Suzuki Swift Sport 2021 - patut beli ‘recond’ atau beli baru dari Naza?
Faisal · Apr 10, 2021 06:00 PM
0
0
Sebelum kembalinya Suzuki ke Malaysia, peminat tegar hanya boleh memiliki Suzuki Swift Sport (ZC33S) generasi keempat dari pasaran recond sahaja. Untuk maklumat anda, mereka telah menjualnya sejak tahun 2019.
Dengan kembalinya Suzuki di Malaysia dibawah Naza, nampaknya anda tidak perlu lagi mencari di pasaran recond kerana hothatch ini telah dibawa masuk secara rasmi.
Beli recond sekiranya anda peminat tegar transmisi manual 6 kelajuan
Sebelum ini, dua generasi Suzuki Swift Sport yang dijual secara rasmi di Malaysia hadir dengan pilihan transmisi manual. Namun begitu, generasi baru yang tiba secara rasmi ini hanya ditawarkan dengan pilihan transmisi automatik 6 kelajuan.
Pengedar recond sememangnya menawarkan pelbagai pilihan tetapi seperti yang kami sering ketengahkan, dua kereta yang sama tidak akan mempunyai keadaan yang sama. Oleh itu, dapatkan lampiran jualan dan pemeriksaan kenderaan yang asal (jangan percaya salinan yang diberi dari pengedar).
Menurut kali selidik kami, hanya satu pengedar recond sahaja yang menjual Swift Sport dengan transmisi manual.
Menariknya, Suzuki Swift Sport dari pasaran recond mempunyai kelengkapan yang lebih banyak berbanding unit yang dijual oleh Naza. Misalnya, Swift Sport recond didatangkan dengan rim bersaiz 17 inci dan sistem bantuan keselamatan ADAS.
Menjadi model ‘panas’ yang digemari oleh peminat-peminat kereta, pasti ramai yang akan mengubah suai Swift Sport mereka.
Dengan model recond yang tidak didatangkan dengan waranti, ia mungkin bersesuaian untuk mereka yang berancang untuk menaik taraf enjin K14C ataupun aspek pengendalian.
Apapun, perlu dimaklumkan bahawa anda dinasihatkan untuk beli dari pengedar recond yang boleh dipercayai. Untuk pengetahuan anda, Swift Sport recond hadir dengan paparan pelbagai informasi dan sistem infotainment yang berbahasa Jepun.
Pilih model baru dari Naza untuk pembelian yang lebih menenangkan
Sekiranya anda rasa leceh untuk membeli model recond, anda juga boleh beli Suzuki Swift Sport yang dijual rasmi oleh Naza.
Lagipun, anda mendapat sebuah kereta yang baru yang belum disentuh oleh sesiapa lagi (kereta recond sebenarnya kereta terpakai yang dibawa masuk ke Malaysia). Jadi tiada sebarang skeptikal di sini.
Tambahan pula, unit yang dibawa masuk oleh Naza didatangkan dengan transmisi automatik 6 kelajuan. Sudah pasti ia lebih sesuai untuk digunakan secara harian. Lagipun, Suzuki Swift Sport dari Naza didatangkan dengan paddle shifter.
Membeli unit yang baru juga bermaksud ia didatangkan dengan waranti yang sah selama 3 tahun/150,000 km.
Harga – berapa banyak yang sanggup anda bayar?
Di Malaysia, Suzuki Swift Sport ditawarkan dengan harga RM 145,000. Unit recond pula berharga sekitar RM 130,000.
Walaupun unit recond lebih murah, ia tetap sebuah kereta yang telah dipakai.
Apapun, versi manual yang ditawarkan dengan harga yang lebih murah sebenarnya lebih sesuai untuk pembeli yang berhasrat untuk mengubah suai Suzuki Swift Sport mereka.
Konklusi – adalah anda peminat tegar ataupun pembeli biasa?
Kalau anda boleh memandu transmisi manual tiap-tiap hari melalui trafik yang sesak, Swift Sport recond adalah pilihan yang lebih tepat. Lagipun, peminat kereta yang sebenar tidak akan kisah untuk memandu kereta yang bertransmisi manual walau apa jua keadaan sekalipun.
Membeli Swift Sport recond ini diibarat seperti beli nombor ekor. Senang cerita, ikut nasib. Sebarang pengubahsuaian yang pernah dilakukan pula takkan dapat dilihat oleh pengedar.
Tetapi kalau anda cuma nak tonjolkan diri dan tidak kisah sangat dengan transmisi automatik, membeli unit yang baru dari Naza adalah pilihan yang lebih bernas.
Menurut pendapat kami sendiri, Suzuki Swift Sport recond sebenarnya lebih berbaloi. Cumanya, anda perlu membuat sedikit kaji selidik setiap kali membeli kereta recond. Dapatkan lampiran jualan terlebih dahulu dan periksa apa yang patut dengan mekanik yang anda percaya.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.