Honda HR-V generasi baharu - giliran menunggu 10 bulan, lebih mewah daripada Toyota Harrier?
Haris · Apr 3, 2021 02:00 PM
Honda HR-V serba baru, dikenali di Jepun sebagai Honda Vezel, akan mula dijual di sana pada 23-April 2021. Tinjuan awal daripada penjual mendapati bahawa model ini menerima banyak respons positif.
Varian spesifikasi paling tinggi iaitu Honda Vezel e: HEV Play, tampil premium dengan kabin dalaman berwarna dua tona. Malah, ia dikatakan menggunakan kemasan yang terasa lebih mahal daripada Toyota Harrier. Ini suatu pujian yang agak tinggi, memandangkan model Toyota Harrier adalah model mercu bagi Toyota.
Dengar macam sembang kencang seorang penjual? Mungkin, tetapi maklum balas tersebut diambil daripada pemilik media penerbitan Jepun, Creative Trend. Beliau juga memiliki sebuah Toyota Harrier generasi baharu - dengan platform TNGA.
Bukan itu sahaja, beliau sendiri telah memesan Honda Vezel terbaru tetapi untuk varian e: HEV Z yang lebih rendah.
Alasan mudah adalah disebabkan oleh permintaan untuk varian paling tinggi e: HEV Play terlalu tinggi. Hal ini menyebabkan giliran menunggu sehingga Januari 2022, 10 bulan dari sekarang.
Pada masa yang sama, model Honda Vezel varian rendah boleh diterima dalam tahun ini, itupun bermula Ogos 2021.
Kelewatan untuk varian e: HEV Play didakwa berkaitan dengan kekurangan bekalan komponen bahagian bumbung panorama yang unik ditambah pula dengan proses pengeluaran yang lebih kompleks untuk mendapatkan warna 2 tona. Kekurangan bekalan semikonduktor, khususnya untuk varian e: HEV Play, juga menambah kepada masalah sedia ada.
Honda Vezel akan disertai oleh Toyota Corolla Cross yang bakal dijual di Jepun pada suku ketiga (Q3) tahun 2021. Toyota masih belum mengesahkan sama ada Toyota Corolla Cross pasaran Jepun akan dibuat di Jepun atau diimport dari Thailand.
Ya, Malaysia telah menerima Toyota Corolla Cross lebih awal dari Jepun.
Kembali kepada Honda Vezel, nampaknya ia jelas disasarkan untuk menjadi produk kelas atasan, lebih canggih daripada Toyota Corolla Cross.
Sebelum ini, Honda HR-V (Honda Vezel) dikenali sebagai sebuah model yang sangat praktikal namun apabila Toyota turut membangunkan produk yang mensasarkan ciri yang sama, ini memaksa Honda untuk mensasarkan kumpulan pengguna yang berbeza.
Di rantau ini, Honda HR-V 2021 generasi baharu ini telah diintip di Thailand. Model ini dijangka akan dilancarkan di rantau ASEAN menjelang akhir tahun 2021 / awal 2022, berkemungkinan besar di Thailand International Motor Expo pada bulan November ini.
Apabila ia tiba di Malaysia, jangkakan harga yang sedikit mahal. Bahagian dalaman yang premium memerlukan kos tinggi dan struktur cukai kita mampu melonjakkan peningkatan RM 3,000 (kos kilang) menjadi kepada kenaikan sehingga RM 5,000 selepas cukai.
Hal ini kerana pengguna membayar cukai jualan yang dikenakan selepas duti eksais dimasukkan dalam harga jualan. Cukai di atas cukai.
Walaupun Honda HR-V generasi sekarang berharga antara RM 104k hingga RM 119k, harga tersebut akan jauh berubah apabila Honda HR-V generasi baharu tiba di Malaysia.
Sebagai rujukan, Honda CR-V yang lebih besar berharga antara RM 140k hingga RM 163k. Adakah harganya akan bertindih dengan HR-V baharu?
Oleh disebabkan itulah, terdapat desas-desus bahawa model baharu akan diperkenalkan, disasarkan di bawah Honda HR-V. Hal ini bertujuan untuk mengisi jurang harga yang ditinggalkan oleh Honda HR-V generasi sekarang.
Mengikut sumber kami, Honda WR-V adalah model yang paling sesuai untuk menggalas tugas tersebut. Honda WR-V generasi sekarang dijual di Brazil dan India di mana ia dijangka akan tampil dengan generasi baharu kelak.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.
Komen