Yamaha Motor Malaysia meningkatkan penawaran terhadap 'Super Moped' terbaharunya, Yamaha Y16ZR dengan melancarkan edisi terhad Doxou yang dihasilkan secara terhad 5,000 unit seluruh negara.
Sebagai edisi terhad, harga yang ditawarkan bagi Yamaha Y16ZR Doxou Edition adalah RM 11, 688 asas tidak termasuk insuran dan yuran pendaftaran. Sebagai perbandingan, model Y16ZR 2021 ketika dilancarkan, Mac lalu ditawarkan pada harga RM 10,888.
Juga baca: Yamaha Y16ZR 2021 tiba di Malaysia - model baharu, 155 cc, harga RM 10,888!
Seperti varian Doxou yang lain, Yamaha Y16ZR Doxou Edition tampil dengan warna Matte Blue yang dominan di bahagian utama badan motor yang digabungkan dengan corak grafik menarik di beberapa bahagian panel.
Sebagai info, Doxou diambil daripada perkataan Jepun, 'Dokusou' yang bermaksud 'Menjadi kreatif dan mendahului orang lain.'
Juga baca: 5 sebab mengapa Yamaha Y16ZR (2021) bukan pengganti Y15ZR (V2) "Y-Suku"!
Meningkatkan lagi tahap ekslusif edisi terhad Doxou ini adalah pilihan warna pada rim dengan warna biru di rim depan dan merah di bahagian belakang.
Selain itu, setiap unit turut disertakan dengan pemberian ekslusif Doxou iaitu sijil penghargaan, visor sporty yang direka secara eksklusif berserta skru berwarna yang dicipta khas selain lencana edisi terhad Doxou.
Tiada perubahan dari sudut spesifikasi mekanikal dengan edisi terhad Doxou ini masih menggunakan enjin bersesaran 155 cc, 4 Lejang, 4 Injap, Penyejuk Cecair, SOHC dengan teknologi VVA yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan lengkap dengan klac (slip & assist).
Juga baca: Tunggang uji ringkas Yamaha Y16ZR 2021 - model baharu, 'Y16' supermoped dalam kelas tersendiri?
Kuasa yang dihasilkan adalah 17.7 Hp pada 9,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 8,000 rpm.
Ciri-ciri lain masih sama seperti Yamaha Y16ZR yang berada di pasaran tangki bahan api 5.4 liter, brek cakera depan 2 piston, lampu LED, meter digital LCD, sistem kunci pintar dan sebagainya.
Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries Berhad, Datuk Jim Khor berkata pihaknya yakin kehadiran edisi terhad ini akan menggembirakan peminat jenama berkenaan.
Juga baca: Enjin 155cc VVA, 6 gear, 17.7Hp, harga dari RM8,235, inilah Yamaha Exciter terbaru di Vietnam
Turut dilancarkan bersama motosikal berkenaan adalah siri pakaian bertemakan sukan Doxou yang turut boleh didapati secara dalam talian di Genblu Online Shop.
Sebagai tambahan, setiap pembelian turut menerima kunci cakera keselamatan bernilai RM 100 dengan Yamaha Y16ZR Doxou Editon ini akan berada di semua cawangan pengedar sah Yamaha seluruh negara bermula hari ini.