Honda X-ADV 750 generasi baharu dilancarkan di Thailand, Malaysia masih menunggu?
Khairil · Mar 26, 2021 09:00 AM
Akhirnya, jentera yang amat dinanti-nantikan peminat skuter kembara atau 'Adventure' dari jenama Honda, X-ADV 750 2021 tiba ke pasaran Thailand yang dilancarkan di Pameran Motor Antarabangsa Bangkok (BIMS) 2021.
Selepas pengenalannya di Eropah tahun lalu dengan Filipina muncul negara Asean pertama memperolehnya bulan lalu, X-ADV 750 generasi baharu ini seperti diketahui hadir dengan pelbagai kemas kini yang signifikan tidak kira dari sudut reka bentuk dan spesifikasi.
Dari sudut tren kuasa, X-ADV 750 2021 kini patuh piawaian emisi Euro 5.
Dijana enjin bersesaran 754 cc, 4 Lejang, 8 Injap, 2 Silinder, Penyejuk Cecair, ia mampu menghamburkan kuasa 57.7 Hp pada 6,750 rpm dan tork juga meningkat kepada 69.1 Nm pada 4,750 rpm.
Transmisi yang digunakan adalah jenis dual-klac (DCT) 6 kelajuan bersama mod manual dan turut dikemas kini di mana penukaran gear boleh dibuat menggunakan suis manakala sistem 'valve' dan ekzos turut ditala semula.
Turut diperbaharui ialah kluster instrumen yang kini menggunakan jenis LCD TFT warna penuh 5 inci dengan panel meter memaparkan maklumat tunggangan selain turut menyokong sambungan telefon pintar dan boleh membuat panggilan telefon, arahan suara dan sebagainya.
Ciri-ciri baharu lain ialah penggunaan kunci pintar, signal belok mati sendiri, lampu henti kecemasan (ESS) dan cermin penghadang angin boleh laras dalam 5 tetapan.
Dengan penggunaan pendikit elektrik (Throttle by Wire), ia memberikan tindak balas yang sangat baik dengan penunggang boleh memilih 5 mod tunggangan iaitu Standard, Sport, Rain, Gravel dan Personalization.
Selain itu, antara ciri-ciri lain adalah ketinggian pelana 820 mm, kapasiti tangki minyak 13.2 liter, ruang simpanan bawah pelana seluas 22 liter serta soket pengecas yang kini menggunakan palam USB bagi menggantikan soket kuasa 12V.
Perbandingan di antara X-ADV 750 2021 (kanan) dan versi sebelumnya
Di bahagian roda, ia menggunakan rim 17 inci dengan tayar 120/70 di depan dan 15 inci dan 160/60 di belakang.
Sistem brek pula menggunakan dwi-brek cakera 41 mm dengan kaliper 4-piston di depan dan cakera tunggal 240 mm dengan kaliper piston tunggal di belakang dengan sistem suspensi jenis fork terbalik (USD) di depan dan monoshock di belakang.
Dari sudut reka bentuk pula, sekalipun tidak begitu ketara, X-ADV 2021 kini menggunakan panel badan baharu yang tampak lebih menarik dengan lampu utama menggunakan LED dan disepadukan bersama lampu nyalaan siang (DRL).
Dengan penggunaan kerangka baru yang lebih ringan, secara keseluruhan, versi terbaharu X-ADV 750 2021 yang dijual di pasaran Thailand pada harga 425,000 baht (RM 56,518) ini adalah 3 kilogram lebih ringan berbanding model sebelum ini.
Sebagai informasi, model X-ADV 750 yang masih ditawarkan di pasaran Malaysia adalah seperti yang diperkenalkan Boon Siew Honda (BSH) pada 2018 dan dijual pada harga kira-kira RM 61,000 ketika pelancarannya.
X-ADV 750 versi terdahulu
Dengan pelancaran di Thailand, adakah ia akan mempercepatkan kehadiran skuter yang menawarkan prestasi menakjubkan atas permukaan jalan biasa dan off-road ini ke pasaran Malaysia? Sama-sama kita nantikan pengumuman BSH.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.
Komen