Indonesia mulakan program subsidi beli motosikal elektrik, ubahsuai enjin ke motor elektrik, bajet RM 2.4 bilion!
Khairil · Mar 26, 2023 06:00 PM
Bajet besar, sejumlah 7 trilion Rupiah (RM 2.4 bilion) diperuntukkan oleh pemerintah Indonesia sebagai insentif untuk pembelian motosikal elektrik baharu atau penukaran kepada motor elektrik menerusi sistem subsidi.
Memetik laporan media Indonesia, peruntukkan berkenaan mula disalurkan pada minggu ini, menurut Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani.
Secara keseluruhan, bajet yang diperuntukkan adalah untuk subsidi pembelian 800,000 unit motosikal elektrik baharu selain 200,000 unit untuk bantuan penukaran motosikal konvensional kepada motosikal elektrik.
Tetapi menurut Sri Mulyani, insentif yang disediakan itu adalah bersyarat dan mempunyai kriteria tertentu.
Menteri Tenaga Indonesia, Arifin Tasrif (tengah)
Sri Mulyani berkata, subsidi pembelian motosikal elektrik baharu akan diberikan kepada penerima Program Kredit Usaha Rakyat (KUR), penerima Bantuan Produktif Usaha Mikro (BPUM), bantuan subsidi upah dan penerima subsidi elektrik.
Manakala untuk penukaran atau pengubahsuaian kepada motosikal elektrik tidak diletakkan sebarang had.
Sebagai permulaan, program bantuan subsidi ini membabitkan pembelian sejumlah 200,000 ribu unik motor elektrik baharu selain 50,000 unit penukaran pada tahun ini.
Untuk tahun depan (2024), peruntukkan itu membabitkan sejumlah 600,000 unit motosikal elektrik baharu dan 150,000 penukaran.
Selain itu, kerajaan Indonesia turut mewajibkan hanya pembelian model kenderaan keluaran dalam negara yang mempunyai Tahap Kandungan Domestik Minimum (TKDN) sebanyak 40 peratus layak mendapat bantuan subsidi tersebut.
Mengulas lanjut, Sri Mulyani berkata produk motosikal elektrik yang mendapat bantuan turut berserta dengan syarat iaitu penjual tidak menaikkan harga jualannya sepanjang tempoh pemberian bantuan kerajaan.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.
Komen