Gambaran awal Honda City 2023 facelift untuk Malaysia; adakah Sensing standard macam di Thailand?
Faisal · Jul 24, 2023 02:31 PM
0
0
Warna Obsidian Blue pada City facelift di Thailand.
Seperti yang anda sudah tahu, tempahan Honda City facelift sudahpun dibuka untuk Malaysia. Berdasarkan gambar-gambar yang diperoleh dari pelancaran di Thailand baru-baru ini, kita sebenarnya dah boleh tahu akan perubahan apa yang bakal diperlihatkan pada Honda City facelift.
Untuk pasaran Thailand. pembaharuan paling besar datang dalam bentuk ADAS Honda Sensing yang kini standard pada semua varian dan dinaik taraf dengan ciri Low-Speed Follow (LSF). Apapun, ciri LSF ini hanya untuk dua varian teratas. Apapun, penawaran ini sebenarnya masih belum dapat disahkan untuk pasaran Malaysia nanti.
City facelift di Thailand turut memperkenalkan ciri Lead Car Departure Notification (LCDN) iaitu sistem sama yang ada pada Perodua Myvi. Sistem ini akan memberi amaran sekiranya kereta depan sudah mula bergerak setelah berhenti di lampu trafik.
Di samping itu, Honda Thailand turut menambah fungsi Walk Away Auto Lock di mana kereta akan dikunci secara automatik selepas pemandu pergi jauh dari kereta.
Dari segi visual pula, terdapat pembaharuan melalui penawaran warna baru yang dikenal sebagai Obsidian Blue. Untuk Malaysia nanti pula mungkin menghadiri pilihan warna Stellar Diamond Pearl, seperti yang ada pada WR-V.
Selain itu, sisik gril depan juga menyaksikan sedikit pembaharuan, bersama dengan reka bentuk bampar yang lebih moden. Varian RS untuk facelift pula dinaik taraf dengan skirting tepi.
Satu pembaharuan yang turut diterapkan di sana adalah penawaran meter informasi 4.2 inci jenis warna yang mana ia standard pada semua varian.
Di Thailand, City facelift sebenarnya turut dikemaskini dengan fungsi Remote Engine Start dan ia ditawarkan secara standard pada semua varian. Model semasa di Malaysia sekarang ini juga ada ciri ini tetapi ia tidak diberi standard di mana varian S dikecualikan sama sekali. Jadi, City facelift untuk pasaran kita nanti dijangka mendatangkannya secara standard.
Sebagai rujukan, harga model sekarang adalah seperti di bawah:
Honda City 1.5L S – RM 77,600
Honda City 1.5L E – RM 85,600
Honda City 1.5L V – RM 90,600
Honda City 1.5L V Sensing – RM 94,600
Honda City 1.5L RS – RM 108,800
Harga Honda City facelift di Thailand pula ditawarkan dari 629,000 THB – 839,00 THB (~RM 82,500 – RM 110,000).
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.