Pengedar Daihatsu di Indonesia, PT Astra Daihatsu Motor sebentar tadi baru sahaja merasmikan Daihatsu Xenia 2022 serba baharu di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2021.
Alternatif yang lebih mampu milik kepada Toyota Avanza dan Veloz di pasaran Indonesia ini ditawarkan bermula harga 190.9 juta IDR (~RM 55.6k) ke 242.4 juta IDR (~RM 70.6k).
Juga baca: 2022 Toyota Avanza serba baharu - transmisi CVT, 'tarik depan', hadir ke Malaysia tahun 2022?
Eksterior
Secara umumnya, Daihatsu Xenia generasi baharu memperagakan bentuk ala SUV yang serupa dengan Avanza dimana kali ini ia tampil dengan imej yang moden dan sporty.
Apa yang membezakan di antara mereka adalah reka bentuk gril dan roda yang digunakan. Antara elemen yang ada ialah kehadiran lampu depan jenis LED dan bar lampu yang menyambungi kedua-dua lampu belakang.
Juga baca: Spyshot: 2022 Daihatsu Xenia beri bayangan Toyota Avanza yang lebih sporty?
Trenkuasa
Daihatsu Xenia serba baharu dikuasakan oleh enjin petrol 1NR-VE 1.3L (98 PS, 121 Nm) dan 2NR-VE 1.5L (106 PS, 136 Nm) yang sama seperti Avanza. Menjadi kembar kepada Avanza baru, kuasanya turut dihantar buat pertama kalinya ke roda hadapan melalui transmisi automatik baru jenis D-CVT. Apapun, pilihan transmisi manual 5 kelajuan turut ditawarkan buat varian bawah.
Bercakap mengenai baru, Daihatsu Xenia 2022 diasaskan oleh platform moden yang dikenal sebagai DNGA (Daihatsu New Global Architecture). Disebabkan itu, ia kini menggunakan casis jenis monocoque, menggantikan casis ladder frame sebelum ini.
Juga baca: Selamat tinggal transmisi 4AT, Perodua Alza generasi seterusnya bakal guna D-CVT Ativa!
Interior
Beralih ke bahagian dalam, Daihatsu Xenia baharu datang dengan pembaharuan sama seperti yang diterapkan pada Avanza 2022. Antara peningkatan yang paling ketara adalah penggunaan skrin infotainment jenis terapung (7 & 9 inci) dan ciri keyless entry & push start.
Antara ciri unik yang ada pada Xenia kali ini adalah penyaman udara jenis ioniser dan konfigurasi 'Sofa Mode' dimana tempat duduk di baris kedua dan ketiga boleh digabungkan menjadi satu ruang santai yang luas.
Keselamatan
Sebagai model baharu, Daihatsu Xenia 2022 diperbaharui dengan kawalan kestabilan dan pelbagai ciri bantuan keselamatan ADAS yang mana ia dirangkumi dalam teknologi yang dipanggil Daihatsu A.S.A (Advance Safety Assist). Antaranya termasuklah:
- Around View Monitor (kamera 360-darjah)
- Pre-Collision Warning & Braking (AEB)
- Pedal Misoperation Control
- Front Departure Alert
- Lane Departure Warning
- Lane Departure Prevention (Lane Keep Assist)
Juga baca: Perodua Alza generasi baru 2022 bakal hadir dengan 6 beg udara dan AEB
Kaitan dengan Perodua Alza baharu
Seperti yang anda sedia maklum, duo Avanza dan Xenia dikhabarkan ada kaitan dengan Perodua Alza generasi baru yang mana mereka berkongsi pembangunan yang sama.
Dengan berlangsungnya perasmian kedua-dua model, rakyat Malaysia pasti mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai Perodua Alza baharu yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi.
Juga baca: Perodua Alza 2022 dengan asas DNGA mungkin tiba akhir tahun ini juga!