Lampu hadapan halogen mula-mula diperkenalkan pada tahun 1962. Lampu hadapan LED pula muncul 46 tahun kemudian pada 2008 (Lexus). Resam kebanyakan teknologi baru, LED mula-mula diperkenalkan pada kereta-kereta premium sahaja. Penggunaan lampu LED kini boleh didapati pada varian-varian premium seperti Honda City dan Honda Civic. Lampu HID hanya ditawarkan pada beberapa kereta serba baru sahaja, oleh itu kita tidak akan bincangkannya dalam topik kali ini.
Jenama premium seperti Mercedes-Benz dan BMW menawarkan lampu hadapan LED sahaja pada semua model mereka di Malaysia. Perkara yang sama dilakukan untuk beberapa model premium di negara kita seperti Toyota Camry. Ada juga beberapa kejadian dimana lampu hadapan LED digunapakai pada seluruh barisan varian kereta mampu-milik seperti Perodua Myvi. Memandangkan lampu LED disambut dengan sangat baik kerana penggunaan tenaganya yang rendah serta penghasilan cahaya yang lebih terang, mungkin ada yang masih tertanya-tanya kenapa lampu hadapan halogen masih lagi digunakan?
Memandangkan ia sering ditawarkan pada varian yang lebih premium, persepsi umum terhadap kualiti lampu LED pastilah lebih baik berbanding lampu halogen. Beberapa peminat kereta juga menyatakan kekecewaan mereka terhadap kereta baru yang tidak didatangkan dengan lampu hadapan projektor LED.
Ada yang berkata lampu halogen sudah tidak perlu digunakan dan ia tidak sebagus LED. Apakah ada benarnya kenyataan ini? Kalau LED bagus sangat, kenapa kita masih gunakan lampu halogen pada kereta serba baru?
Untuk dapatkan jawapan yang betul, kita mestilah tanya soalan yang betul.
S: Adakah lampu LED betul-betul lebih terang berbanding halogen?
J: Ya, lampu LED lebih kurang 3 kali lebih terang berbanding lampu halogen. Lampu hadapan LED boleh menghasilkan 72 lumen/watt manakala lampu halogen hanya menjana sekitar 25 lumen/watt. Pendek kata; kurang tenaga, lebih terang.
S: Adakah penggunaan elektrik lampu LED lebih rendah?
J: Ya, seperti yang kami nyatakan di atas. Tapi, lampu LED selalunya dipasang sekali dengan kipas dan penyerap haba yang barangkali mengganti balik jumlah penjimatan tadi.
S: Lampu LED ada kipas? Betul ke?
J: Ya, beberapa jenis ada kipas. Berlainan dengan persepsi umum, lampu LED pun boleh jadi panas. Cuma bezanya ialah haba tertumpu pada pemancarnya.
Ada juga yang mempunyai kaedah pelepasan haba dari pemancar seperti ‘sinki’ haba berjalin yang mengeluarkan haba.
S: Apakah kebaikan lampu LED?
1. Ia menyala serta-merta apabila arus elektrik dipasang. Inilah sebabnya mengapa lampu LED mula-mula digunakan dalam lampu brek pada tahun 1992 oleh BMW dan terus-terusan digunakan hingga ke hari ini. Penyalaannya yang pantas sesuai digunakan untuk memberi amaran kepada pemandu lain dengan lebih pantas dalam situasi brek mengejut. Ia tiada kelewatan seperti mentol halogen.
2. Mentol LED jauh lebih kecil, membolehkan rekaan yang lebih pelbagai. Lampu LED membolehkan rekaan DRL yang lebih menarik pada kereta Audi dan juga pencahayaan dalaman kereta-kereta mewah.
3. Lampu LED menggunakan tenaga yang lebih rendah. Ia mungkin tidak berapa ketara bagi kereta dengan enjin 200 kuasa kuda, tapi ia amat berguna untuk kereta penuh-elektrik.
S: Apakah kekurangan lampu LED?
1. Lampu LED memerlukan ‘driver’ dan ada juga yang perlukan kipas. Ini menyebabkan pemasangan lampu hadapan kereta jadi lebih besar.
2. Lampu LED juga lebih tertumpu pada satu arah pancaran (pencahayaannya tidak meluas atau banyak arah). Oleh itu, pemasangan mentol LED pada posisi yang tidak tepat untuk menggantikan lampu halogen boleh menghasilkan pencahayaan yang kurang baik.
3. Lampu LED boleh menyebabkan silau dalam keadaan cuaca kurang baik.
S: Apakah kelebihan mentol halogen?
1. Ia lebih ringkas berbanding lampu LED. Ia tidak memerlukan ‘drivers’ dan sistem pelepasan haba.
2. Ia lebih murah berbanding lampu LED dan HID.
3. Dalam keadaan cuaca kurang baik, ia tidak menyebabkan silau berlebihan berbanding lampu LED kerana lampu halogen secara semulajadinya mempunyai tona yang lebih lembut. Jika anda mahu kurangkan silau dalam keadaan berkabus dengan lampu LED, pastikan anda pilih tona warna yang lebih lembut.
S: Apakah kekurangan lampu halogen?
J: Ia tidak secekap tenaga dan tidak seterang lampu LED. Selain daripada ini, ia berfungsi baik-baik saja.
S: Patutkah anda beli lampu hadapan LED ‘aftermarket’ atau yang di kedai-kedai?
J: Kalau nak, silakan. Tapi, anda mesti lakukannya dengan betul. Ada banyak pilihan lampu hadapan kereta LED di luar sana. Apa yang anda perlu lakukan ialah beli mentol LED yang menyerupai sumber cahaya mentol halogen.
S: Bagaimanakah caranya untuk menyerupai sumber cahaya?
J: Lampu LED yang bagus dan sama dengan halogen nampak seperti ini:
Lihat pada ketinggian sumber pencahayaan dari dasarnya dan unjuran cahayanya yang hampir sama.
Penggantian LED yang tidak elok nampak seperti ini:
Ketinggian dan corak sumber cahayanya berlainan. Ia tidak akan berfungsi dengan baik dengan rekaan asal unit lampu hadapan projektor.
Lampu LED yang menghasilkan corak pancaran yang sama dengan lampu halogen asal adalah satu aspek penting jika anda hendak menggantikan lampu hadapan halogen kereta anda kepada LED. Kalau silap buat, lampu hadapan anda samada akan menyilaukan pengguna jalanraya yang lain atau menyebabkan pandangan anda terjejas.
Jika anda tak dapat jumpa lampu LED yang menyerupai corak pancaran yang sama, kami sarankan anda untuk bersyukur sajalah dengan lampu halogen yang ada.
Secara ringkasnya, lampu LED memang lebih terang dan lebih cekap tenaga. Walaupun lampu LED lebih kecil saiznya, pemasangan lampu LED boleh memakan lebih banyak ruang untuk membolehkan pelepasan haba yang baik. Penjimatan tenaga yang diperolehi daripada penggunaan LED tidak banyak bezanya untuk kereta ICE.
Tak kiralah anda mahukan lampu kereta halogen atau LED, pastikan lampu anda tidak menyilaukan pengguna jalanraya lain. “Blinding Lights” memang lagu paling popular masa kini, tapi penulis cukup benci dan menyampah dengan lampu terlampau terang dari kereta lain. Lagi-lagi “kereta mewah” yang suka ‘high-beam’ pemandu hadapan di lorong kanan lebuhraya. Bahaya, dan jangan pentingkan diri sendiri.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.