Proton Exora: MPV luas kini serendah RM 14k, baloi angkat second hand?
Faisal · Dec 8, 2020 08:00 PM
Proton Exora merupakan MPV pertama buatan Malaysia. Walaupun ia adalah cubaan pertama oleh Proton untuk kereta jenis MPV, mereka membangunkannya terus sebagai sebuah MPV yang agak besar.
Ketika dilancarkan, ramai keluarga tertawan dengan pakej yang dimiliki oleh Proton Exora dimana ia mempunyai ruang yang cukup selesa dan praktikal di dalam pakej rekaan yang cukup kemas. Ditambah pula dengan talaan Ride & Handling oleh Proton, MPV ini memberikan kepuasan pemanduan dan keselesaan penumpang yang cukup memberangsangkan.
Oleh yang demikian, ia berada di pasaran dari tahun 2009 hingga sekarang kerana masih mendapat permintaan dan kekal relevan untuk keperluan keluarga di Malaysia.
Dengan harga kini yang serendah RM 14,000, adakah ia berbaloi untuk dibeli? Mari kita lihat dari aspek penyelenggaraan terlebih dahulu.
Isu dan permasalahan
Secara umumnya, Proton Exora tidak mudah meragam sekiranya dijaga dengan baik. Namun begitu, ia bukanlah tanpa sebarang isu.
Antara isu umum yang sering berlaku kepada pemilik Proton Exora ialah masalah gandar belakang (rear axle) yang menggunakan susunan torsion beam. Susunan yang tetap ini lama kelamaan memakan tayar belah dalam. Anggaran kos untuk menggantikan rear axle yang baru mencecah RM 1000.
Selain itu, pemilik sering melaporkan masalah bau petrol di dalam kabin. Menariknya, anda boleh menyelesaikannya sendiri dengan menggunakan silikon yang boleh didapati di kedai perkakasan hardware untuk menutup bahagian yang tidak kedap.
Antara permasalahan lain yang sering dihadapi oleh pemilik ialah amaran kegagalan gearbox yang sering menyala. Isu ini kebiasaanya disebabkan oleh minyak gearbox yang terlalu panas atau sudah habis kelikatannya.
Pada masa yang sama, sejumlah pengguna melaporkan enjin 1.6L turbo yang boleh terasa lemau, tidak berkuasa, dan bising setelah pusat servis Proton mengenakan rawatan enjin X1R. Sekiranya anda ke pusat servis, elakkan mereka daripada menggunakan rawatan enjin tersebut.
Bercakap mengenai enjin, kegagalan sistem turbo juga boleh berlaku dimana ia boleh memakan kos hampir RM 5,000. Sebagai langkah penjagaan, anda boleh meminta mekanik untuk periksa keadaan komponen ini setiap kali melakukan servis.
Seperti kereta biasa, selang perbatuan untuk melakukan servis adalah pada setiap 10,000 km. Sebagai sebuah model yang ringkas, ia mempunyai kos servis dan penyelenggaraan yang serupa dengan kereta Jepun.
Model tahun manakah paling baik?
Kami menyarankan pembeli untuk memilih model facelift dimana ia dikeluarkan pada tahun 2015 dan ke atas. Sebab ia adalah model facelift, maka kebanyakan isu pada keluaran awal berkemungkinan telah pulih.
Untuk memudahkan anda, kami juga mencadangkan model yang mempunyai transmisi automatik dan tidak dimodifikasikan untuk mengekalkan kualiti tulen.
Berdasarkan spesifikasi keseluruhan, Proton Exora facelift varian Premium tahun 2015 mempunyai kelengkapan kereta keluarga yang mencukupi seperti kerusi kulit, skrin multimedia DVD beserta Bluetooth, kamera undur, penyaman udara untuk setiap penumpang, dan kawalan pelayaran. Exora 'facelift' juga dilengkapi dengan kawalan kestabilan dan 4 beg udara sebagai standard.
Tinjauan pasaran terpakai
Untuk maklumat anda, model yang tidak mengenakan sebarang modifikasi agak berbaloi untuk dibeli sekiranya unit tersebut dijaga dengan baik. Berdasarkan pasaran terkini, Proton Exora Premium tahun 2016 boleh dimiliki serendah RM 28,000. Ia juga hadir dengan tren kuasa 1.6L turbo CFE (138 PS/205 Nm tork) dan transmisi CVT yang sama seperti model terkini.
Model
Harga baru
Harga terpakai
Purata penurunan harga tahunan
Exora Premium (2016)
RM 75,888
~RM 28,000
15%
Walau apapun, harus diingatkan bahawa harga yang tertera di dalam laman sesawang jualan kebiasaannya belum muktamad. Anda mungkin perlu menambah sejumlah wang untuk membayar beberapa cas tambahan yang diperlukan untuk menyerahkan hak milik kepada anda sepenuhnya.
Seperti mana-mana kereta terpakai, tiada kereta sama yang mempunyai keadaan yang serupa. Oleh itu, anda lebih digalakkan untuk membeli terus daripada pemilik untuk mengetahui keadaan asal kereta tersebut. Anda juga disarankan untuk memilih kereta yang mempunyai rekod servis yang penuh untuk mengelakkan diri daripada sebarang penipuan pada perbatuan (mileage). Untuk maklumat anda, rekod servis dan penyelenggaraan juga memudahkan anda untuk mengetahui sejarah penyelenggaraan kereta tersebut.
Seperti kereta terpakai yang lain, anda boleh memeriksa kali terakhir servis dilakukan untuk mengetahui rekod penjagaan dengan lebih terperinci seperti minyak hitam, minyak transmisi (gearbox), air radiator, dan minyak brek.
Selain itu, anda dinasihatkan untuk menguji pandu terlebih dahulu dan meneliti sama ada kereta tersebut pernah mengalami sebarang kerosakan kemalangan ataupun banjir.
Konklusi
Walaupun sudah 13 tahun berada di pasaran, Proton Exora masih sesuai untuk mereka yang mementingkan ruang yang selesa untuk 7 orang tanpa perlu berbelanja besar. Ditambah pula dengan Ride & Handling Proton yang cukup mengagumkan, Proton Exora adalah antara MPV segmen C yang paling sedap dan selesa untuk pemanduan jarak jauh. Ditambah pula dengan harga yang kini jauh lebih murah, mungkin ini masa yang sesuai untuk anda memilikinya.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.
Komen