Mitsubishi cantas Nissan dalam Top 5 jenama kereta Malaysia - jualan Xpander dan Triton laku keras!
Haris · Mar 2, 2022 08:00 PM
0
0
Mitsubishi Xpander pintas Honda BR-V
Mitsubishi Triton pintas Isuzu D-Max
Jualan naik 91 peratus
3 jenama besar kereta Jepun di Malaysia bukan lagi Toyota, Honda dan Nissan. Sehingga penghujung 2021, ia kini adalah Toyota, Honda dan Mitsubishi.
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengakhiri tahun 2021 dengan 17,489 kenderaan terjual. Angka tersebut hampir dua kali ganda melebihi prestasinya pada 2020, apabila MMM hanya sekadar menjual 9,163 unit.
Nissan, yang diwakili oleh Edaran Tan Chong Motor, mengakhiri tahun 2021 dengan 12,287 unit terjual, berbanding 14,160 unit pada 2020. Menariknya, Mitsubishi mempunyai kurang model dalam pasaran ketika ini (Xpander, Triton) berbanding Nissan (Almera, X-Trail, Serena dan Navara) tetapi masih mampu menarik lebih ramai pembeli.
Mitsubishi telah menghentikan penjualan 2 model pada tahun lepas justeru 2 model tersebut tidak memberi kelebihan besar dari segi jualan setahun penuh iaitu Mitsubishi ASX dan Outlander.
Kedua-dua ASX dan Outlander telah dihentikan, di mana Mitsubishi ASX 5 penumpang digugurkan lebih awal pada bulan April, manakala Mitsubishi Outlander 7 penumpang telah digugurkan sekitar November 2021.
MMM memberi kredit terhadap prestasi kukuhnya pada tahun 2021 kepada Mitsubishi Xpander, yang menjual 7,397 unit tahun lepas, menyumbang lebih 40 peratus daripada jualan syarikat tersebut.
Xpander kini menerajui jualan kenderaan 7 penumpang segmen B bukan nasional, memintas jenama kegemaran Honda BR-V.
Tidak dilupakan juga, Mitsubishi Triton juga mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan untuk trak pikap apabila perniagaan di Malaysia dibuka semula selepas PKP yang panjang. Jualan Triton meningkat 34 peratus tahun ke tahun.
Jualan kereta penumpang turun 5.9 peratus pada 2021, kepada 446,431 unit, tetapi jualan kenderaan komersial, termasuk trak pikap, meningkat 15.9 peratus, kepada 35,200 unit.
72 peratus jualan kenderaan komersial datang daripada trak pikap. Toyota Hilux mendahului dengan 18,340 unit, diikuti oleh Mitsubishi Triton (9,268 unit), dan Isuzu D-Max terjual 4,601 unit.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.