Rebiu: Mazda CX-8 2.2D High - SUV 7 penumpang yang lebih baik dari VW Tiguan R-Line?
Haris Β· Mar 7, 2021 02:00 PM
0
0
Tak banyak SUV 7 penumpang segmen D seperti Mazda CX-8 yang ada dalam pasaran Malaysia ini. Kebanyakannya jatuh di bawah segmen C malah pesaing terdekat model ini iaitu Volkswagen Tiguan Allspace juga dalam segmen C.
Walaubagaimanapun dengan harga mencecah RM 200,000, pembeli akan tetap membandingkan antara kedua-dua model tersebut. Ingat, segmen hanyalah panduan, keputusan tetap di tangan pembeli.
Kita semua sedia maklum tentang dinamik pemanduan SUV daripada Mazda. Adakah saiz memainkan peranan dalam pengalaman pemanduan Mazda? 5 penumpang memang makanan Mazda tapi bagaimana dengan 7 penumpang? Ini aspek yang akan kita kupas kali ini.
Secara holistik, Mazda CX-8 tampil sebagai sebuah SUV yang unik dalam kelasnya. Selain daripada ruang yang ditawarkan, Mazda CX-8 menawarkan reputasi Mazda baik dari segi kualiti binaan, ergonomik pemanduan, kuasa dan malah, servis selepas jualan.
Rekaan luar - Mirip Mazda CX-5
Mazda CX-8 berkongsi rekaan luar yang mirip dengan Mazda CX-5 tetapi berkongsi jarak antara tayar dan casis dengan Mazda CX-9. Model pertengahan ini adalah produk terbaik bagi mereka yang mencari titik pertengahan antara CX-5 dan CX-9.
Bergerak ke bahagian sisi, perbezaan antara Mazda CX-8 lebih ketara dengan Mazda CX-5. SUV ini jelas kelihatan lebih panjang dengan tingkap pada tiang C yang lebih besar, memberikan gambaran muatan 2 penumpang pada bahagian baris ketiga belakang.
Fungsi keyless entry dengan butang, bukan sensor
Pada bahagian hadapan, Mazda CX-8 dibezakan dengan Mazda CX-5 pada bahagian gril melintang yang kontra. Hal ini berbeza dengan gril hadapan Mazda CX-5 yang gelap seolah-olah hanya menampilkan logo Mazda pada kanvas hitam.
Pada bahagian belakang, terdapat jalur krom yang menyambungkan antara kedua-dua lampu belakang. Ini ternyata memberikan perbezaan antara Mazda CX-8 dengan Mazda CX-5. Selain dari itu, ia juga kelihatan sama kecuali pada saiz dan garisan badan.
Jika kualiti menjadi penilaian anda, Mazda CX-8 mencatatkan perbezaan 0.5 mm renggangan panel sahaja dengan ketebalan cat sekitar 80 micronmeter. Untuk konteks, perbezaan regangan bawah 1.5 mm dan ketebalan cat 100 micronmeter adalah dikira bagus.
Rekaan dalaman - masih Kodo
Pengaruh rekaan Kodo juga menonjol pada bahagian dalam. Atau dalam erti kata lain, ia sama sahaja dalam kebanyakan model Mazda. Atau dalam erti kata lain, bosan tetapi rekaan ini ada banyak kelebihannya.
Mazda CX-8 adalah model CKD namun ia masih mengekalkan ciri pemanas tempat duduk untuk pasaran eksport luar. Selain daripada perincian kecil tersebut, Mazda CX-8 dibaluti dengan kulit Nappa yang lembut dengan titik sentuhan yang disulami dengan plastik lembut, Tidak banyak plastik keras seperti yang anda jangkakan pada harga RM 200k.
Dalam varian 2.2D High (varian paling tinggi) ini, tempat duduk kedua menerima konfigurasi 'captain seat' justeru keseluruhan jumlah tempat duduk menjadi 6 sahaja. Konsol tengah baris kedua pula terasa selesa dengan balutan kulit dan ergonomi kedudukan yang baik.
Sebagai perbandingan, varian 2.5L Mid Plus meninggalkan kaviti pada bahagian tengah (hanya dilengkapi perehat lengan) bagi memudahkan pergerakan ke baris ketiga.
Hal ini bermakna, pada varian 2.2D High anda perlu melipat kerusi untuk bergerak ke baris belakang.
Tempat duduk baris kedua terasa sangat luas. Sebagai ukuran standard Wapca.my, jarak 3 bola tenis antara lutut dengan tempat duduk hadapan manakala 2 bola tenis bagi ruang atas kepala hingga bumbung.
Pelarasan kerusi baris kedua ini adalah maksimum ke belakang.
Ruang baris kedua
Selepas melaraskan kembali tempat duduk kedua pada jarak 25 cm dengan tempat duduk depan, pengulas mencuba baris ketiga. Dengan ketinggian 177 cm, hanya 1 bola tenis yang dimuatkan pada bahagian lutut manakala tiada bola tenis dapat dimuatkan pada bahagian atas kepala.
Ruang pada baris ketiga
Mazda sudah lama berfalsafah dengan skrin infotainment yang tidak boleh disentuh. Itu bukanlah masalah besar jika dibandingkan dengan resolusi dan saiz skrin infotainment yang kecil pada Mazda CX-8 ini. Pada hemat kami, ianya agak mengecewakan.
Jika kita memahami tujuan Mazda yang mahu pemandu kekal fokus atas jalan dan tidak melihat kepada skrin infotainment, ini adalah langkah yang baik. Namun ia masih suatu kekurangan yang sepatutnya mudah ditangani pada Mazda CX-8.
Kapasiti but adalah 209 liter dengan tempat duduk baris ketiga atau 775 liter jika dilipat.
Selain dari skrin sistem infotainment tersebut, tiada sebarang kekurangan pada Mazda CX-8 2.2 D High ini. Kesemuanya sangat memuaskan termasuklah praktikaliti ruangan but belakang.
Karakter Pemanduan - Tenang dan nyaman
Anda boleh menjangkakan ergonomik pemanduan Mazda di sini. Maksud kami adalah pelarasan tempat duduk dan stereng yang fleksibel untuk saiz pelbagai mahupun posisi stereng dan pedal yang tepat.
Jika anda memerhatikan posisi stereng dan pedal pada SUV lain, lebih-lebih lagi model yang ditukarkan dari pemanduan sebelah kiri (RHD), kadang-kadang ia sedikit tersasar dari bahagian tengah.
Dan inilah kekuatan Mazda yang biasa kita rasai. Kesemua perincian kecil seperti kalibrasi brek dan pedal minyak yang progresif. Memandu Mazda CX-8 terasa selesa, ngam dan ergonomik.
Karakter pemanduan Mazda CX-8 terasa lebih matang di mana ia tidak terasa begitu melonjak dengan tork diesel. Ia dikalibrasikan dengan karakter yang lebih relaks malah stereng juga tidak terasa jitu ketika membelok.
Secara peribadi, karakter ini sangat sesuai dengan saiz Mazda CX-8 dengan teknologi GVC+ yang membantu mengurangkan oleng badan (body roll) sebuah SUV.
Seperti yang ditekankan sebelum ini, tiada lonjakan tork yang dirasai kerana enjin 2.2 liter diesel Skyactive memberikan output tork yang lebih progresif.
Hal ini lebih mudah diterjemahkan pada ujian pecutan 0-100 km/j yang mencatatkan masa sebanyak 9.5 saat.
Jika anda masih baru dengan Mazda, tugas brek memerlukan sedikit usaha tetapi masih selari dengan jarak brek dengan lantai kereta. Ia tidak menjadi masalah dalam pandu uji malah dengan 6 penumpang ia dijangka mampu melakukan tugasnya.
Keselesaan Pemanduan - Sedikit berbuai
Dengan berat sebanyak 1.9 tan dan jarak antara roda hampir sepanjang 3 meter, Mazda CX-8 terasa sedikit berbuai apabila dikenakan pada latar jalan yang tidak rata. Walaubagaimanapun, ia tetap menyerap sebarang alunan tersebut dengan selesa.
Dalam trafik bandar, ia juga tidak terasa lambat - hanya cukup untuk menggerakkannya menepati dengan objektif sebuah SUV. Tidak laju dan tidak perlahan. Cukup-vukup sahaja. Sesetengah SUV memang terasa lelah kuasa dalam trafik bandar.
Terdapat pelarasan lumbar pada kerusi pemandu. Sokongan kerusi tidaklah begitu empuk namun masih selesa secara keseluruhan. Kusyen belakang turut dilenturkan mengikuti bentuk semula jadi tulang belakang manusia.
Tempat duduk baris kedua juga tidak kurang enaknya. Malah, ia dapat dibaringkan sehingga 40 darjah dengan tambahan sokongan bahagian peha. Sesuai untuk tidur dalam perjalanan yang panjang. Mungkin, lebih selesa berbanding MPV mewah.
Kerusi pada bahagian ketiga juga selesa, setaraf dengan Mitsubishi Xpander. Ia dilihat lebih bersepadu dengan keseluruhan kenderaan berbanding kerusi pada VW Tiguan Allspace yang terasa seperti tambahan sahaja.
Tingkap hadapan berlapis
Pada harga RM 200k, anda juga akan menerima tingkap yang dilapisi dengan agen peredam bunyi. Ini dapat diterjemahkan pada kelajuan 110 km/j, desibel meter kami mencatatkan purata 67 dB di mana Volkswagen Tiguan Allspace R-Line mencatatkan purata bacaan 68 dB.
Kadar penggunaan minyak - Diesel pun haus?
Selepas menempuhi perjalanan sejauh 95.9 km (lebuh raya 60:40 bandar), Mazda CX-8 memerlukan 8.77 liter untuk pengisian semula. Ini bermakna kadar penggunaan minyak adalah sekitar 9.1 liter / 100 km.
Pengulas hanya berseorangan ketika menguji kereta ini. Oleh yang demikian, jangkakan tahap penggunaan minyak yang lebih tinggi dengan 6 penumpang dan barangan tambahan.
Kesimpulan
Mazda CX-8 adalah sebuah SUV yang unik, terlalu unik sehinggakan perhatian kepada SUV ini mungkin hanya akan tiba sekiranya model Geely Okavango / Proton X90 hadir ke Malaysia.
Buat masa ini, Mazda CX-8 bersaing dengan VW Tiguan Allspace R-Line kerana status jenama luar dan harganya yang bersaing.
Apa yang model ini tawarkan adalah kelebihan karakter pemanduan, kemasan dalaman yang premium dan penggunaan yang lebih umum. Mewah mungkin lebih sinonim dengan Mazda CX-9 tetapi Mazda CX-8 menawarkan ciri premium pada harga yang lebih menarik.
Mampukah SUV ini menggantikan MPV? Ini bergantung kepada pembeli prospek yang sedang mempertimbangkan pasaran ini. Lagi pula, pada julat harga sekitar RM 200k, masih banyak pilihan yang ada dalam pasaran yang lebih menarik justeru menjelaskan mengapa Mazda CX-8 kurang mendapat perhatian massa.
Secara holistik, Mazda CX-8 adalah pilihan yang lebih matang berbanding VW Tiguan Allspace R-Line yang tampil dengan lencana 'sport'. Kedua-duanya mensasarkan prospek pembeli yang berlainan justeru pembeli yang manakah anda?
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.