Ford Ranger varian paling ‘brutal’ iaitu Ranger Raptor sebentar tadi baru tampil dengan generasi baharu. Model ini baru sahaja membuat debut global di negara jiran iaitu Thailand.
Juga baca: Ford Ranger 2022 serba baharu debut – platform moden, e-Shifter, infotainment menegak
Sebagai abang yang paling gagah perkasa, trak pikap ini dikuasakan oleh enjin 3.0L V6 EcoBoost twin-turbo yang menghembuskan 397 PS dan 583 Nm tork. Sebelum ini, Ranger Raptor hanya bernadikan enjin 2.0L diesel bi-turbo yang menghasilkan 213 PS dan 500 Nm tork. Apapun, enjin ini tetap ditawarkan pada Raptor baharu.
Kuasa yang dijana dipadankan ke empat-empat roda melalui transmisi automatik 10 kelajuan. Yang bestnya, Ranger Raptor baharu ada sistem bunyi ekzos yang merangkumi:
- Silent Mode
- Normal Mode
- Sports Mode
- Baja Mode
Dalam mod Baja yang mengeluarkan bunyi paling kuat, ECU juga akan menghidupkan Anti-Lag System (ALS) dimana putaran turbin enjin akan kekal berpusing sehingga 3 saat bagi mengurangkan kelewatan kuasa.
Di samping itu, Ranger Raptor baharu ada suspensi FOX terkini yang mana ia lebih selesa dan stabil.
Sistem pacuan 4 roda yang diguna pada Raptor baharu juga boleh menyesuaikan dengan permukaan jalan secara automatik untuk cengkaman yang terbaik. Pada masa yang sama, ia mempunyai dua mod pemanduan iaitu:
- Smooth Driving – Normal, Sport, Slippery
- Off-Road Driving Mode – Rock, Sand, Crawl, Baja
Selain itu, Raptor baharu ada sistem Trail Control yang mana ciri off-road ini berupaya menggerak dan membrek kenderaan secara sendiri di bawah 32 km/j. Pemandu kiranya perlu mengawal roda stereng sahaja.
Dari segi estetik, Raptor 2022 ini kekal dengan tulisan ‘FORD’ pada bahagian gril dan rupa parasnya lengkap dengan rim 17 inci yang berbalut tayar BF Goodrich All-Terrain.
Pada bahagian dalam, terdapat sentuhan warna oren yang mana Ford memanggilnya sebagai ‘Code Orange’. Tempat duduknya turut diinspirasikan oleh jet pejuang tetapi keselesaan dan sokongan tetap menjadi keutamaan.
Antara ciri moden yang ada termasuklah sistem audio Bang & Olufsen dengan 8 pembesar suara dan skrin infotainment 12 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.
Juga baca: Kenapa kereta anda wajib ada Apple CarPlay dan Android Auto? Ini sebabnya
Buat masa ini, harga Ranger Raptor baharu masih belum diumumkan tetapi ia akan didedahkan pada masa yang akan datang.
Juga baca: Berbekalkan 224 PS & 550 Nm, Toyota Hilux GR Sport 2022 ialah buku kepada ruas si Ford Ranger Raptor