Harga Mercedes-Benz bakal jadi lebih murah di Malaysia - banyak model CKD baru akan tiba!
Haris · Feb 10, 2021 04:00 PM
Model AMG tidak akan dipasang secara tempatan namun ciri-ciri yang mirip akan ditawarkan untuk CKD
Mercedes-Benz Malaysia telah merancang untuk menambah beberapa model CKD di Malaysia pada tahun 2021. Antara model yang dijangka akan dipasang secara tempatan adalah model sedan A-Class, GLA dan GLE.
Mercedes-Benz A35 CBU
"Mercedes-Benz mensasarkan untuk menambah model CKD dengan penyesuaian setempat bagi model tambahan dalam segmen kereta kompak dan SUV tahun ini." menurut petikan dalam siaran media ketika pelancaran bilik pameran maya Mercedes-Benz.
Model Mercedes-Benz A200 Sedan Progressive Line
Rangkaian kereta kompak yang dimaksudkan merujuk kepada model berikut:
hatchback A-Class
hatchback B-Class
sedan A-Class
coupe CLA
SUV GLA
SUV GLB
Mercedes-Benz Malaysia tidak menyatakan secara spesifik mengenai model mana yang akan dipasang secara tempatan namun kita boleh menjangkakan beberapa model yang hampir pasti akan menjadi model CKD tersebut.
Melihat kepada landskap kompetitif dalam segmen mewah dan model yang mendapat sambutan hangat di sini, sedan A-Class, GLA dan GLE adalah calon yang paling sesuai untuk menerima pemasangan tempatan.
Walaupun hatchback A-Class lebih menepati ciri-ciri kereta kompak yang dimaksudkan, segmen mewah masih didominasi dengan sedan, diikuti oleh SUV. Hatchback A-Class murah yang diberi secara recond atau terpakai tidak dikira.
Hal ini juga berdasarkan strategi BMW yang mengubah model CKD mereka; sebelum ini hatchback 1-Series dan kini bertukar kepada Gran Coupe 2-Series. Model BMW 2 Series Gran Coupe adalah pesaing kepada model Mercedes-Benz A-Class.
Hanya pasaran Mexico dan China sahaja yang mempunyai model sedan BMW 1-Series.
Mengapa bukan model CLA yang menjadi CKD? Untuk menjawab persoalan tersebut, Mercedes-Benz Malaysia telah menggugurkan varian biasa bagi CLA dan hanya mengekalkan model Mercedes-Benz CLA 45 S AMG sahaja. Model CLA nampaknya tidak mendapat sambutan yang diharapkan.
Mercedes-Benz CLA 45 S AMG
Antara model sedan dan model coupe 4 pintu, potensi pasaran sudah tentu lebih cenderung ke arah sedan. Hal ini sangat penting bagi mana-mana projek CKD.
Mercedes-Benz GLA 200
Alasan bagi model GLA pula, lihat sahaja bagaimana BMW Malaysia memasang BMW X1 di Kulim, yang kini menjadi model terlaris dalam kelasnya. Mercedes-Benz tentu telah melihat peluang tersebut. Malah, model GLA juga telah dipasang di Thailand.
Model GLE juga dijangka akan mengikuti perancangan CKD tersebut. Hal ini kerana BMW X5 kini menguasai segmen SUV mewah pertengahan, malah 2 generasiBMW X5 sudah dipasang secara tempatan. Model GLC pula sudah dipasang secara tempatan justeru model GLE dilihat bakal menyusul.
Mercedes-Benz GLE 450
Seperti model GLA, model GLE juga telah dipasang di Thailand membuktikan bahawa model ini boleh menjadi model CKD di Malaysia.
Ketika ini, sedan A-Class generasi V177 (CBU) berharga dari RM 222,120 untuk model A200. Bergantung pada tempoh masa, model ini diimport sama ada dari kilang pemasangan Daimler-Nissan milik syarikat COMPAS (Cooperation Manufacturing Plant Aguascalientes) milik bersama di Aguascalientes, Mexico, atau kilang Rastatt milik Daimler di Jerman.
BMW 218i Gran Coupe
Sebagai perbandingan, BMW 218i Gran Coupe M Sport (CKD) kini dijual pada harga RM 211,367, termasuk pengecualian cukai jualan (sah sehingga 30 Jun 2021) ditambah dengan pakej jaminan dan perkhidmatan yang dilanjutkan.
Model Merc GLA generasi H247 (CBU) berharga dari RM 244,199 untuk model GLA 200. Model ini diimport dari kilang Rastatt. Sebagai perbandingan, model BMW X1 (CKD) dijual pada harga RM 208,368 untuk BMW X1 sDrive18i.
Model Merc GLE generasi V167 (CBU) dijual pada harga RM 584,720 untuk untuk model Mercedes-Benz GLE 450 AMG, diimport dari kilang Daimler Alabama di Amerika Syarikat. Persoalannya adakah GLE versi CKD akan menjadi hibrid plug-in seperti model BMW X5 45e di sini?
Model S-Class Long Wheelbase
Hal ini bermakna model S-Class dan E-Class terbaru akan dilancarkan bersama-sama model CKD yang disenaraikan tadi. Terdapat sekurang-kurangnya 5 model Mercedes-Benz dijangka akan dilancarkan pada tahun 2021.
Mercedes-Benz E-Class serba baru
Model Mercedes-Benz C-Class serba baru akan membuat debut dunia pada akhir bulan ini tetapi hanya akan mula dijual di Eropah pada akhir tahun 2021. Oleh itu, model tersebut dijangka tidak akan dilancarkan di Malaysia dalam tahun ini, walaupun model import sepenuhnya (CBU).
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.
Komen