Video: YSuku terbabas, Honda HR-V bagi signal terus u-turn!
Khairil · Mar 26, 2021 02:00 PM
Melakukan pusingan U di tempat tidak dibenarkan hingga mengakibatkan kemalangan ngeri. Itu antara kesalahan dan tindakan 'bodoh' yang dilakukan pemandu sebuah kenderaan SUV Honda HRV hingga mengakibatkan kemalangan ngeri di Kota Bharu, semalam.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di kawasan berkenaan, kejadian malang itu dikatakan berlaku di Jalan Kelochor, Kota Bharu.
Dalam rakaman berkenaan, dapat dilihat pemandu HRV itu pada mulanya berhenti di tepi jalan sebelum secara tiba-tiba melakukan pusingan U di laluan yang mempunyai garisan berkembar.
Sekalipun lampu signal membelok dinyalakan, ia jelas dibuat secara terburu-buru tanpa melihat keadaan jalan berkenaan.
Seorang penunggang motosikal berjaya mengelak kenderaan berkenaan namun seorang lagi penunggang bersama pembonceng tidak dapat mengelak sebelum merempuh bahagian sisi Honda HRV itu.
Lebih malang buat penunggang, dapat dilihat bahagian lehernya melanggar cermin sisi kereta berkenaan yang mengakibatkan topi keledar yang dipakainya tercabut.
Sejurus terjatuh, penunggang berkenaan langsung tidak bergerak manakala pemboncengnya cuba untuk bangun tetapi tampak tidak berdaya.
Kedua-dua penunggang dan pembonceng menggunakan topi keledar. Dalam keadaan seperti itu, cukup sukar untuk mengelak kenderaan berkenaan kerana jaraknya yang terlalu dekat.
Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa marah mereka kepada pamandu Honda HRV berkenaan yang disifatkan sebagai 'tiada otak' bodoh dan pelbagai lagi malah ramai yang mengharapkan pemandu berkenaan dikenakan hukuman yang tegas.
Tidak diketahui mengenai nasib penunggang dan pembonceng YSuku berkenaan namun berdasarkan informasi, kedua-duanya yang cedera dikejarkan ke hospital sejurus kemalangan.
Takziah kami ucapkan kepada mangsa dan kepada pemandu Honda HRV yang menggunakan nombor pendaftaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu, siap sedia hadapi tindakan undang-undang!
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.
Komen