Kes "sewa dan curi" kereta semakin naik, perlu undang-undang spesifik untuk sewa kereta?
Mersita · Jan 24, 2023 12:00 PM
Kes kecurian kereta sewa, terutama sekali kereta mewah, semakin berleluasa lewat ini dan menekan pengusaha kereta sewa sehingga tiada jalan penyelesaian mudah bagi mereka dari segi undang-undang. Perkara ini bukan saja menyusahkan pengusaha sedia ada, namun ia juga berpotensi menghalang inovasi dalam industri sewa kereta untuk masuk ke Malaysia.
Sindiket curi kereta masa kini bukan saja tertumpu kepada kes curi kereta di lorong-lorong gelap pada waktu malam, seperti yang biasa kita dengar. Modus operandinya turut melarat ke perkhidmatan kereta sewa terkenal; dimana pencuri menyewa kereta untuk sehari dua, membuat bayaran kecil dan kunci terus diberi ke tangan mereka.
Sindiket ini akan pergi ke syarikat-syarikat sewaan kereta mewah dan kadangkala hanya perlu membayar fi minimum sebelum membawa kereta pulang. Kemudian, mereka akan ‘hack’ dan nyahaktifkan pengesan GPS kereta berkenaan sebelum membawanya lari.
Modus operandi ini bukan saja agak mudah untuk dilaksanakan, namun ia juga mengambil kesempatan keatas ‘grey area’ sistem perundangan yang tidak jelas dan spesifik bagi industri kereta sewa – membuatkan mereka berani untuk mencuri kereta-kereta mewah walau dari syarikat ternama.
Kes lampau dimana sebuah Toyota Alphard dicuri dari platform sewa kereta atas-talian, Trevo.
Memetik laporan The Star, banyak mangsa - terdiri daripada syarikat-syarikat kereta sewa ternama dan juga perkhidmatan sewa kereta atas-talian - mendakwa pihak berkuasa tidak menganggap kes-kes ini sebagai jenayah.
Mereka sekadar dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat peguam dan memfailkan kes “pelanggaran kontrak.” Namun, usaha ini boleh jadi lebih rumit kerana butiran penyewa yang diberi pencuri berkenaan hanya sekadar maklumat palsu supaya mereka sukar dikesan.
Penyewa juga selalunya wajib memberi swafoto bersama kad pengenalan (IC) masing-masing, tapi langkah ini juga tidak cukup untuk menjamin kepentingan pengusaha kereta sewa.
Akhirnya, sindiket ini akan mula menjual kereta sewa curi di pasaran terpakai dengan harga lebih rendah daripada nilai pasaran bagi menarik pembeli dengan pantas. Selain itu, mereka juga boleh membawa kereta ini ke Thailand untuk dijual atau dileraikan di pasaran alat ganti.
Populariti jual-beli di media sosial dan platform jualan atas-talian juga menjadikan aktiviti sindiket ini sukar untuk dikesan.
Mungkin ada di antara pembeli ragu-ragu untuk membeli kereta terpakai diiklankan dengan harga terlalu murah yang tak masuk akal. Namun, sindiket ini boleh memberi pelbagai alasan seperti kereta ‘loan default’ dan sebagainya.
Jika mangsa dapat mengesan pencuri ini sekalipun, mereka boleh diugut dengan bayaran RM 5,000 – 10,000 untuk dapatkan kereta mereka semula.
Antara model-model kereta yang menjadi sasaran popular sindiket ini termasuklah ‘king’ Perodua Myvi, Toyota Vellfire, Ford Ranger, Toyota Hilux, dan Proton Wira.
Jika anda pernah terdengar terma ‘Kereta JT’ atau ‘Jual Terus’ (direct sales), ‘Kereta Piang’, ‘Piang Lari Bank’, atau ‘Kereta Murah’ – besar kemungkinannya kereta-kereta yang dijual ialah kereta curi yang dipasang nombor plat palsu.
Menurut laporan The Star, salah seorang mangsa bernama Nasrul berkongsi tangkap layar gambar Toyota Hiace miliknya yang dicuri diiklankan di platform jual-beli atas talian.
Proton Wira pun masih dianggap ‘kereta panas’ - permintaannya tinggi di pasaran alat ganti.
Rakan mangsa cuba mendekati penjual berkenaan, namun dia diberitahu van itu sudahpun dijual. Menurut Nasrul, penjual berkenaan tidak mengiklankan harga untuk van tersebut dan hanya menyatakan tahun keluarannya. Tambahnya lagi, lelaki yang mencuri vannya itu turut aktif mengiklankan kenderaan-kenderaan lain untuk dijual di Facebook dan Telegram.
Tambahan pula, ramai mangsa mendakwa yang sindiket-sindiket ini boleh memberi geran untuk kereta-kereta curi ini kepada pembeli. Kebanyakannya ialah geran palsu dan ia hanya boleh dikesan jika pihak berkuasa membandingkan nombor siri chassis dan enjin dengan rekod atas-talian mereka.
Seorang lagi mangsa memberitahu yang kebanyakan kereta mewah mempunyai nombor chassis di kawasan yang sukar dicapai pada badan kereta dan ini menyukarkan penguatkuasa untuk membuat pemeriksaan.
Oleh itu, pencuri-pencuri ini boleh saja melepasi sekatan jalan raya dengan berani kerana mereka boleh terlepas dengan mudah.
Laporan The Star itu diakhiri dengan kenyataan polis yang berjanji untuk memberi maklumbalas keatas kes-kes ini.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.
Komen