Pengalaman pemilikan Perodua Ativa - berapa lama tunggu dari tempahan hingga keluar kereta?
Haris · Mar 25, 2021 11:59 AM
0
0
Jika anda mengikuti laman web atau saluran YouTube kami, anda tentu tahu bahawa kami baru saja membeli sebuah Perodua Ativa. Kami bukan pelanggan pertama yang menerima kereta ini tetapi cukup awal untuk orang ramai memerhatikan kereta ini di atas jalan raya.
Malah, salah seorang pembaca Wapcar.my turut bertanya soalan mengenai tempoh masa proses pembelian Perodua Ativa ini - dari proses tempahan, pembayaran dan penerimaan. Oleh itu, di sini kami kongsikan pengalaman membeli Perodua Ativa!
Disember 2020 – Projek bermula
Perodua Ativa sudah lama dinantikan oleh rakyat Malaysia. Justeru itu, projek pembelian Perodua Ativa ini telah dirancang seawal Disember 2020 lagi. Tahukah anda, Wapcar.my adalah portal automotif pertama yang melaporkan mengenai nama Ativa?
Pengalaman pemilikan jangka panjang pernah dilakukan oleh portal media lain justeru itu kami juga tidak boleh ketinggalan dalam mengikuti arus trend ini.
Apa yang akan membezakan kami dengan portal media lain adalah kami akan menceraikan komponen-komponen Perodua Ativa ini di penghujung pemilikan kami untuk memerhatikan kualiti pembinaan Perodua. Kami berharap ini akan dapat membungkam persepsi negatif generasi boomer dan X mengenai kualiti binaan kereta Malaysia "tin milo" secara keseluruhan. Ok boomer?
19 Februari – Tempahan dilakukan
Perodua Ativa dibuka untuk tempahan pada 19 Februari 2021. Lebih menarik lagi, ia sebenarnya dijadualkan untuk dibuka tempahan pada 16 Februari 2021 tetapi anda semua tahu model apa yang dilancarkan pada 18 Februari 2021?
Ya, Proton melancarkan model Edisi Istimewa (R3 dan Black Edition) pada 18 Februari 2021. Mungkin, bertujuan untuk mengurangkan hype pada Perodua Ativa, kalau Perodua Ativa dilancarkan sebelum itu. Apa pendapat anda?
Oleh hal yang demikian, Wapcar.my telah menempah Perodua Ativa pada 16 Februari, 3 hari lebih awal berbanding pengumuman.
Bayaran tempahan sebanyak RM 300 diberikan kepada Perodua Taman Maluri (Suasa Suria). Mahu layanan jualan terbaik Perodua? Apa kata lawat Perodua Taman Maluri dan beritahu penasihat jualan yang anda pembaca Wapcar.
24 Februari – Pandang pertama Perodua Ativa
Sebelum pelancaran Perodua Ativa, Perodua telah mengundang Wapcar untuk pratonton Perodua Ativa di HQ Rawang. Editor kami, Eric menjadi koresponden kami ke sana. Maklum balas dari beliau mudah, ini Perodua terbaik yang pernah dikeluarkan.
Ketika ini, kami juga sudah mengetahui tentang warna yang ditawarkan. Warna Pearl Delima Red kelihatan lebih gelap berbanding brosur manakala warna Cobalt Blue kelihatan seperti model Toyota RAV4 yang pernah kami cuba sebelum ini.
Walaupun warna Cobalt Blue menjadi idaman sesetengah daripada kru kami, warna Pearl Delima Red menjadi pilihan terakhir kerana ia datang dengan warna 2 tona pada bahagian bumbung.
3 March – Pelancaran Perodua Ativa
Perodua Ativa telah dilancarkan secara rasmi melalui majlis pelancaran maya. Apa yang lebih menarik dalam pelancaran ini adalah model Perodua Ativa sudah siap sedia ketika pelancaran ini dan pembeli boleh menerima unit pembelian pada keesokan harinya. Bagus tak?
11 Mac – Pembayaran
Kira-kira seminggu selepas pelancaran, kami diberitahu oleh Perodua Taman Maluri (Suasa Suria) bahawa kereta kami telah sedia dan pembayaran harus dilakukan. Kami membayar secara tunai justeru tiada perincian mengenai permohonan pinjaman yang dapat kami kongsikan.
Oleh kerana kami memilih varian AV dengan cat dua tona, Perodua Ativa ini berharga lebih sedikit dari RM 70k.
Perincian mengenai pembelian kami di sini:
Perincian pemilikan Perodua Ativa AV (RM)
Harga yang ditetapkan oleh kerajaan
70,025
Nombor plat
40
Standard Accessories Package
1,875
Cukai Jalan
20
Bayaran Pendaftaran
500
Premium Insurans
2,536.85
Jumlah
74,996.85
Menjelang keesokan harinya (12 Mac), kereta kami sudah didaftarkan dengan JPJ, tinggal nak ambil kereta sahaja.
Jika anda tertanya-tanya mengenai insurans kami, jenis kenderaan tersebut didaftarkan sebagai "kereta persendirian untuk kegunaan perniagaan" dan insurans disediakan untuk semua pemandu dengan risiko khas dan insurans cermin depan.
17 Mac - Siap untuk diambil
Pada 17 Mac, kami diberitahu bahawa Perodua Ativa kami sudah siap untuk diambil. Setelah menunggu selama sebulan, kami gembira dengan tahap servis yang ditawarkan dan akhirnya dapat memandu kereta kami sendiri pada keesokan harinya.
Ikuti akaun tiktok "Cik Tiva" bagi pembaca yang lebih muda untuk melihat sendiri pengalaman penggunaan kami dan aktiviti yang telah kami lakukan dengan Perodua Ativa ini.
Setakat artikel ini ditulis, proses 'run-in' telah dicapai dan servis pertama telah pun ditempah pada hari Jumaat ini untuk 1,000 km jarak perbatuan.
Perodua Ativa kami bakal menjadi pengalaman pemilikan jangka panjang Wapcar.my untuk tahun 2021. Pada akhir pemilikan ini adalah sesi meleraikan di mana kami akan meleraikan kereta ini (sebanyak mana yang kami boleh) dan berkongsi dengan anda mengenaik komponen dan kualiti binaan Perodua Ativa.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.