Syarikat pengeluar motosikal tempatan, MForce Bike Holdings (MForce) menerusi jenamanya WMoto baru saja melancarkan sebuah model terbaharu iaitu skuter ES125, yang hadir dengan tanda harga menarik bulan lalu.
Dan seperti tidak mahu melengahkan masa, syarikat berkenaan memaklumkan akan mengeluarkan satu lagi model baharu pada bulan ini.
Perkembangan menarik itu berdasarkan imej 'teaser' yang dibuat di laman Facebook rasmi jenama berkenaan, Wmoto Malaysia.
Imej berkenaan yang turut memaparkan 'siluet' lampu depan sebuah motosikal datang dengan kapsyen 'Something big is coming March 2021'.
Ia turut hadir dengan keterangan gambar "Let's make a BIG difference in your life. How big is it? Just wait and review yourself!" bersama tanda pagar #wmotomalaysia #wmoto #BIG
Tidak dapat dipastikan apakah model atau motosikal yang bakal dilancarkan syarikat berkenaan namun berdasarkan kapsyen, 'Big', ia mungkin motosikal dengan enjin bersesaran besar.
Sebelum ini, kami pernah melaporkan mengenai sebuah motosikal 'Super Moped' sedang menjalani ujian jalan raya, baru-baru ini.
Motosikal berkenaan tampak mirip seperti motosikal daripada syarikat China iaitu Yin Gang Flash 150. Seperti namanya, ia menggunakan enjin bersesaran 150 cc.
Sama ada ia adalah motosikal berkenaan atau tidak, ia tetap satu perkembangan yang menarik dan menambah pilihan buat pengguna motosikal di pasaran tempatan.
Setakat ini, WMoto sudah mengeluarkan empat model iaitu dua dalam segmen Moped (Cub Classic 110, VE1 110), Kruiser V16 dan terbaharu skuter ES125.
Seperti diketahui, motosikal yang dikeluarkan WMoto hadir dengan tanda harga yang menarik. Jadi, diharapkan motosikal terbaharu ini serupa sekalipun menggunakan enjin bersesaran besar.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.