Ford Thailand baru sahaja melancarkan Ford Ranger FX4 Max 2021 iaitu sebuah trak pikap berinispirasikan Ford Ranger Raptor. Secara ringkas, model ini boleh juga dipanggil sebagai sebuah Ford Ranger Raptor bajet.
Kebanyakan daripada perincian yang berada pada Ford Ranger FX4 Max ini mempunyai elemen-elemen Ford Ranger Raptor. Paling ketara sekali adalah gril yang terpampang dengan tulisan FORD.
Ia juga mengenakan warna hitam pada bahagian gril tersebut meliputi beberapa bahagian kecil yang lain seperti pemegang pintu, bingkai tingkap sisi dan lambang pada bahagian fender.
Pada bahagian belakang, ia turut mengenakan palang sport dalam warna hitam pusam. Selain itu, ia turut mempunyai pepijak sisi (side step) besi untuk memanjat masuk ke dalam kabin.
Selain daripada kemasan visual sebentar tadi, Ford Ranger FX4 Max dilengkapi dengan sistem penyerap hentak FOX dan tayar BF Goodrich All-Terrain sama seperti Ford Ranger Raptor. Tayar yang sama turut diberikan sebagai tayar simpanan bersaiz penuh untuk kecemasan.
Apa yang berlainan dengan Ford Ranger Raptor termasuklah stiker grafik Raptor, brek cakera bahagian belakang dan pedal anjakan (paddle shifter).
Ford Ranger FX4 Max ditala oleh pusat kejuruteraan dan rekaan di Australia. Kesemua usaha ini tentunya berbaloi untuk menjual sebuah trak pikap di negara kedua terbesar dunia trak pikap.
Bercakap mengenai aspek subjektif, jarak kelegaan tanah adalah sebanyak 256 mm dan Ford turut mendakwa bahawa ia sudut tuju dan berlepas (approach and departure angle) adalah lebih baik berbanding Ford Ranger XLT.
Untuk prestasinya, Ford Ranger FX4 Max turut berkongsi enjin dengan Ford Ranger Raptor - enjin 2.0 liter bi-turbo (213 PS/500 Nm) yang dipadankan dengan transmisi 10 kelajuan automatik.
Jumlah bebanan yang boleh dibawa adalah sebanyak 981 kg dengan kapasiti tundaan adalah sebanyak 3,500 kg.
Ford Ranger FX4 Max ini tersedia dari kilang untuk aksi mencabar kerana ia dilengkapi dengan lapik kaki kalis cuaca dengan kerusi yang direka khas untuk model ini. Kerusi tersebut mempunyai perincian gentian karbon dengan baldu "Miko" dan jahitan lambang FX4 Max.
Ia juga dilengkapi dengan paparan infotainment SYNC3 8.0 inci dengan sokongan Apple CarPlay seperti model Raptor. Jika diperhatikan terdapat enam suis tambahan di atas paparan infotainment.
Suis ini membolehkan pemilik menyambung dan mengendalikan aksesori dan peralatan tambahan dengan mudah seperti lampu palang, winc dan lampu sorot. Kuasa dibekalkan oleh alternator 250-amp terbina dalam yang mengurangkan pergantungan kepada bateri trak biasa pada enjin.
Ford Ranger FX4 Max kini dijual di Thailand dengan harga THB 1,189,000 (RM 159,101). Harga ini adalah THB 510,000 (RM 68,243) lebih rendah berbanding Ford Ranger Raptor di sana.
Sementara itu, Malaysia baru sahaja tampil dengan varian khas Ford Ranger Raptor yang disebut Ranger Raptor X dengan warna merah.
Gambar diperolehi oleh AutoFun Thailand, laman sesawang automotif kerjasama Wapcar.my.
Bacaan lanjut:
Ford Ranger Raptor X Edisi Khas diperkenalkan – RM 6k untuk warna merah mak ngah, DVR Kenwood!
Ford Ranger serba baru: debut seawal tahun 2022, pembangunan kilang giat dijalankan
Ford Ranger Wildtrak 2021 – ‘Power Roller Shutter’, bagaimana ia berfungsi?