Kebaikan & Keburukan: Mercedes-Benz C200 AMG Line 2020 – pemanduan yang 'hambar'?
Faisal · Dec 23, 2020 12:00 PM
0
0
Awal tahun ini, Mercedes-Benz Malaysia melancarkan C200 yang dikemaskini oleh AMG Line. Malah ia hadir dengan enjin 2.0L turbo yang menggantikan enjin 1.5L hibrid sederhana (mild hybrid) yang terdahulu.
Kemaskini ini juga membawa kembali sentuhan AMG Line yang pernah hadir pada C200 sebelum facelift.
Sekarang, mari kita lihat antara kebaikan dan keburukan yang dimiliki oleh varian permulaan pada C-Class kali ini.
Kebaikan:
Rekaan yang masih kelihatan baru
Enjin 2.0L M264 yang cukup bertenaga
Stereng yang responsif
Skrin yang berdefinisi tinggi
Keburukan:
Suspensi yang kurang menyerap
Kabin yang tidak senyap
Ergonomik di dalam kabin
Kebaikan – Rekaan yang tidak lapuk dek zaman
Mercedes-Benz C-Class W205 diperkenalkan secara global pada akhir tahun 2013 (kini berusia 7 tahun). Menariknya, ia tidak kelihatan lapuk sama sekali walaupun jika anda meletakkannya bersebelahan dengan BMW 3 Series G20 dan Volvo S60.
Perkara ini juga dapat dilihat di bahagian kabin. Disebabkan trim AMG Line, Mercedes-Benz C200 kini kelihatan agresif seperti C300 ataupun C43.
Walaupun citarasa adalah sesuatu yang subjektif, tidak dinafikan bahawa C-Class generasi ini masih kelihatan baru.
Kebaikan – Enjin yang bertenaga
Berbanding dengan tren kuasa 1.5 EQ Boost yang dulu, kuasa kini ditingkatkan daripada 181 PS ke 206 PS manakala tork kini ditingkatkan kepada 300 Nm.
Berdasarkan ujian kami, C200 AMG Line melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7 saat sahaja. Untuk maklumat anda, BMW 320i Sport G20 melakukannya dalam masa 7.1 saat.
Apa yang menarik, penghantaran kuasa untuk pemanduan harian terasa cukup bertenaga.
Kebaikan – Stereng yang responsif
Stereng pada C200 AMG Line sebenarnya agak laju. Pada masa yang sama, ia tidaklah terlalu sensitif pada kelajuan tinggi dimana anda tidak perlu lakukan pembetulan secara keterlaluan.
Kebolehan ini dicapai oleh teknologi Mercedes-Benz yang dikenali sebagai Direct Steer. Dari segi berat, ia terasa memadai walaupun di dalam mod “comfort”. Namun menurut sesetengah pihak, ia boleh terasa agak berat untuk pemanduan di dalam bandar.
Kebaikan – Resolusi skrin yang cantik
Kedua-dua skrin infotainment dan kluster instrumen mempunyai resolusi dan animasi yang cukup cantik. Selain itu, ia hadir dengan Mercedes Me Connect dimana aplikasi ini boleh menyambungkan kereta dengan telefon untuk mengawal fungsi dan mengetahui maklumat semasa mengenai kereta anda.
Sistem operasinya juga mudah untuk difahami. Malah anda boleh mengawal kedua-dua skrin ini hanya dengan menggunakan butang kawalan sesentuh di bahagian stereng.
Keburukan – Suspensi yang tidak menyerap
Mercedes-benz C200 AMG Line hadir dengan suspensi sport dimana ia lebih keras berbanding C200 yang lalu.
Namun begitu, tindak balasnya terhadap permukaan jalan yang tidak rata ataupun bergelombang masih tidak memuaskan. Perkara ini mengakibatkan perjalanan yang terasa seperti melantun.
Mungkin inilah yang membezakan Mercedes-Benz C200 dengan BMW 320i walaupun kedua-duanya menggunakan format yang sama.
Keburukan – Kabin yang tidak senyap
Walaupun badannya terasa solid apabila diketuk (tidak macam tin kosong), kekedapan bunyi di dalam kabin terasa agak lemah. Pada kelajuan 100 km/j, terdapat bunyi angin di tiang-A dan cermin sisi. Bunyi tayar juga agak kedengaran. Tambahan pula, bunyi enjin sewaktu bersahaja sudah seperti enjin diesel.
Berdasarkan ujian kami, C200 AMG Line mencatatkan bacaan bunyi sebanyak 69 dB pada kelajuan 110 km/j. Sebagai perbandingan, BMW 320i G20 mencatatkan bacaan serendah 67 dB manakala Volvo S60 T8 hanya mengeluarkan bunyi setinggi 68 dB pada ujian yang sama.
Keburukan – Ergonomik di dalam kabin
Sekiranya anda tidak pernah memandu Mercedes-Benz, anda perlu sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan kawalannya.
Misalnya, tombol gear berada di belah kanan pada tiang stereng. Kawalan brek parkir elektronik pula berada di bawah suis lampu yang terletak di belah kanan pada papan pemuka.
Perkara sebegini tidaklah kekok. Apa yang kekoknya ialah posisi pemanduannya dimana ia senget ke kiri. Ditambah pula dengan ruang kaki yang sempit, memandu C200 AMG Line untuk perjalanan jauh terasa kurang selesa.
Konklusi
Mercedes-Benz C200 AMG Line 2020 mempunyai rekaan yang tidak lapuk dek zaman, enjin 2.0L turbo yang cukup bertenaga, stereng yang responsif, dan paparan skrin yang cantik. Namun begitu, ia dibelenggu suspensi yang tidak begitu menyerap, kabin yang agak bising, dan posisi pemanduan yang kekok.
Sekiranya anda boleh terima segala kekurangan ini, sedan eksekutif kompak dari Mercedes-Benz ini boleh menjadi pembelian yang bernas buat anda. Adakah kereta ini kegemaran anda? Undikan pilihan anda supaya kereta kegemaran anda memenangi Anugerah Kereta Terbaik Tahun 2020 WapCar - BM (COTY 2020).
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.