7 SUV EV yang akan dilancar di Malaysia pada 2023: Toyota bZ4X, Smart #1, VW ID.4, dan banyak lagi!
Mersita · Dec 31, 2022 06:00 PM
Pasti ramai yang tak sabar menunggu kehadiran tahun baru 2023 kerana banyak SUV elektrik (EV) menarik yang akan dilancarkan di Malaysia pada tahun hadapan. Dalam entri kali ini, kami senaraikan beberapa SUV EV yang bakal menyusul di pasaran kita tak lama lagi dan mungkin anda sudah boleh buat persiapan yang sepatutnya…
BMW iX1
iX1 xDrive30 M Sport pasaran Eropah ditunjukkan
Pelengkap rangkaian elektrik BMW di Malaysia, iX1, akan didebut secara global seiring dengan BMW X1 serba baru pada Jun 2023.
Memandangkan rangkaian EV BMW kini sudah cukup lengkap, tak mustahil yang ia juga akan dilancarkan di negara kita.
Menguasakan BMW iX1 xDrive30 adalah sepasang motor elektrik – salah satu motornya di gandar hadapan dan satu lagi di belakang. Kedua-dua motor elektrik di dalam BMW iX1 xDrive30 menjana 200 kW, atau sehingga 230 kW (313 PS) dengan fungsi ‘boost’ sementara. Kadar tork maksimanya ialah 494 Nm.
BMW iX1 xDrive30 menyokong pengecasan AC pada kadar sehingga 11 kW, yang boleh dinaikkan jika mahu sehingga 22 kW (dengan AC tiga fasa). Dengan pengecasan pantas DC, iX1 boleh dicas semula pada kadar sehingga 130 kW.
Oleh itu, bateri 64.7 kWh-nya boleh dicas penuh dari 0-100% dalam masa 6.5 jam, atau dari 10-80% dalam masa hanya 29 minit.
Dengan cas bateri penuh, iX1 dikatakan boleh mencapai jarak perjalanan sehingga 438 km (berdasarkan kitaran WLTP).
Lexus UX 300e
Model yang sudahpun memasuki pasaran Thailand dan Indonesia ini merupakan salah satu BEV yang bakal tampil di pasaran Malaysia pada 2023 nanti – tak lain tak bukan, Lexus UC 300e.
Beberapa varian di pasaran negara lain dapat tempat duduk menarik ini. Berminat?
Bagi pasaran Indonesia, ia diimport (CBU) dari Jepun, dan seperti model-model Lexus lain yang dijual di sini, kita boleh jangkakan aturan yang sama. SUV elektrik sepenuhnya dengan pacuan roda hadapan ini dikuasakan oleh motor 203 PS/300 Nm.
Kuasanya datang dari pek bateri litium-ion 72.8 kWh (dinaiktaraf tahun lepas), yang boleh mencapai jarak perjalan sejauh 450 km pada kitaran WLTP. Apabila dicas menggunakan DC 50 kW, SUV ini hanya perlu 50 minit untuk mencapai 80% dari bateri kosong.
Nissan Ariya
Diperkenalkan buat julung kalinya pada 2021, Nissan Ariya boleh didapati dengan trenkuasa 2WD atau AWD (e-4ORCE) yang masing-masing menampilkan motor tunggal atau dwi-motor, serta dua pilihan bateri.
Varian bateri 65 kWh menawarkan jarak pemanduan maksima 450 km (2WD) manakala bateri lebih besar 90 kWh menawarkan pemanduan sejauh 610 km bagi model 2WD. Model-model AWD selalunya mempunyai jarak pemanduan 20-30 km lebih pendek, bergantung kepada varian.
Jika pengecas pantas DC 130 kW digunakan, Ariya boleh mencapai jarak 375 km setelah dicas selama 30 minit menggunakan format soket CHAdeMO Jepun. Pengecasan AC maksima berada pada kadar 7.2 kW.
Peugeot e-2008
Dibangunkan berdasarkan 2008 biasa, Peugeot e-2008 mempunyai kuasa 136 PS dan tork 260 Nm – dikuasakan oleh pek bateri 50 kWh.
Pada ujian kitaran WLTP, Peugeot mendakwa yang e-2008 menawarkan jarak pemanduan sehingga 345 km – lebih jauh berbanding Mazda MX-30 dan Hyundai Kona (e-Lite dan e-Plus).
Peugeot e-2008 mempunyai sambungan CCS Type 2 yang menyokong sehingga 100 kW untuk pengecas pantas DC. Jika pengecas DV digunakan, cas selama 30 minit membolehkan bateri mencapai kapasiti 80%.
Jika pengecas DC tiada, ‘trickle charging’ menggunakan wallbox single-phase 7.4 kW mengambil masa 8 jam untuk mengecas penuh e-2008 ini.
Smart #1
Sebagai EV pertama yang bakal dijual oleh Proton Edar, Smart #1 merupakan hasil pertama dalam usahasama Geely-Mercedes Benz. Nama kereta ini disebut sebagai "Hashtag One".
Model separa hatchback, separa SUV ini dibangunkan di atas platform Sustainable Experience Architecture (SEA) Geely – sama seperti Zeekr 001 dan Geely Radar RD6.
Ketiga-tiga varian Smart #1 dikuasakan oleh satu motor elektrik yang dipasang pada gandar belakangnya, menjana 272 PS dan 343 Nm. Motor elektrik ini dibekalkan kuasanya oleh pek bateri 66 kWh.
Jarak perjalanan yang boleh dicapai dengan cas penuh adalah antara 535 - 560 km, bergantung pada varian.
Pengecasan Smart #1 dilakukan menerusi kabel pengecas CCS Combo 2-type yang menyokong sehingga 22 kW bagi pengecasan AC dan 150 kW bagi pengecasan DC.
Pengecasan dari 5 – 80% mengambil masa 7.5 jam, manakala pengecas pantas hanya memerlukan 30 minit bagi kadar yang sama.
Toyota bZ4X
Model BEV pertama oleh Toyota bermula dengan SUV ini dan pada November lalu, ia didebut di dua negara jiran kita iaitu Thailand dan Indonesia pada minggu yang sama.
Kedua-dua pasaran ini menawarkan hanya satu varian bZ4X tapi dengan susun-atur yang berbeza. bZ4X pasaran Thai hanya ditawarkan dengan konfigurasi dwi-motor, pacuan 4 roda (AWD) manakala versi motor tunggal, pacuan roda hadapan (FWD) merupakan satu-satunya varian yang ditawarkan di Indonesia.
Motor tunggal bZ4X FWD menghasilkan 204 PS dan 266 Nm, manakala varian dwi-motor AWD menghasilkan kuasa gabungan 218 PS dan 337 Nm. Kedua-dua varian ini dipadatkan dengan pek bateri litium-ion 71.4 kWh dengan jarak pemanduan 500 km bagi varian FWD dan 411 km bagi AWD.
Bagaimanapun, kedua-dua varian ini menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW menerusi port Type 2 dan pengecasan DC sehingga 150 kW menerusi port CCS2.
Walaupun ketibaannya di Malaysia boleh dikatakan sudah sah (ibu pejabat UMWT sudahpun memasang pengecas pantas), varian mana satu dan harganya masih menjadi misteri. Tunggu sikit masa lagi…
VW ID.4
Dalam banyak-banyak model dalam senarai ini, Volkswagen ID.4 adalah yang paling sah dan sudah disaksikan di Malaysia ketika acara prebiunya berlangsung beberapa bulan lalu. Kita juga sudah disajikan dengan spesifikasi awalannya.
Model VW ID.4 kita bakal ditawarkan dalam varian tunggal iaitu Pro Performance, namun harganya masih belum dapat disahkan. Angka kuasanya cukup memuaskan; motor tunggalnya dipasang di bahagian belakang kereta menjana 204 PS/310 Nm dan boleh memecut SUV ini dari 0-100km/j dalam masa 8.5 saat.
Pek baterinya berkapasiti 77 kWh menawarkan jarak pemanduan 519 km (WLTP). Ia menyokong pengecasan AC 11 kW dan pengecasan pantas DC 125 kW yang mengambil masa 38 minit untuk dicas dari 5-80%.
Dijangka akan membanjiri jalan raya Malaysia bermula tahun hadapan
Ini dia, antara 7 SUV EV menarik yang bakal kita lihat menyusur di jalan raya kita tak lama lagi. Ini bukanlah bermaksud tiada model lain yang akan turut dilancarkan di sini kelak, namun setakat ini, inilah model-model yang sudah masuk barisan untuk pelancaran di Malaysia.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.
Komen