Kisah Black Hawk Down dan keberanian Askar Melayu bawa Radpanzer Condor 4x4, bantu askar AS di Somalia
Mersita · Jan 15, 2023 08:00 PM
Ingat tak masa kecil-kecil dulu kita diberi mainan kereta sports dan paling best, kereta kebal? Selain menyemai minat dalam apa saja objek beroda, kereta kebal juga punyai banyak sejarah hebat disebaliknya dan ia patut diturunkan kepada golongan muda supaya mereka kenal erti jati diri. Antaranya adalah kisah keberanian Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (19 RAMD) Mekanis yang membawa Radpanzer Condor ke tengah-tengah Pertempuran Mogadishu bagi operasi menyelamat US Rangers susulan penembakan helikopter Amerika Syarikat, Black Hawk, pada 1993 di Somalia.
Sebelum kita mulakan, eloklah kita ceritakan dulu serba sedikit tentang kereta kebal ini. Radpanzer Condor 4x4 merupakan kenderaan pengangkut anggota berperisai (APC) yang digunakan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) secara meluas sejak 1981.
Sarjan (B) Zailan Kadir bersama Radpanzer Condor 4x4. Sumber foto: Sinar Harian
Direka oleh Thyssen-Henschel dari Jerman, APC beroda empat ini dibina berdasarkan kerangka trak komersial UNIMOG dan berkongsi komponen utama seperti enjin, kotak gear dan gandar yang sama. Condor digunakan untuk mengangkut anggota dan senjata serta memberi perlindungan kepada anggota tentera terutamanya di kawasan yang sedang berdepan serangan berbahaya.
APC ‘lejen’ ini cukup sinonim dengan pertahanan Malaysia; disebut-sebut dalam kisah popular ‘Black Hawk Down’. 123 anggota dari Kompeni A dan Kompeni B Batalion ke-19 RAMD Mekanis sebagai tentera pengaman dibawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyertai operasi menyelamat lebih 70 anggota elit US Rangers dan lima anggota Tentera Udara AS - disokong oleh United Nations Operation in Somalia II (UNOSOM II) - yang terperangkap dalam serangan militan di Bakarra Market, Mogadishu.
Sebahagian anggota MALBATT-1 di Somalia. Sumber foto: Kosmo
Pertempuran Mogadishu ini berlangsung dari 3 – 4 Oktober 1993 dan berakhir dengan korban ribuan ahli militan Somalia, 17 anggota AS, dan seorang anggota dari angkatan askar Melayu.
Anggota US Rangers terlibat dikepung dan diserang kumpulan militia sepanjang malam setelah misi menangkap 3 leftenan dibawah Jeneral Mohamad Farrah Aideed, ketua militan Somalia. Ini susulan dua buah helikopter UH-60 Black Hawks dari 160th SOAR AS ditembak jatuh di Bakarra Market, Mogadishu manakala satu lagi heli diserang berhampiran lapangan terbang.
Salah sebuah UH-60 Black Hawk yang ditembak jatuh di Mogadishu, Somalia. Sumber foto: The Daily Beast
Menurut penceritaan portal Malaysia Military Times, US Rangers meminta bantuan daripada Malaysian Battalion (Malbatt) dan Pakistani Battalion (Pakibatt) kerana hanya dua pasukan pengaman ini yang mempunyai kenderaan perisai. Kolonel Abdul Latiff yang mengetuai Malbatt 1 membawa 123 anggota berkenaan, termasuk Prebet Mat Aznan Awang yang pakar dalam pengendalian Condor 4x4 di laluan jalan Mogadishu. “Ini barulah pergi perang,” ujar beliau yang dikatakan sangat bersemangat mengikuti misi terdiri daripada 32 kenderaan termasuk Condor berlencana UN angkatan 19 RAMD itu.
Sejurus selepas memasuki kawasan Bakarra Market untuk menyelamatkan pasukan US Rangers, gerakan Radpanzer Condor 19 RAMD Mekanis dihujani serangan bertubi-tubi dari pihak musuh dan turut diserang bom tangan roket (RPG) beberapa kali.
Salah seorang rakyat Somalia di hadapan Radpanzer Condor yang musnah diserang. Sumber foto: Konflik dan Militer
Ternyata, serangan RPG berjaya melumpuhkan beberapa buah Condor sehingga menyebabkan salah seorang pemandu, Prebet Rizal, cedera di bahagian kaki akibat terkena serpihan tembakan dan malangnya, turut mengorbankan Prebet Mat Aznan yang terkena tembakan menembusi cermin hadapan Condor dipandu beliau.
Empat buah Condor musnah dalam pertempuran itu dan dimusnahkan oleh pihak AS supaya ia tidak jatuh ke tangan pasukan militan.
Video di atas adalah penceritaan semula salah seorang US Rangers yang selamat dalam Pertempuran Mogadishu - tidak lekang mengucapkan terima kasih selain menzahirkan rasa kagumnya terhadap keberanian angkatan tentera Melayu dalam peristiwa hitam tersebut.
Jenazah Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang dibawa pulang ke tanah air pada 9 Oktober 1993 untuk dikebumikan di kampungnya di Baling, Kedah. Allahyarham turut dikurniakan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (PGP) oleh Yang di-Pertuan Agong pada 4 Jun 1994.
Difahamkan, 460 Radpanzer Condor dibeli antara tahun 1981 - 1984 dan dioperasikan oleh pasukan Kor Armor Diraja dan batalion infantri mekanis. Kini, Radpanzer Condor 4x4 TDM dikatakan bakal digantikan dengan APC baharu.
Antara calon penggantinya ialah kenderaan berperisai mobiliti tinggi (HMAV) 4x4 Tarantula, kenderaan berperisai mobiliti tinggi pacuan empat roda Buatan Malaysia oleh MILDEF International Technologies Sdn. Bhd.
HMAV 4x4 Tarantula
Maka, ingatlah - bangsa yang lupa akan sejarah silam pasti akan mengulangi kesilapan lampau. Selain filem popular ‘Black Hawk Down’ arahan Ridley Scott, filem tempatan ‘Malbatt: Misi Bakara’ arahan Adrian Teh juga dijangka akan ditayangkan tahun ini.
Lain kali, bila anda temankan anak kecil bermain kereta kebal mainan, ceritakanlah kisah keberanian di sebalik jentera beroda itu.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.
Komen