Nak pasang roof box dan roof rack - apa kelebihan dan kekurangannya?
Mersita · Mar 21, 2021 04:00 PM
0
0
Pernah lihat kereta yang ada rak dan kotak plastik di atas bumbungnya? Kotak bumbung (roof box) ini cukup berguna untuk meningkatkan kapasiti ruang simpanan di dalam kereta anda. Anda boleh pasang sendiri kotak bumbung ini ataupun pergi ke kedai aksesori jika anda malas nak pasang sendiri.
Jika ada merancang untuk memasang kotak bumbung, ada beberapa jenis pelekap bumbung (roof mounts) yang dipasang dari kilang kereta itu sendiri:
Rel yang dinaikkan (raised rails)
Rel jenis padat/padu (solid)
Titik pelekap tetap (fixed mounting points)
Tiada titik pelekap
Ada kereta yang didatangkan dengan titik pelekap rak bumbung, ada juga yang tiada langsung. Jika kereta anda didatangkan dengan titik pelekap ini dari kilang, pemasangan kotak bumbung akan jadi lebih mudah. Jika tiada, anda perlukan palang bumbung (roof rails) yang diapit pada bingkai pintu kereta anda.
Tak kisahlah jenis titik pelekap yang ada pada kereta anda – pastikan kotak bumbung dan palang bumbungnya dipasang dengan kukuh dan betul.
Dalam proses perancangan anda, pastikan anda periksa buku panduan pemilik kereta terlebih dahulu bagi memastikan jumlah berat yang boleh ditampung oleh bumbung kereta anda. Contohnya, Honda CR-V 2020 boleh menampung sehingga 75 kg berat di bumbungnya (termasuk berat kotak dan palang bumbung).
Beberapa model kereta tidak menyediakan maklumat ini dengan jelas di dalam buku panduan pemiliknya. Namun, secara tipikalnya berat yang boleh ditampung hanyalah sekitar 60 – 75 kg sahaja. Gunakan kotak bumbung ini untuk menyimpan barangan yang besar tapi ringan bagi memaksimakan penggunaannya. Letakkan barangan yang lebih berat di dalam kabin kereta anda terlebih dahulu.
Selain dari itu, kereta anda perlu dipandu dalam had kelajuan tertentu – selalunya sekitar 90 ke 140 km/jam.
Kotak bumbung ini ada kelebihan serta kekurangannya juga.
Kelebihan – Ruang tambahan tanpa perlu kereta besar
Selalunya, kita pilih kereta-kereta besar jika kita mahu bawa muatan lebih. Bagi kebanyakan pemandu, kita perlukan kapasiti tambahan ini hanya pada masa-masa tertentu – contohnya balik kampung atau pindah rumah. Bagi pengguna biasa, jarang sekali kita perlukan kereta besar untuk bawa muatan yang banyak.
Dengan adanya kotak bumbung, kapasiti tambahan ini boleh dipasang dan dicabut pada bila-bila masa dan ia membolehkan kita untuk menggunakan kereta bersaiz lebih kecil atau kereta yang lebih ‘sporty’ bagi kegunaan harian. Apabila anda perlukan ruang tambahan, pasang saja kotak bumbung. Bila dah tak diperlukan, cabut saja.
Di negara-negara luar, pemandu sampai memilih treler barang untuk memindahkan barang yang banyak. Ruang parkir yang biasa tak muat untuk treler; oleh itu kotak bumbung menjadi pilihan yang lebih praktikal.
Kekurangan – Meningkatkan penggunaan minyak
Kotak bumbung meningkatkan kawasan hadapan (frontal area) kereta anda – bermaksud lebih kawasan permukaan terkena/melanggar angin. Beberapa jenis kotak bumbung rekaannya lebih aerodinamik berbanding yang lain.
Oleh itu, luangkan masa untuk memilih opsyen yang ada sebelum anda teruskan pembelian. Namun, aerodinamik atau tidak kotak bumbung tersebut, ia masih akan memberi kesan negatif kepada aero kereta anda.
Kelebihan – Pengagihan berat yang bagus
Bergantung kepada kereta anda, berat yang boleh ditanggung bumbung kereta anda adalah berlainan. Contohnya, Honda CR-V boleh menampung berat 75 kg (termasuk berat kotak dan palang bumbung).
Apabila berbincang tentang pengagihan berat yang bagus, kotak bumbung dianggap lebih bagus dalam pengagihan berat kereta berbanding kotak kargo belakang yang dipasang pada bahagian belakang kereta atau di ‘tailgate’.
Berat kotak bumbung diagihkan antara tiang (pillar) A, B, dan C serta keempat-empat tayar kereta anda. Sebaliknya, kotak kargo belakang lebih membebankan roda belakang.
Kekurangan – Ketinggian tambahan
Apabila kotak bumbung dan/atau rak bumbung sudah dipasang, anda perlu periksa ketinggian baru kereta anda. Mungkin ada beberapa kawasan dengan had ketinggian tertentu yang sudah tidak muat untuk dibolosi kereta anda. Rancang dan sentiasa beringat-ingat ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tak diingini dari berlaku.
Kesimpulannya, tak salah jika anda mahukan kotak bumbung bagi kereta anda. Ia berguna untuk pengembaraan anda dan ia boleh dicabut bila-bila masa jika tidak digunakan. Kelebihan serta kekurangannya agak seimbang dan ada banyak pilihan yang boleh dibeli di pasaran. Cuma pastikan pemasangannya sempurna dan tidak melangkaui had ketinggian kawasan yang perlu dilalui.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.