“Bila kena tukar minyak enjin eh?” – 4 tips mudah untuk anda!
Faisal · Feb 27, 2021 02:00 PM
0
0
Setiap pemilik kereta pasti tahu apa itu “servis”. Biasanya, servis kereta dilakukan setiap 10,000 km/6 bulan. Bagi anda yang belum tahu, perkara paling asas setiap kali servis dilakukan ialah menukar minyak enjin (juga dikenali sebagai minyak hitam atau minyak pelincir).
Secara asasnya, minyak ini berfungsi untuk menyejuk, membersih, dan melicinkan pergerakan komponen di dalam enjin. Walau bagaimanapun, sifatnya tidaklah kekal. Sampai masanya, minyak ini perlu diganti.
Disebabkan itulah syarikat pengeluar tetapkan jadual servis secara berkala sebagai langkah penjagaan. Kalau tidak, kereta anda berpotensi untuk berdepan dengan isu seperti:
1. Enjin bermasalah
Minyak enjin yang masih baru dan pekat diibarat seperti lapisan halus yang berkualiti di antara dua komponen yang bergerak. Namun apabila ia sudah cair, kotor atau berkurangan, enjin akan terasa lebih kasar disebabkan oleh komponen dalaman yang sudah bergeser.
Dalam kes tertentu, suhu enjin juga boleh meningkat sehingga panas lampau.
2. Bau hangit seperti bau terbakar
Secara teknikal, minyak enjin yang sudah lama tidak akan menyejukkan komponen dalaman secara efektif. Kesannya, enjin boleh menjadi terlalu panas sehinggakan minyak tersebut boleh terbakar di dalam sistem ekzos.
Hal ini lebih ketara kalau anda sendiri boleh mengesan bau hangit dari dalam kabin. Untuk kes tertentu, asap yang berwarna kelabu ataupun biru dapat dilihat keluar dari lubang ekzos.
3. Lampu amaran tekanan minyak menyala
Amaran tekanan minyak rendah (low oil pressure warning) merujuk kepada kekurangan kuantiti minyak enjin. Secara teknikal, ia memang akan berkurangan walaupun tidak ketara. Jika anda perasan, batang dipstick mempunyai penanda aras seperti low dan high.
Sukatan minyak enjin sepatutnya berada di antara kedua-dua penanda aras ini. Oleh itu, segera buat pemeriksaan di bengkel sekiranya amaran ini nyala di kluster instrumen kereta anda. Paling tidakpun, tambah minyak enjin terlebih dahulu.
4. Minyak semakin ‘kuat’
Minyak enjin yang sudah lama juga boleh meningkatkan penggunaan petrol kereta anda. Hal ini berpunca dari komponen enjin yang perlu bekerja lebih keras daripada biasa akibat minyak enjin yang sudah cair dan tidak lagi likat.
Konklusi
Kebiasaannya, minyak enjin yang baru berwarna coklat kekuningan. Lama kelamaan, ia akan bertukar ke warna hitam akibat pergerakan pelbagai komponen di dalam enjin. Untuk itu, anda boleh gunakan batang dipstick yang diberi untuk periksa warna minyak enjin kereta anda dari semasa ke semasa.
Seperti kaitan badan manusia dan darah, enjin kereta juga berkait rapat dengan minyak pelincir. Tetapi, sifatnya tidaklah kekal seperti darah.
Oleh itu, ia perlu ditukar dari semasa ke semasa supaya komponen dalam enjin berfungsi dengan lancar. Walau apapun, anda disarankan tukar lebih awal daripada tetapan servis berkala sekiranya terdapat tanda-tanda seperti yang dinyatakan di atas.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.