Kilang kerajang tembaga untuk bateri EV, SK Nexilis, dibina di KK, Sabah
Mersita · Jan 29, 2021 01:00 PM
Berikutan peningkatan permintaan bagi produk dengan jejak karbon rendah, SK Nexilis akan membina kilang luar negaranya yang pertama di Kota Kinabalu, Malaysia. Langkah ini diambil untuk meningkatkan kapasiti produksi mereka dalam penghasilan kerajang tembaga bagi sel bateri untuk kenderaan elektrik (EV).
Kilang ini yang dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2023 di Kota Kinabalu Industrial Park akan mampu menghasilkan 44,000 tan kerajang tembaga bagi bateri EV dalam masa setahun – melonjakkan jumlah keseluruhan produksi SK Nexilis kepada 100,000 tan setahun.
SK Nexilis juga berkata yang mereka sedang mempertimbangkan untuk membuat pelaburan tambahan di Malaysia, Eropah, dan AS bagi mempertingkatkan tahap kesediaan mereka dalam pasaran kenderaan elektrik yang semakin berkembang di tahap global.
Sel bateri kereta elektrik
“Di kilang Malaysia itu, kami akan bina fasiliti yang boleh menggunapakai teknologi kami dengan sepenuhnya dalam pembuatan kerajang tembaga bateri yang paling nipis dan lebar,” kata CEO SK Nexilis, Kim Young-tae.
Syarikat Korea itu memilih Kota Kinabalu disebabkan oleh faktor bekalan elektrik di sana yang stabil dan murah. Kota Kinabalu juga cukup luas untuk perkembangan perniagaan mereka di masa hadapan.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.
Komen