Setelah sekian lama, jenama motosikal premium dari Sweden, Husqvarna kembali menjengah pasaran Malaysia secara rasmi dan mempertaruhkan tiga model jalanan baharu yang dijangka berupaya memikat pengguna di negara ini.
Taruhan terbaharu yang dibawakan khas oleh Husqvarna Motorcycles Malaysia itu ialah Svartpilen 250, Svartpilen 401 dan 'cafe racer' Vitpilen 401.
Bagi sesiapa yang tidak begitu mengenali jenama motosikal Husqvarna, ia adalah syarikat pengeluar motosikal berasal dari Sweden yang diasaskan pada 1903 dan antara motosikal yang dikeluarkan ialah dari jenis motocross, enduro, supermoto dan motosikal jalanan.
Sebagai informasi, Husqvarna Motorcycles ketika ini dimiliki oleh syarikat pembuat motosikal terkenal dari Austria, KTM AG.
Berdasaran reka bentuk ketiga-tiga model jalanan baharu yang dibawa ke Malaysia kali ini, ia jelas mempunyai ciri-ciri unik gabungan klasik dan moden bergaya Eropah.
Berikut adalah spesifikasi ketiga-tiga model berkenaan.
Svartpilen 250
Model ini menggunakan rangka trellis dan hadir dengan enjin bersesaran 250cc, Silinder tunggal, Empat Lejang, Penyejuk Cecair dan dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan (Multi disc slipper clutch).
Ia mempunyai kuasa maksimum 31Hp dan Tork 24Nm disasarkan kepada pemilik motosikal yang tidak mahu menaiktaraf lesen B2 mereka.
Sistem suspensi menggunakan jenama WP Apex dengan fork di bahagian hadapan dan WP Apex Monoshock di bahagian belakang.
Sistem brek yang digunakan adalah dari jenama ByBre dengan angkup empat piston cakera 300 mm dan angkup tunggal terapung cakera 230 mm dibantu dengan sistem brek ABS Bosch 9.1MB.
Kapasiti tangki bahan api adalah 9.5 liter dengan ketinggian tempat duduk sekitar 835mm.
Harga jualan Svartpilen 250 adalah RM24,800.
Svartpilen 401
'Abang' kepada Svartpilen 250 ini dikuasakan oleh enjin 373cc yang sama seperti model KTM 390 Duke. Menggunakan Silinder tunggal, Empat Lejang, Penyejuk Cecair, ia menghasilkan 44Hp dan 37Nm dan turut dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan.
Sistem suspensinya adalah daripada jenama WP Apex dengan fork hadapan manakala WP Apex Monoshock di bahagian belakang.
Sistem brek yang digunakan adalah dari jenama ByBre dengan angkup empat piston cakera 320mm dan angkup tunggal terapung cakera 230mm dibantu dengan sistem ABS Bosch 9.1MB.
Kapasiti tangki bahan api adalah 9.5 liter dengan ketinggian tempat duduk sekitar 835mm dengan berat 152kg.
Lebih kepada bergaya scrambler, Svartpilen 401 boleh digunakan di laluan 'Offroad' ringan berikutan sudut tunggangannya lebih menegak dan menggunakan tayar 'dual purpose'.
Harga jualan Svartpilen 401 adalah harga RM29,800.
Vitpilen 401
Model 'Cafe Racer' ini dikuasakan enjin yang sama dengan Svartpilen 401 iaitu 373cc dengan kuasa yang dihamburkan juga sama iaitu 44 hp/37 Nm. Ia juga menggunakan sistem transmisi enam kelajuan (Multi disc slipper clutch) dan kerangka jenis trellis.
Sistem suspensi adalah jenis WP Apex boleh laras dengan fork hadapan 43mm di hadapan, dengan jarak pergerakan suspensi 142mm, serta WP Apex Monoshock di bahagian belakang dengan jarak pergerakan suspensi 150 mm.
Sementara sistem brek adalah dari ByBre dengan angkup empat piston cakera 320mm dan angkup tunggal terapung cakera 230mm dibantu dengan sistem brek ABS Bosch 9.1MB.
Saiz tangki bahan api adalah serupa dengan Svartpilen (9.5 liter) sementara ketinggian pelana juga sama iaitu 835mm namun berat lebih ringan, 151kg.
Sebagai perbezaan dengan Svartpilen 401, Vitpilen 401 lebih mudah dikendalikan di laluan berselekoh dan di pusat bandar berikutan sudut tunggangannya yang lebih sporty.
Harga jualan Vitpilen 401 ialah RM29,800.
Bagi mereka yang berminat untuk mencari jentera scrambler enduro, Husqvarna Motorcycle Malaysia turut menawarkan beberapa barisan model yang menarik seperti TE250i (RM44,000), TE300i (RM48,500), TE300i Rockstar Edition (RM57,800), FE 250 (RM49,000), FE 350 Rockstar Edition (RM58,800) Motocross FC 250 (RM42,500), Supermoto FS 450 (RM50,000).
Di Malaysia, motosikal Husqvarna dijual di tiga pengedar rasmi iaitu di bahagian utara (EL Chong Motor Trading Sdn Bhd), tengah (Welly World Cycle Sdn Bhd) dan selatan (Wheel Riders Malaysia Sdn. Bhd).
Komen