Lexus UX terima kemaskini 2023: Bakal tiba di Malaysia dengan peningkatan keselamatan & prestasi
Faisal · May 21, 2022 06:00 PM
0
0
SUV kompak premium, Lexus UX telah menerima sedikit pembaharuan yang mana ia akan dirasmikan pada separuh kedua tahun ini.
Antara kemaskini yang Lexus terapkan adalah pada bahagian keselamatan, teknologi, prestasi dan sedikit pembaharuan kosmetik.
Peningkatan pemanduan
EPS terbaru pada Lexus UX.
Secara teknikal, enjin 2.0L NA (169 PS, 205 Nm) masih sama tetapi apa yang berbeza adalah kekuatan struktur badan crossover ini yang mana Lexus telah menambah kimpalan di lebih 20 kawasan. Selain itu, Lexus turut menaik taraf sistem stereng EPS, absorber dan komponen suspensi supaya pemanduan menjadi lebih mantap.
Pada masa yang sama, roda 18 inci jenis run-flat yang diguna tampil dengan paten tayar yang mengeluarkan kadar bunyi yang lebih rendah.
Lexus UX varian F Sport pula diperbaharui dengan penyerap hentakan jenis berprestasi tinggi dan Adaptive Variable Suspension (AVS). Varian ini juga dikemaskini dengan tempat keluar masuk dan perehat kaki jenis aluminium.
Lexus Safety Sense turut dinaik taraf
Lane Tracing Assist.
Seterusnya, Lexus turut memberi tumpuan kepada sistem keselamatan yang lebih menyeluruh. Sistem ADAS Lexus Safety Sense+ (LSS+) yang ada sebelum ini menyaksikan pembaharuan pada ciri Pre-Collision System yang mana ia kini boleh mengesan penunggang basikal dan pelintas jalan dalam suasana yang gelap. Tidak cukup dengan itu, kereta yang keluar dari simpang juga boleh dikesan.
Rangkaian sistem bantuan keselamatan ini juga menampilkan ciri Emergency Steering Assist. Dalam masa yang sama, jarak operasi Lane Tracing Assist (LTA) juga telah dipertingkatkan.
BSM pada Lexus UX turut berfungsi untuk bahagian belakang.
Di samping itu, sistem Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) yang ada juga kini boleh mengawal pecutan dan pemberhentian dengan lebih lancar.
Satu lagi pembaharuan untuk ADAS kali ini adalah ciri Emergency Driving Stop System. Teknologi ini akan mengeluarkan amaran bunyi dan membuat pemberhentian secara perlahan sampai pegun sekiranya pemandu didapati mengenakan input yang tidak responsif, contohnya seperti mengantuk atau tertidur. Selepas berhenti dengan selamat, kunci pintu akan dibuka supaya orang luar boleh membantu dengan lebih mudah.
Infotainment dan gadjet yang lebih moden
Lexus UX 2023 menampilkan fungsi Digital Key yang mana pemilik boleh menggunakan telefon mereka untuk mengunci atau menghidupkan kereta.
Pada masa yang sama, ciri kamera 360-darjah Panoramic View Monitor yang ada sebelum ini turut diperbaharui dengan kamera bawah yang membolehkan pemandu mengetahui permukaan jalan yang sedang dilalui.
Dalam pada itu, sistem infotainment Lexus UX juga dikemaskini dengan sistem pembaharuan perisian melalui Over The Air (OTA).
Bercakap mengenai ini, skrin 12.3 inci yang dipadankan juga telah direka semula dan ia sekarang lebih dekat dengan pemandu. Port USB di hadapan juga diperbaharui dengan jenis Type C.
Konklusi
Lexus UX 2023 akan tiba di Malaysia tetapi tarikh pelancarannya masih belum dapat dipastikan. Selama ini, Lexus UX di pasaran kita ditawarkan dengan harga seperti berikut:
UX 200 Urban - RM 237,191.00
UX 200 Luxury - RM 275,746.00
UX 200 F Sport - RM 291,082.50
Harga dengan diskaun SST, sah sehingga 30 Jun 2022
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.