Royal Enfield kembangkan 'langkah', kilang CKD ke-5 luar India di Nepal mula beroperasi!
Khairil ยท Jun 19, 2023 07:30 PM
0
0
Syarikat peneraju pengeluar motosikal 'semi-premium' global, Royal Enfield terus mengembangkan operasinya dengan mengumumkan pembukaan kilang pemasangan terbaharu di Nepal, baru-baru ini.
Firma pemilik jenama ikonik Britain namun kini milik India itu berkata, fasiliti pemasangan serba canggih di Nepal itu akan menjalankan pemasangan untuk dua model hangat, Royal Enfield Classic 350 dan Royal Enfield Scram 411.
Setakat ini, Royal Enfield sudah pun mempunyai empat kilang pemasangan CKD iaitu di Brazil, Thailand, Colombia dan Argentina selain kemudahan pembuatan dan pemasangan serba canggih yang terletak di Tamil Nadu, India.
Kemudahan serba canggih di Nepal itu terletak di daerah Birgunj dan dibina dengan kerjasama Kumpulan Triveni.
Ketua Pegawai Eksekutif Royal Enfield, B Govindarajan, pembukaan fasiliti CKD di Nepal mengulangi komitmen Royal Enfield buakn saja di negara berkenaan, namun kepada perniagaannya di rantau Asia Selatan.
Menurutnya, kemudahan CKD baru di Nepal juga selaras dengan strategi pengembangan global Royal Enfield yang bercita-cita tinggi untuk melabur dalam pasaran berpotensi besar untuk terus berkembang.
Menurut Royal Enfield, kilang CKD di Nepal dijangka mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan 20,000 unit motosikal setahun. Dan jumlah itu boleh ditingkatkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang berdasarkan prestasi pasaran di Nepal.
Sebagai rekod, pasaran Nepal ketika ini mencatat jualan kira-kira 1.6 juta unit motosikal setahun dengan hampir 65 peratus daripada jumlah itu membabitkan segmen lebih 150 cc.
Sebagai tambahan, Govindarajan berkata, syarikat itu bekerja keras untuk terus mengembangkan segmen motosikal kelas menengah ke seluruh dunia dan ia sudah mula menunjukkan kejayaan.
Selain membuka lima kemudahan CKD di pasaran Asia Pasific (APAC) dan Amerika Latin, syarikat itu juga sufah memulakan strategi pemasaran terus di negara kelahirannya, UK.
Di pasaran tempatan, Royal Enfield Malaysia mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dengan merekodkan 500 peratus pertumbuhan jualan tahun lalu. Antara model terbaharunya adalah Royal Enfield Hunter 350.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.