Nissan Magnite 2021 dilancarkan di Indonesia - SUV Nissan paling murah, bermula RM 59k!
Nissan Indonesia telah melancarkan Nissan Magnite 2021 semalam. SUV kompak tersebut telah disasarkan menjadi model SUV paling murah oleh Nissan dengan harga bermula daripada IDR 208,800,000 (RM 59,857).
Model SUV kompak ini pertama kali dibangunkan dan dilancarkan di India. Walaubagaimanapun, Nissan telah memberikan sedikit petanda bahawa ia akan hadir ke pasaran ASEAN dengan Indonesia menjadi negara pertama menerima Nissan Magnite 2021.
Nissan Magnite mempunyai jarak kelegaan tanah sebanyak 205 mm. Perbandingan saiz Nissan Magnite adalah seperti berikut:
Perbandingan Saiz | |||
Model | Nissan Magnite | Perodua D55L | Proton X50 |
Panjang (mm) | 3,994 | 3,995 | 4,300 |
Lebar (mm) | 1,758 | 1,695 | 1,800 |
Tinggi (mm) | 1,572 | 1,620 | 1,609 |
Jarak roda (mm) | 2,500 | 2,525 | 2,600 |
Nissan Magnite dijana oleh enjin tiga silinder 1.0 liter Turbo HRA0 yang dipadankan dengan transmisi CVT X-TRONIC atau 5 kelajuan automatik. Enjin ini mampu memberikan kuasa sebanyak 100 PS kuasa kuda dan 152 Nm tork.
Harga yang murah tidak bermakna ianya kosong. Nissan turut menawarkan ciri-ciri dan kelengkapan terkini antaranya adalah:
- Tire Pressure Monitoring System
- Around View Monitor (AVM) – kamera 360 darjah
- Panel instrumen TFT 7 inci dengan Drive Assist Display
- Stereng dengan butang kawalan dan cruise control
- Skrin infotainment 8-inci dengan Android Auto dan Apple Carplay (spesifikasi India)
- Smart Keyless Key dengan Butang Penghidup Enjin
Untuk keselamatan pula, Nissan menawarkan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengedaran Kekuatan Elektronik (EBD), Bantuan Brek Hidraulik (HBA), Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Pemula Bukit (HSA) dan 2 beg udara SRS.
Nissan Magnite ditawarkan dalam 3 varian dan 3 warna iaitu Blade Sliver, Onyx Black and Storm White. Terdapat juga pilihan tambahan warna 2 tona iaitu Flare Garnet Red + Onyx Black dan Pearl White + Onyx Black.
Harga Nissan Magnite di Indonesia adalah seperti berikut:
Harga Nissan Magnite 2021 | ||
Varian | Harga Indonesia | Tukaran Ringgit |
Upper MT | Rp 208,800,000 | RM 59,857 |
Premium MT | Rp 226,300,000 | RM 64,874 |
Premium CVT | Rp 238,800,000 | RM 68,457 |
Selepas Indonesia, Filipina dijangka akan menjadi destinasi seterusnya bagi SUV kompak ini. Belum ada sebarang khabar berita mengenai pelancaran Malaysia namun sebagai sebuah model yang disasarkan untuk pasaran ASEAN, model ini mungkin akan tiba di tanah air kita.


Haris Penulis
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.