Bukan setakat hadiah motosikal, ‘Abang Viva’ kita diberi Mitsubishi Triton dari jutawan kosmetik!
Faisal · Jan 15, 2022 09:30 AM
0
0
Tempoh hari, hero banjir Malaya kita, ‘Abang Viva’ baru sahaja dihadiahkan motosikal berkuasa tinggi Yamaha XJ6 Diversion dari seorang individu di ICITY Motoworld Sdn Bhd.
Tidak sampai empat hari, beliau yang telah dianugerahkan Adiwira Prihatin Musibah dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka itu menerima satu lagi penghargaan yang berupa Mitsubishi TritonQuest berwarna kelabu.
Perkara ini disahkan sendiri oleh pengasas Shalicious Empire Sdn Bhd apabila jutawan kosmetik itu memuat naik hantaran di Instagram yang memperlihatkan kunci replika beserta model Mitsubishi Triton yang dihadiahkan kepada Abang Viva kita.
Turut dikongsi dalam hantaran itu adalah klip video dimana pengasas itu bersama suaminya dilihat sedang menandatangani dokumen jual beli pikap 4x4 berkenaan secara tunai (RM 79,890). Menariknya, tempoh menunggu untuk model ini dilaporkan mengambil masa sehingga 2 ke 3 bulan. Tetapi atas rezeki pencarian dan pertolongan orang ramai, pasangan itu berjaya juga dapat stok dengan secepatnya.
Murah betul kan rezeki Abang Viva kita? Jadi, jangan berkira dan buatlah seikhlas yang mampu. Lambat laun, Tuhan akan angkat juga martabat kita, sama seperti yang telah dikecapi oleh hero yang berhati mulia ini.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.