6 sebab kenapa Nissan Cefiro A31 lebih gah berbanding Honda Accord & Toyota Corona di Malaysia
Zamil Syaheer · Oct 28, 2021 04:00 PM
0
0
Sebelum Nissan Cefiro menjadi sebuah kereta 'uncle’ pada tahun 1994, pada mulanya ia adalah sedan sporty canggih dengan pacuan roda belakang ala BMW dan Mercedes-Benz. Terdapat pelbagai pilihan enjin yang ditawarkan, tetapi varian dengan enjin 2.0 liter 6-silinder turbo RB20DET membuatkan Cefiro antara pilihan kegemaran kaki drift dan juga ‘tuner’.
Namun begitu, kalau anda nak tahu, Cefiro A31 dianggap gagal dari segi jualan. Ramai pengulas menyukai Cefiro A31 kerana ia dilengkapi dengan ciri-ciri yang amat maju pada masa itu.
Walaupun ia dianggap sebagai Mercedes-Benz S-Class Timur dengan ciri dan kelengkapan yang canggih, Nissan kemudian mengubah Cefiro generasi seterusnya (A32) menjadi sebuah model yang memberi fokus lebih terhadap tahap keselesaan. Tiada lagi pacuan roda belakang, digantikan dengan pacuan roda depan yang lebih konvensional dan juga menggantikan enjin 6-silinder sebaris “RB” dengan enjin siri V6 “VQ”.
Transformasinya dari sedan masa depan menjadi sebuah kereta ‘uncle’ yang membosankan membuatkan ramai peminat marah. Walau bagaimanapun, penjualan Cefiro A32 lebih berjaya dari segi jualan di pelbagai pasaran, termasuklah Malaysia.
Tetapi, fokus artikel ini bukan untuk model A32, tetapi 6 sebab kenapa model A31 lebih mantap daripada pesaingnya seperti Honda Accord dan Toyota Crown.
1. Reka bentuknya telah dipratonton pada konsep yang dibayangi
Pada Pameran Motor Tokyo 1987, Nissan telah memperkenalkan beberapa kereta konsep yang sangat menarik, termasuklah sebuah sedan yang nampak begitu aerodinamik.
Konsep ARC-X mempratonton dua model sekaligus - Cefiro A31 dari segi reka bentuk, serta pengenalan jenama mewah Infiniti. Reka bentuk Shigeru Miki mempamerkan reka bentuk yang sangat minimalis dan nampak futuristik 30 tahun lalu, dan tidak lapuk ditelan zaman sehingga kini.
Kereta konsep itu mempunyai pekali seretan (drag coefficient) serendah 0.26 dan dikuasakan oleh enjin 3.0 liter VG30DE V6 yang menghasilkan 190 PS. Sama seperti MID-4, ARC-X dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda dan menampilkan stereng empat roda.
Pada bahagian interior, ARC-X dilengkapi dengan empat tempat duduk ‘bucket’ individu dan reka bentuk papan pemuka yang sangat ringkas, reka bentuk yang kemudiannya menyerupai kebanyakan kereta Nissan pada tahun 90an. Posisi gear dan kawalan terletak di antara dua tempat duduk hadapan, bermakna terdapat lebih banyak ruang kaki.
ARC-X akan terus memenangi beberapa anugerah reka bentuk seperti anugerah Car Design 1987 dan anugerah World’s Best Concept Car 1988 - tahun yang sama Cefiro A31 akan membuat penampilan sulungnya.
2. Ia dijual di pengedar Nissan yang berasingan di Jepun
Pada 1980-an dan 1990-an, pembuat kereta di Jepun mempunyai rangkaian pengedar yang berbeza. Walaupun ia kedengaran amat mengelirukan bagi sesetengah pihak, cara pemasaran sebegini dicipta khusus untuk memenuhi sasaran pembeli yang berbeza dalam ekonomi Jepun yang kian meningkat.
Pada masa itu, Nissan mempunyai empat rangkaian pengedar: Nissan Prince, Nissan Motor, Nissan Bluebird dan Nissan Satio. Setiap pengedar ini melayani pembeli yang berbeza tetapi ia menjadi terlalu mengelirukan bagi pembeli. Oleh itu, pada tahun 1999, Nissan kemudiannya menyelaraskan empat pengedar berbeza ini kepada dua, dipanggil Nissan Blue Stage dan Nissan Red Stage.
Walaupun ia berkongsi beberapa bahagian mekanikal dengan Skyline, Silvia, dan juga Laurel, ia sebenarnya lebih panjang. Dimensi Cefiro A31 hampir sama Nissan Cedric dan Gloria. Oleh itu, ia menerima kod A31, kerana kod model A30 sebelum ini digunakan pada Nissan Gloria generasi ketiga yang dibina antara 1967 dan 1971.
3. Terdapat 810 kombinasi unik yang anda boleh tempah pada masa itu
A31 dilancarkan pada kemuncak ‘Japanese Bubble Era’, apabila negara itu mempunyai (antara) kuasa perbelanjaan tertinggi di dunia. Semasa A31 dilancarkan, Nissan menjemput Yosui Inoue, salah seorang penyanyi Jepun yang paling berjaya menjadi jurucakap kereta tersebut.
Nissan juga sudah meletakan sasaran jualan mereka kepada individu tertentu yang dipanggil DINK, yang bermaksud "double or dual income, no kids". Istilah itu dicipta pada tahun lapan puluhan untuk mencerminkan status yuppies yang kian popular pada ketika itu.
Memandangkan tempoh ini juga menyaksikan peningkatan trend “individualism” di kalangan para pembeli, Nissan memperkenalkan sistem pesanan yang fleksibel dan boleh diubahsuai, dipanggil "Cefiro Coordination". Pembeli boleh memilih pilihan enjin, transmisi, warna dalaman dan luaran serta upholsteri A31 mereka dengan sehingga 810 kombinasi unik.
Terdapat juga beberapa pilihan opsyenal yang boleh ditambah oleh pembeli pada A31 mereka termasuk pemegang pintu krom, rak bumbung, pemain CD dan TV.
4. Ia mempunyai sistem suspensi supersonic
Ketika dilancarkan, harga A31 jauh lebih mahal daripada Skyline, tetapi ia juga sarat dengan pelbagai teknologi baru. Antara ciri yang tersedia pada A31 termasuklah lampu depan projektor automatik, cermin pandang belakang pemalapan automatik, dan tempat duduk elektrik.
Selain itu, A31 juga berkongsi trenkuasa yang sama seperti Skyline, dengan penggunaan enjin siri RB 2.0 liter 6-silinder. Terdapat juga pilihan enjin 2.5 liter 6-silinder aspirasi natural, namun pilihan yang menjadi dambaan ramai adalah A31 dengan enjin RB20DET berpengecas turbo yang menghasilkan 205 PS dan 265 Nm.
Walaupun A31 tidak pernah direka untuk menjadi sedan sports, para pembeli boleh memilih antara sistem stereng empat roda HICAS-II atau DUET-SS (Supersonic Suspension System) yang dikawal secara elektronik.
Sistem HICAS-II direka khusus untuk pembeli yang lebih gemarkan set-up sporty manakala sistem DUET-SS adalah untuk mereka yang mengutamakan keselesaan. Sistem DUET-SS melaras ‘strut’ hadapan dan suspensi multi-link belakang ketika anda sedang memandu, membuatkan perjalanan lebih selesa walaupun melalui jalan yang berliku.
5. Ia dijual sebagai Laurel di pasaran pandu kiri (LHD)
A31 juga dijual di pasaran luar seperti Asia Tenggara dan Oceania. Di Malaysia, Cefiro A31 hanya ditawarkan dengan pilihan enjin 2.0 liter 6-silinder RB20DE (152 PS/181 Nm) aspirasi natural yang dipadankan dengan transmisi automatik 5-kelajuan.
Walaupun pasaran ini mengekalkan nama Cefiro, di pasaran pemanduan kiri (LHD) seperti Turki, Amerika Latin dan Timur Tengah, ia dipanggil Nissan Laurel Altima. Dua enjin ditawarkan untuk pasaran ini - enjin 2.0 liter 4-silinder CA20S (102 PS/160 Nm) dan enjin 2.4 liter 6-silinder RB24S (141 PS/197 Nm). Kedua-dua enjin itu menggunakan karburator dan bukannya fuel-injection.
Gempak kan? Sayangnya, A31 kurang laku. Jualan di Jepun lembab kerana kumpulan DINK ternyata tidak menghargai sedan yang kelihatan futuristik. Nissan memperkenal varian Autech pada Januari 1990 dan kemudian facelift diperkenalkan pada bulan Ogos tahun yang sama dengan rupa yang lebih lembut.
Di luar negara, A31 menunjukkan prestasi yang lebih baik dari segi jualan tetapi ia agak jarang ditemui di pasaran domestik dan global. Jualan berakhir di Jepun pada 1994 dengan 141,278 unit terjual dalam tempoh 6 tahun.
Kalau anda berminat nak beli di Malaysia, agak susah nak mencari A31 yang tidak diubahsuai kerana ia merupakan alternatif yang lebih murah kepada Skyline (yang sudahpun mencapai harga yahudi).
6. Anda boleh mendapatkan A31 versi miniatur
Walaupun jangka hayat model ini di pasaran tidak begitu panjang, A31 masih kekal relevan pada peminat pemanduan terutamanya kaki drift.
Tetapi jika anda tidak mampu membeli A31 berskala 1:1, terdapat versi miniatur yang boleh dibeli dalam talian seperti kit model plastik berskala 1/24 yang dibuat oleh Aoshima. Tetapi, anda perlu memasangnya.
Jika anda rasa memasang kit model terlalu membosankan (atau menyusahkan), terdapat beberapa model A31 yang sudah ‘ready-made’. tetapi ini agak mahal dan susah nak jumpa. Kalau ada pun, anda boleh cari jenama Majorette, Hot Wheels dari Perancis.
Jadi, inilah 6 sebab mengapa A31 adalah klasik kultus. Ia kurang dihargai dan diabaikan oleh demografi sasaran yang lebih suka dengan Toyota Mark II/Chaser.
Akhirnya, ia dapat mengekalkan populariti dan relevan 27 tahun selepas Cefiro A31 terakhir meninggalkan kilang di Jepun pada kalangan peminat pemanduan dan juga sukan drift, termasuklah saya sendiri. Lihat video diatas - syok Cefiro A31 ni!
More than 10 years experience, specialising in Motorsports, Advanced Driving, Event Management & Creative Design. He enjoys driving (drifting, actually) anything RWD with a proper LSD over the limit. Versatility is his motto and mantra.