MILDEF International Technologies telah melancarkan kenderaan berperisai mobiliti tinggi pertama buatan Malaysia. Kenderaan tersebut yang dinamakan sebagai Mildef HMA 4X4 telah dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat bumiputera yang juga merupakan pemain industri dalam sektor pertahanan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sri Mohd Nizam Kasa berkata kenderaan tersebut dibangunkan untuk menawarkan harga yang kompetitif di samping mengurangkan kebergantungan terhadap pembekal luar dan juga perkhidmatan selepas jualan.
MILDEF International Technologies (MILDEF) adalah syarikat perkhidmatan automotif kegunaan industri pertahanan Malaysia sebelum ini dikenali sebagai Kembara Suci. Model SOV yang dilancarkan ini pernah dipertontonkan secara prototaip ketika pameran Defense Service Asia yang berlangsung pada tahun 2018.
Kos pembangunan Mildef HMA 4X4 adalah sebanyak RM 16 juta dan merupakan hasil daripada tenaga anak watan yang juga merupakan jurutera berpengalaman. Bahagian casis, badan dan sistem adalah pembangunan tempatan dengan gandar, enjin dan transmisi merupakan komponen luar.
Spesifikasi enjin yang dinyatakan adalah enjin Caterpillar 7.2 liter diesel bercaj turbo dengan output kuasa sebanyak 330 hp kuasa kuda dan 1,116 Nm tork. Model Mildef HMA 4X4 ini mampu mencatatkan kelajuan maksimum sebanyak 110 km/j.
Mildef HMA 4X4 tidak mempunyai sebarang varian namun ia dibangunkan di atas platform yang membolehkan penyesuaian dibuat berdasarkan tempahan.
Menurut Nizam, beberapa negara luar turut berminat untuk mendapatkan khidmat Mildef HMA 4X4 manakala Angkatan Tentera Malaysia pula telah di prebiu dan masih dalam pertimbangan.
Dalam usaha menembusi pasaran luar, MILDEF bersedia untuk membenarkan sehingga 60% pemindahan teknologi yang merupakan antara syarat-syarat yang ditetapkan oleh negara luar.
Mildef HMA 4X4 ini mampu beroperasi dalam suhu -21°C hingga 49°C dan meredah air sedalam 1 meter. MILDEF juga dalam pembangunan untuk model mobiliti bersaiz kompak seperti Humvee dan juga model 6X6.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.