Rebiu: Honda City Hatchback 1.5 V 2022 di Malaysia – pesaing Yaris lebih tradisional, bukan hibrid
Mersita · Nov 28, 2021 08:00 PM
0
0
Dalam majlis previu media anjuran Honda Malaysia yang sama apabila kami diberi mencuba Honda City HatchbackRS e:HEV (rebiunya di sini), kami juga diberi peluang untuk memandu-uji Honda City Hatchback 1.5 V, varian bukan hibrid tertinggi.
Model ini belum lagi dilancarkan, oleh itu aspek-aspek seperti harga dan penggunaan minyak belum dapat disahkan sehinggalah pelancaran rasminya nanti.
Bagaimanakah prestasi enjin NA Honda City Hatchback?
Sama seperti yang ada di dalam jenis sedan, varian petrol bagi City Hatchback dikuasakan oleh enjin 1.5 liter ‘naturally aspirated’ biasa, manakala RS e:HEV disertakan dengan sistem hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) dwi-motor.
Komen yang boleh menggambarkan pengalaman memandu City sedan adalah lebih kurang sama dengan City Hatchback 1.5 V. Enjin NA di dalamnya cukup tangkas namun diperhalusi, dan kuasa kuda 121 PS serta tork 145 Nm adalah lebih dari mencukupi bagi pemanduan harian.
Enjin empat silinder ini memberi pacuan yang bagus dari posisi pegun, dan jika anda perlukan lebih kuasa pada kelajuan tinggi, ia cukup cemerlang dan memuaskan.
Walau bagaimanapun, pada kelajuan maksima, kotak gear automatik CVT-nya dan enjin akan menderum dengan kurang selesa, namun ini hanyalah akan terjadi apabila anda ‘lenjan’ atau memecut keras secara berterusan.
Apabila kereta tidak bergerak ataupun dipandu dengan lembut, kombinasi trenkuasa ini boleh memberikan anda pemanduan yang senyap, lancar dan selesa.
Pengendalian Honda City Hatchback lebih lincah daripada sedan
Satu aspek yang kami boleh rasakan serta-merta pada City Hatchback ini, jika dibandingkan dengan sedan, ialah pengendaliannya yang lebih tajam. Bahagian belakangnya yang lebih pendek memberikan karakter lebih lincah berbanding ‘abangnya’ yang berbentuk ‘three box’, dan ‘body roll’nya juga tidak begitu ketara di selekoh.
Selain daripada itu, memandangkan berat keseluruhan kereta ini 7 kg lebih ringan berbanding jenis sedan, City Hatchback amat sesuai bagi mereka yang mahukan pemanduan bersemangat.
Oleh itu, City Hatchback versi petrol terasa lain sedikit di selekoh berbanding RS, dan kualiti ini sedikit sebanyak dicapai oleh beratnya yang lebih rendah: ia tak perlu menampung bateri lithium-ion (Li-ion) di belakangnya yang memberi bebanan lebih.
Bagi ‘feel’ sterengnya pula, talaan Honda cukup mantap, dan City Hatchback mempunyai stereng dengan berat sempurna dan tidak membosankan. Maklumbalas stereng mencukupi, dan pemandu sentiasa sedar akan pergerakan sebenar tayar hadapan kereta.
Sekurang-kurangnya dalam kondisi atas trek yang serupa, peningkatan ketara boleh dilihat pada kereta ini berbanding Toyota Yaris. ‘Body roll’ Yaris terasa lebih ketara, manakala tindakbalas sterengnya lebih perlahan dan lebih berat.
Tiada ADAS, hanya ada LaneWatch
Memandangkan ini bukannya varian RS, City Hatchback 1.5 V tidak didatangkan sekali dengan kelengkapan ADAS Honda Sensing (setakat ini eksklusif untuk RS sahaja). Namun, ia masih disertakan dengan 6 beg udara dan Honda LaneWatch.
Walaupun tanpa Sensing, satu perincian yang sama dengan varian hibrid bagi City Hatchback ialah tempat duduk ULTRA.
Tempat duduk boleh-laras ini membolehkan anda melaras tempat duduk belakang dalam empat tetapan berbeza: Utility, Long, Tall, dan Refresh.
Sekurang-kurangnya dalam aspek ini, City Hatchback ada kelebihan berbanding pesaingnya.
Kesimpulan
City Hatchback 1.5 V meninggalkan kesan yang mendalam bagi kami – dengan pemanduan yang menyeronokkan, kelengkapan pelbagai, dan tempat duduk ULTRA yang mengagumkan.
Antara perkara penting yang ditunggu-tunggu kini ialah harganya. Setakat ini, mengikut pengalaman kami, Yaris patut menggeruni kedatangan City Hatchback. Sila nantikan rebiu penuh kami sejurus selepas kereta ini dilancarkan bagi memberikan anda pandangan dan penilaian lebih jelas dan teliti untuk Honda City Hatchback.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.