Bahagian interior Honda Civic FE 2021 serba baharu didedah secara rasmi – ringkas tetapi futuristik!
Faisal · Apr 28, 2021 04:00 PM
0
0
Reka bentuk luar untuk Honda Civic generasi seterusnya mungkin sudah bocor habis di dalam internet. Istimewa untuk peminat lambang “H” di luar sana, Honda kini telah mendedahkan lukisan yang memaparkan bahagian dalam Honda Civic FE 2021 serba baru.
Menurut Honda, bahagian interior Honda Civic generasi FE menerapkan unsur yang dikenali sebagai “simplicity and something”. Menariknya, falsafah ini akan turut diterapkan untuk model-model Honda yang akan datang.
Berbanding Civic generasi FC yang ada sekarang, model baru ini nampaknya hadir dengan skrin infotainment jenis berdiri seperti Honda Accord. Selain itu, lukisan ini turut memperlihatkan corong penyaman udara melintang yang seakan ghaib, sama seperti yang terdapat pada Honda HR-V 2021.
Secara umumnya, reka bentuk yang baru ini masih kekal dengan falsafah Honda yang sinonim dengan “Man Maximum, Machine Minimum”. Bagi anda yang belum tahu, ia meletakkan fokus kepada susunan kabin yang lebih praktikal dan efisien.
Menurut Ketua Reka Bentuk Honda di Amerika, elemen “simplicity” yang bermaksud ringkas dan kemas memberikan kemudahan kepada pengguna. Untuk pengetahuan anda, reka bentuk yang diterapkan pada interior Honda Civic FE banyak diinspirasikan oleh model-model Honda yang lama.
“and something” pula merujuk kepada karakter dan personaliti reka bentuk tersebut yang mana ia dicipta untuk menaikkan unsur emosi pengguna. Untuk maklumat anda, elemen ini diperlihatkan pada bahagian tombol dan kawalan yang mempunyai kemasan yang menawan.
Apapun, Honda akan memperkenalkan sedan segmen C yang baru pada minggu ini. Jadi, jangan lupa untuk ikuti kami!
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.