Kereta kontinental ataupun Eropah sering diagung-agungkan kerana ia lebih sedap untuk dipandu. Antara jenama yang sering disanjung oleh ramai ialah Volkswagen. Tetapi bagaimana pula dengan buatan Perancis seperti Peugeot?
Bagi anda yang belum tahu, kereta Peugeot cukup laris di serata Eropah. Seperti Volkswagen, ia juga dianggap sebagai kereta rakyat. Umumnya, ia boleh dianggap sebagai alternatif buat mereka yang lebih mementingkan gaya. Di Malaysia, antara kehangatan terawal buat jenama ini ialah Peugeot 308 generasi T7.
Untuk maklumat anda, Peugeot 308 adalah kereta jenis hatchback di segmen C. Sepanjang pengeluaran di Malaysia, ia didatangkan dengan versi 4 pintu (VTi & Turbo), 2 pintu (GT), dan convertible (CC). Secara keseluruhan, hatchback ini cukup selesa. Malah prestasinya juga agak baik. Sebagai kereta rakyat, harganya juga cukup berpatutan.
Dengan harga kini yang serendah RM 10k, adakah hatchback kontinental buatan Perancis ini berbaloi untuk dibeli? Mari kita lihat aspek penyelenggaraan terlebih dahulu.
Isu dan permasalahan
Kami merujuk pakar Peugeot di Manโs Geot Garage di Klang untuk mengetahui isu umum mengenai Peugeot 308 generasi T7.
Antara masalah yang sering dihadapi oleh pemilik ialah kegagalan transmisi automatik 4 kelajuan milik Porsche yang datang pada varian VTi. Solenoid valve besar pada gearbox ini sebenarnya mudah meragam. Penukarannya berharga sekitar RM 200 sebiji, bergantung pada bilangan valve yang terkesan. Sekiranya gearbox tidak boleh dipakai lagi, pemilik perlu mengeluarkan belanja sekitar RM 2,800 untuk unit yang lain.
Untuk varian Turbo yang dikemaskini dengan 6 kelajuan pula, tiada sebarang masalah gearbox yang pernah dilaporkan. Namun begitu, kerja overhaul yang memakan kos sekitar RM 3,000 โ RM 4,000 digalakkan setelah perbatuan kereta mencecah 110,000 km.
Mengenai enjin pula, varian VTi sering menghadapi masalah overheating. Perkara ini disebabkan oleh kegagalan thermostat. Anggaran kos untuk menggantikan komponen ini berada dalam lingkungan RM 350 - RM 400.
Varian Turbo, GT, dan CC pula hadir dengan enjin turbo PSA-BMW Prince yang cukup berlegenda. Namun begitu, enjin ini mempunyai beberapa isu. Antaranya seperti:
Masalah
Komponen yang terlibat
Kos pembaikan
Kehilangan kuasa
Turbo
RM 1,500
Bunyi kasar & bising
Timing chain sprocket
RM 1,850
Enjin mati tiba-tiba
High-pressure pump
RM 2,050
Makan minyak hitam
Valve seal + piston ring
RM 3,000
Mengenai masalah turbo, pakar Peugeot menyatakan bahawa enjin yang sama tidak mempunyai isu sedemikian pada kereta Citroen. Hal ini kerana rekaan ruang enjin pada Peugeot 308 tidak berapa ideal untuk pernafasan komponen turbo.
Bagaimana pula dengan kos servis?
Seperti kebanyakan kereta, selang perbatuan untuk melakukan servis adalah pada setiap 10,000 km. Sebagai kereta kontinental yang ringkas, harga servis dan penukaran komponen yang haus adalah sama seperti kereta buatan Jepun.
Model mana paling baik?
Kami syorkan anda untuk elak varian VTi kerana ia hanya ditawarkan dengan transmisi 4 kelajuan Porsche yang bermasalah. Keluaran awal buat varian Turbo juga menggunakan transmisi yang sama. Namun demikian, pada tahun 2010, varian Turbo dikemaskini dengan transmisi automatik 6 kelajuan dan penambahan kuasa sebanyak 16 PS.
Sekiranya boleh, kami juga sarankan model facelift (bermula Ogos 2012) kerana kebanyakan isu pada keluaran awal berkemungkinan telah pulih.
Pada masa yang sama, model facelift hadir dengan penambahan ciri seperti:
Penyaman udara automatik
Kawalan pelayaran & had laju
Sistem audio Peugeot World-In
USB & Bluetooth
Tingkap anti-sepit & kawalan sekali sentuh
Spoiler GTi
Tinjauan pasaran terpakai
Berdasarkan pasaran terkini, Peugeot 308 Turbo tahun 2013 boleh dibeli dengan harga serendah RM 20,000. Untuk pengetahuan anda, ia hadir dengan enjin 1.6L turbo (156 PS, 240 Nm tork) yang dipadankan dengan transmisi automatik 6 kelajuan.
Untuk anda yang meminati karakter hothatch, Peugeot 308 GT yang berpintu 2 cukup menggiurkan. Model ini hanya dijual pada keluaran awal generasi T7. Secara teknikal, ia hadir dengan enjin 1.6L turbo yang sama tetapi dengan kuasa sebanyak 175 PS. Malah ia turut datang dengan transmisi manual 6 kelajuan. Malangnya, hothatch yang cukup โrareโ ini sukar untuk dicari di pasaran terpakai.
Bagi mereka yang meminati gaya convertible pula, Peugeot 308 CC tahun 2011 boleh dibeli dengan harga serendah RM 55,000. Uniknya, varian yang serba gaya ini datang dengan ciri seperti:
Kerusi dan papan pemuka kulit
Lampu depan adaptif dengan fungsi cuci
Lampu belakang jenis LED
Kerusi depan elektronik (memori untuk pemandu)
Skrin infotainment yang boleh dilipat
Sistem bunyi JBL Hi-Fi dengan 10 pembesar suara & amplifier 240 watt
Model
Harga baru
Harga terpakai
Purata penurunan harga tahunan
Turbo (2013)
RM 121,888
RM 20,000
10.5%
CC (2011)
RM 186,888
RM 55,000
7%
Konklusi
Walau berada pada generasi terdahulu, Peugeot 308 T7 terpakai sesuai untuk mereka yang mempunyai citarasa kereta Eropah yang unik. Ditambah pula dengan harga pasaran yang begitu rendah, ia juga berbaloi untuk mereka yang tidak mahu berbelanja banyak untuk merasa pengalaman kereta kontinental ternama dari Perancis.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.