
Tidak salah jika menyatakan antara tujuan utama motosikal jenis kapcai atau ‘moped’ dibeli pengguna adalah bagi memudahkan urusan seharian terutama untuk mencari rezeki.
Rata-rata pembeli motosikal jenis ini menjadikannya sebagai kenderaan ke tempat kerja kerana ia efisen, mampu mengelak kesesakan lalu lintas, menjimatkan duit dari sudut minyak, tol dan parkir.
Di sini, kami tidak mahu bercerita mengenai model super moped yang 'hangat' di pasaran seperti Yamaha Y15, Honda RS150 atau sebangsa dengannya yang harganya boleh tahan keras dan ia juga dibeli kerana minat serta gaya.
Tetapi ia adalah jentera untuk rakyat marhaen yang dianggap lebih kepada keperluan berbanding minat di mana bajet memainkan peranan penting.
Justeru, apa pilihan yang ada.
Berikut adalah senarai motosikal baharu yang anda boleh dapatkan di pasaran (mengikut laman web jual beli tempatan) yang harganya tidaklah terlalu 'mencekik', bawah RM5,000 tidak termasuk cukai jalan dan insuran.
Honda Wave Alpha 110
![Keperluan vs gaya, ini 7 motosikal kapcai harga 'bajet' untuk rakyat jelata 01]()
Jika melihat kepada reka bentuknya, motosikal yang dilancarkan Boon Siew Honda pada penghujung tahun lalu ini memang tidak kalah dari sudut 'kehenseman'.
Menggunakan enjin berkapasiti 110cc, ramai pengguna didapati berpuas hati dengan kuasa yang ada padanya.
Jika pandai mencari, model lama 2019 tetapi baharu mungkin dijual dengan harga lebih murah.
Harga bermula: RM4,339
Spesifikasi ringkas: Enjin 110 cc silinder tunggal sejukan udara
Yamaha Lagenda Y 115fi
![Keperluan vs gaya, ini 7 motosikal kapcai harga 'bajet' untuk rakyat jelata 02]()
Populariti Yamaha Lagenda sememangnya hebat sejak ia diperkenalkan pada 20 tahun lalu dan versi terbaru juga sama.
Reka bentuknya memang ranggi dan ramai motor turut jatuh cinta dengan reka bentuknya. Untuk versi terbaru, ia menggunakan suntikan bahan api diketahui dapat menawarkan penjimatan kerana ia lebih cekap.
Harga bermula: RM4,998
Spesifikasi ringkas: Enjin 113.7cc, SOHC, empat lejang, sistem penyejuk udara, suntikan bahan api
SYM Sport Rider 125i
![Keperluan vs gaya, ini 7 motosikal kapcai harga 'bajet' untuk rakyat jelata 03]()
Jika melihat kepada sesaran enjinnya iaitu 125cc, SYM Sport Rider 125fi jelas paling berkuasa dalam senarai ini dan pesaingnya dari model lain pula jauh lebih mahal.
Sekalipun diperkenalkan pada 2016, SYM Sport Rider masih ada kedai yang menjual model ini pada tahun ini dengan harga bawah RM5,000.
Ia adalah kapcai pertama oleh SYM yang dilengkapi dengan ciri suntikan bahan api.
Harga bermula: RM4,888
Spesifikasi ringkas: Enjin 123cc SOHC dengan dua injap, suntikan bahan api
Honda EX5 Dream
![Keperluan vs gaya, ini 7 motosikal kapcai harga 'bajet' untuk rakyat jelata 04]()
Selepas lebih 30 tahun berada di pasaran, Honda EX5 masih dijual dan popularitinya sebagai motosikal kegemaran rakyat Malaysia ini tetap utuh.
Sekalipun rupanya tidak begitu bergaya, malah ada yang melabelnya 'buruk' ketahanan, mudah digunakan dan penjagaan yang mudah menjadikannya sebagai pilihan pengguna marhaen.
Jika pandai cari kedai yang mempunyai 'offer', anda mungkin boleh mendapatkannya dengan lebih murah.
Harga pasaran: Bermula RM4,600
Spesifikasi ringkas: Enjin 109.17cc, OHC empat lejang, sistem penyejukan udara
Modenas Kriss MR2
![Keperluan vs gaya, ini 7 motosikal kapcai harga 'bajet' untuk rakyat jelata 05]()
Dibina dengan tema 'Motosikal Rakyat', Modenas Kriss MR2 mungkin mempunyai harga yang paling murah dalam senarai ini.
Sekalipun masih menggunakan karburator, ia masih bagus sesuai dengan sasarannya adalah untuk memenuhi keperluan paling asas pengguna motosikal di negara ini.
Harga bermula: RM4,090
Spesifikasi ringkas: Enjin 110cc SOHC, 1 silinder, Karburetor PZ19
Suzuki Smash Fi 110
![Keperluan vs gaya, ini 7 motosikal kapcai harga 'bajet' untuk rakyat jelata 06]()
Ia bukanlah model yang baharu tetapi masih relevan dan boleh diharap.
Menggunakan sistem suntikan bahan api, ia menawarkan tunggangan yang lancar dan menjimatkan, sesuai untuk sesiapa yang ingin berjimat.
Harga bermula: RM4,847
Spesifikasi ringkas: Enjin 110cc, 4-lejang, penyejukan udara, SOHC
Aveta RX110
![Keperluan vs gaya, ini 7 motosikal kapcai harga 'bajet' untuk rakyat jelata 07]()
Jenama Aveta mungkin baru dan tidak begitu dikenali tetapi ia perlu berada dalam senarai ini kerana harganya yang cukup berpatutan.
Harga bermula: RM4,088
Spesifikasi ringkas: Enjin 110cc, 4-lejang, penyejukan udara
Komen