Sebagai menghargai peminat setia pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP di Indonesia, Yamaha Indonesia melancarkan edisi khas 'Livery' pasukan berkenaan kepada beberapa modelnya, terbaru Aerox 155 (NVX 155) Connected/ABS 2020.
Aerox 155 edisi MotoGP itu dilancarkan semalam di Facebook Yamaha Motor Indonesia dan ia hadir pada tanda harga Rp 29,500,000 (RM 8,478).
Sekali pun tiada perubahan dari sudut kuasa atau teknologi, Aerox 155 edisi MotoGP ini pasti mencetuskan senyuman besar terutama buat peminat sejati pelumba pasukan berkenaan, Maverick Vinales dan Valentino Rossi.
Ia pasti lebih istimewa untuk dibeli kerana Rossi tidak lagi menunggang bersama pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP pada musim depan.
Menggunakan warna hitam sebagai asas selain biru Yamaha, ia diinspirasi daripada corak yang ada pada jentera YZR-M1 termasuk logo syarikat minuman tenaga Monster Energy dan Eneos.
Buat negara yang mempunyai ramai peminat MotoGP seperti Indonesia, varian seperti ini memberikan nilai eksklusif dan sentimental kepada pembelinya.
Begitupun, tidak pasti sama ada ‘Livery’ Monster Energy ini akan dilancarkan di Malaysia berikutan pasukan satelit Yamaha, PETRONAS Yamaha SRT tampak lebih ‘rapat’ di hati rakyat negara ini.
Seperti model Aerox 155 Connected/ABS standard, edisi MotoGP ini turut dijana enjin silinder tunggal 155cc SOHC penyejukan cecair dengan teknologi suntikan bahan api (FI) VVA dan BlueCore.
Kuasa yang diperoleh tetap sama iaitu 15.1 hp pada 8,000 rpm dan tork 13.9 Nm pada 6500 rpm manakala sistem brek, suspensi, lapu, paparan meter dan teknologi seperti keyles dan aplikasi mobil wayarles Yamaha Motorcycle Connect masih sama.
Selain Aerox 155 Connected/ABS 2020, 'Livery' edisi MotoGP ini turut diperkenalkan pada model lain seperti YZF-R25, YZF-R15, Vixion dan MX King 150 sebelum ini.