa, Yadea G5S dijana motor elektrik dengan kuasa setinggi 4.1 kilowatts (sekitar 5.6 Hp). Menurut Yadea, G5S boleh dipacu sehingga 80 km/j.
Selain itu, ia turut mempunyai dua mod tunggangan untuk dipilih iaitu Eco dan Power dan pelbagai lagi ciri.
Jadi adakah model pertama kerjasama MForce/Yadea yang bakal tiba di Malaysia adalah Yadea G5S. Sama-sama kita nantikan.
Juga baca: Blueshark R1 dipertontonkan, skuter elektrik canggih lengkap ADAS, panel meter 10 inci IPS, pelancaran Q3 2023!