Panduan: Honda Accord G9 terpakai kini serendah RM 60k, penjimatan dengan ruang yang luas?

Haris · 2020-12-21 20:00:00

Honda Accord

Honda Accord sudah pun menjangkau 10 generasi di Malaysia. Kehadiran generasi baru ini menandakan bahawa generasi-generasi sebelumnya akan mengalami susut nilai yang sedikit mendadak.

Honda Accord generasi 9 facelift

Sebagai sebuah sedan segmen D, mungkin ramai yang tertanya-tanya adakah berbaloi untuk memilih sedan segmen D terpakai berbanding model sedan segmen B terbaru. Dengan harga yang lebih rendah, pemilik berpeluang memiliki ruang pada 2 segmen atas.

Oleh itu, mari kita periksa adakah berbaloi untuk mempertimbangkan Honda Accord terpakai, jika mampu.

Generasi Honda Accord

Honda Accord generasi ke 8

Honda Accord generasi ke 8 atau lebih dikenali sebagai model Accordana telah dilancarkan di Malaysia pada tahun 2008. Model ini sudah 12 tahun dalam pasaran justeru harganya boleh jatuh lebih rendah.

Walaubagaimanapun, pilihan kali ini lebih mengenai model Honda Accord generasi ke 9. Model ini dilancarkan di Malaysia pada tahun 2012 dan dijual selama 7 tahun sebelum kehadiran Honda Accord generasi ke 10.

Honda Accord generasi ke 9 didatangkan dalam 3 varian sahaja iaitu 2.0 VTi, 2.0 VTi-L Advance dan 2.4 VTi-L. Kesemua varian enjin dipadankan dengan transmisi 5 kelajuan.

Jangan khuatir kerana ia masih didatangkan dengan fungsi dan teknologi yang masih relevan sehingga kini seperti Vehicle Stability Assist (VSA), ABS, EBD dan ISOFIX. Jumlah beg udara yang ditawarkan hanyalah 2 untuk model 2.0L dan 4 (2 depan + sisi) untuk varian 2.4L.

Model 2.4 VTi-L menerima kemaskini kecil iaitu tambahan 6 beg udara pada tahun 2014.

Kesemua varian menerima facelift pada tahun 2016 di mana ciri-ciri kelengkapan dipertingkat seperti 6 beg udara untuk semua varian, Honda LaneWatch (varian 2.0 VTi-L), tempat duduk kuasa elektronik, sistem infotainment skrin sesentuh 7 inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

Masalah Honda Accord

Gambar oleh Apeng Impian

Antara masalah yang paling banyak dikemukakan oleh pemilik Honda Accord generasi 9 facelift adalah lampu siang DRL yang mudah rosak. Melihatkan model ini masih belum mencapai 5 tahun (ketika artikel ditulis), kebanyakannya masih boleh ditukar melalui warranti.

Masalah lain Honda Accord generasi ke 9 adalah masalah brek cakera. Masalah ini meliputi model generasi ke 9 awal. Apeng Impian Auto Service menyatakan bahawa masalah ini terjadi kerana cakera tercalar lalu memakan permukaan yang bergesel.

Gambar oleh MHN Auto Service

Untuk model yang sudah melebihi 5 tahun, periksa juga modul ABS yang menyala. Tips ini telah diberitahu oleh para pemilik sendiri. Cara memeriksanya adalah dengan menghidupkan dan memandu kereta dalam jarak yang sederhana.

Gambar oleh Greentea Workshop Muar

Terdapat juga masalah enjin bergegar, masalah rak stereng dan kebocoran air cond. Ini adalah masalah biasa dan mudah dibetulkan melalui bengkel-bengkel yang lebih pakar.

Banyak masalah, berbaloi ke?

Jika anda masih tertanya-tanya jika adakah sebuah sedan segmen D terpakai lebih berbaloi berbanding sedan segmen B baru, mungkin anda perlu lihat harga alat gantinya.

Gambar oleh XRAuto

Masalah pada lampu DRL nampak kecil tetapi sekiranya rosak, keseluruhan bahagian lampu perlu diubah. Kosnya adalah sebanyak RM 2,000 – RM 3,500 sepasang.

Penukaran rotor cakera brek adalah sekitar RM 300 tidak termasuk upah. Terdapat juga bengkel yang melakukan proses skim cakera brek untuk masalah brek cakera yang disebutkan sebentar tadi

Agak mudah untuk melihat kepada sisi masalah dan kekurangan Honda Accord tetapi harus diingatkan bahawa terdapat juga model Honda Accord yang baik. Apatah lagi, model ini kadangkala dibeli oleh syarikat dan pegawai kerajaan di mana kos-kos servis dan penjagaan bukan masalah.

Kesimpulan

Jika anda bernasib baik, mungkin anda ditawarkan model yang lebih terjaga. Misalnya, model-model yang dimiliki oleh syarikat dan mungkin penjawat awam.

Pada harga dalam lingkungan RM 40k – RM 80k, anda mungkin menerima sebuah sedan segmen D yang berbaloi berbanding model sedan segmen B atau C yang baru.

Namun harus diingatkan, anda bakal memelihara sebuah model sedan segmen D. Kos penyelenggaraan juga sedikit tinggi berbanding model yang lebih rendah.

Honda Accord generasi ke 9 menawarkan ruang yang lebih luas dengan perincian ditekankan pada aspek keselesaan dan kesenyapan kabin. Jika ruang dan keselesaan adalah perkara yang penting, mungkin Honda Accord ini boleh anda pertimbangkan.

Honda Accord gallery
Haris

Haris Penulis

Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.

Proton
Perodua
Honda
Toyota
Nissan
Mazda
Mercedes-Benz
BMW
Volvo
Ford
Hyundai
Kia