Hyundai Staria diacah - MPV hybrid 7 penumpang baharu, bakal ditawarkan di Malaysia?
Haris Β· Mar 11, 2021 09:00 AM
0
0
Hyundai baru-baru ini mengambil keputusan untuk tampil dengan rekaan futuristik yang lain dari yang lain. Malah, tawaran terbaru Hyundai iaitu Hyundai Staria menjadi iktisar (epitome) kepada keputusan rekaan yang dipegang oleh Hyundai ini.
Rekaan yang minimalis
Hyundai Staria adalah sebuah MPV 7 tempat duduk kompak dengan rekaan yang jauh ke hadapan. Rekaan yang dipertontonkan agak radikal, lampu hadapan berada pada bahagian bawah dan terdapat garisan lampu LED yang menyerupai animasi Robocop pada bahagian atas.
Hyundai telah lama bereksperimen dengan rekaan jalur lampu; paling hampir di Malaysia boleh dilihat pada bahagian lampu DRL Hyundai Elantra. Rekaan futuristik diserlahkan lagi dengan bentuk badan yang bersegi tanpa garis badan, memberikan rupa yang sangat minimalis.
Pada bahagian belakang, Hyundai Staria mengenakan blok lampu LED yang mengikuti gerbang pintu. Rekaan ini mirip kepada rekaan lampu belakang Hyundai Grand Starex tetapi dengan nuansa yang lebih minimalis.
Tema futuristik tidak hanya menghiasi bahagian luar. Bergerak ke bahagian dalam, Hyundai Staria menggunakan kemasan kulit, lampu ambien lembut, corong penyaman udara rekaan jalur dan sebuah skrin besar pada konsol tengah.
Tiada sebarang perincian spesifikasi yang didedahkan namun Hyundai mendakwa bahawa Hyundai Staria adalah komitmen Hyundai terhadap landskap Smart Mobility Solution Provider. Antara teras kepada landskap tersebut adalah mesra alam justeru Hyundai mungkin memberi petanda bahawa Hyundai Staria akan hadir dengan enjin hybrid atau berkuasa elektrik.
Nama Staria telah didaftarkan di Filipina
Carian mengenai Hyundai Staria mendapati bahawa tanda nama Staria telah didaftarkan sebagai harta intelek di Filipina dan beberapa negara lain. Malah, tanda nama Staria juga masih dalam pendaftaran di laman web harta intelek di Malaysia.
Semakan dari laman web harta intelek Malaysia
Menurut laporan MyIPO, nama Staria didaftarkan di bawah kelas kenderaan hybrid dan kenderaan elektrik. Adakah pengeluar kereta kini sedang menunggu Malaysia untuk tampil dengan polisi yang berpihak kepada kenderaan mesra alam?
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.