Rebiu: Honda Civic 1.5 TC-P facelift, terbaik dari Corolla Altis dan Mazda 3?

Zamil Syaheer · Aug 13, 2020 08:00 PM

Honda Civic

Honda Civic antara salah satu nama yang terkenal di seluruh pelusuk dunia, setanding dengan nama pesaing utamanya yang tidak kurang lama juga bertapak di dalam dunia otomotif iaitu Toyota Corolla.

Kini dalam generasi kesepuluh, Honda Civic FC yang dilancarkan pada tahun 2016 di Malaysia berjaya memberi nafas baru kepada segmen C yang sedikit merudum akibat persaingan sengit dari pasaran SUV dan penawaran segmen B yang kian berkembang.

Dengan rekabentuk yang edgy dan garang berbanding generasi sebelumnya, tambahan pula enjin bercas turbo berseseran kecil, maka tidak hairanlah betapa banyaknya Civic FC di jalanraya kita.

Selepas lima tahun di pasaran, akhirnya Honda mengeluarkan model facelift bagi memberi sedikit nafas baru kepada sedan ini.

Eksterior

Kemas kini untuk Civic ini merubah sedikit bahagian di luar kereta. Di bahagian depan, gril sayap krom kini bewarna Hitam Piano, dan bumper telah direka semula dengan lubang-lubang di bahagian bawah yang bercantum bersama bahagian sisi lampu kabus. Juga terdapat empat sensor parking.

Di bahagian belakang, terdapat hiasan bumper belakang krom dan spoiler baru. Varian 1.5 TC-P yang kami pandu uji ini datang dengan rim aloi 18 inci baru dan dilengkapi tayar berprestasi Michelin Pilot Sport 4 berukuran 235/40. Bagi peminat pemanduan, ini bukan calang-calang tayar!

Untuk pengetahuan anda, varian 1.5 TC datang dengan rim 17 inci dan tayar siri 215/50, sementara varian terendah 1.8 S rim dilengkapi rim aloi bersaiz 16 inci dan dibalut tayar 215/55.

Terdapat lima warna bagi Civic FC – Lunar Silver Metallic, White Orchid Pearl, Modern Steel Metallic, Crystal Black Pearl dan warna baru seperti unit yang kami pandu uji ini, Passion Red Pearl.

Secara peribadi, saya sangat suka warna baru ini kerana ia menonjolkan elemen rekaan dan garis badan Civic FC.

Jika ada benda yang kami di WapCar tak suka, hanya satu sahaja – spoiler belakang. Ia hanya sekadar penambahan aksesori estetika dan tidak membantu dari segi penjimatan minyak mahupun aerodinamik kerana di bahagian tengahnya tiada lubang. Bahagian hujungnya juga terasa seperti mudah patah.

Jurang panel rata-rata kira-kira 4.5 mm dan menyimpang tidak lebih dari 1.0 mm dari setiap sisi. Ketebalan cat rata-rata pada 120 μm.

Interior

Kini terdapat butang fizikal dan tombol untuk kawalan kelantangan pada sistem infotainment Advanced Display Audio berukuran 7 inci. Terdapat juga butang kelajuan kipas pada panel kawalan iklim. Semua varian mendapat pengelap automatik dan tempat duduk belakang lipat boleh berpisah 60:40.

Kami sangat sukakan butang fizikal dan tombol kawalan kelantangan baru ini kerana ia membuatkan Civic lebih mesra pengguna berbanding sebelumnya.

Penambahan butang kelajuan kipas penghawa dingin fizikal itu juga adalah poin tambahan yang kami suka kerana tidak perlu lagi untuk mengakses kawalannya melalui skrin sesentuh.

Yang baru di bahagian dalam juga adalah rekaan fabrik baharu pada tempat duduk. Sebelihnya kekal sama seperti sebelum ini – masih lagi juara pratikaliti, ergonomik dan luas berbanding Toyota Corolla Altis dan Mazda 3.

Kualiti binaan agak kemas, semua panel dipasang baik dan tidak ada bunyi pelik yang terdengar di mana-mana bahagian kabin, sesuai dengan harganya.

Sistem infotaiment skrin sesentuh berukuran 7 inci lancar dan senang digunakan. Penyambungan ke Android Auto dan Apple CarPlay juga sangat mudah.

Kualiti pembesar suara juga agak baik, jauh lebih elok dari Corolla Altis dengan bunyi yang lunak dan bass yang padat.

Namun begitu. rekaan antara muka (UI) nampak sedikit kuno dan kurang tajam berbanding unit di dalam Corolla Altis mahupun Mazda 3.

Juga, tiada sistem navigasi didalam model facelift ini… takde hal lah, ramai je yang pakai Waze atau Google Map dekat telefon pintar.

But belakang kekal terbesar dalam kelasnya dengan 519 liter. Dengan tempat duduk belakang lipat boleh berpisah 60:40, lagi banyaklah barang yang anda boleh masuk.

Pengalaman pemanduan dan kawalan

Jika anda rasa facelift ini membuatkan Civic FC lebih berkuasa, maaflah kerana tiada perubahan apa-apapun kepada enjin 1.5 liter Earth Dreams VTEC 4 silinder bercas turbo yang menghasilkan 173 PS dan 220 Nm tork. Malah transmisi CVT masih lagi digunapakai. 

Masa 0-100 km/j kekal sama seperti dulu dengan masa 8.2 saat. Secara peribadinya, jumlah kuasa dan tork dari enjin 1.5 liter cukup untuk pemanduan harian.

Lagipun Civic FC ini memang paling berkuasa berbanding dua pencabarnya, jadi buat apa nak banyak-banyak?

Idaman para jejaka yang meminati Type R...slurps.

Jika anda nak laju lagi untuk menawan hati si gadis yang duduk disebelah anda, beli Civic Type R lah…

Yang paling penting sekali, Honda Civic FC kini datang dengan sistem ADAS Honda Sensing yang merangkumi: 

  • Adaptive Cruise Control with Low Speed Follow
  • Forward Collision Warning
  • Collision Mitigation Braking System
  • Lane Keep Assist System
  • Lane Departure Warning
  • Road Departure Mitigation
  • Auto High-Beam

Sistem Honda Sensing ini antara sistem bantuan pemanduan yang terbaik, setanding dengan Toyota Safety Sense (TSS). Dengan penambahan sistem ini, ia membuatkan pembelian Civic ini berbaloi-baloi.

Berbalik kepada pengalaman di belakang roda pula, saya membayangkan bahawa Civic ini akan menjadi sebuah kereta yang sangat sedap untuk dipandu memandangkan rupa eksteriornya sangat sporty dan garang, di tambah pula dengan ramai orang yang memilikinya. Tak kurang juga ramai yang menala model ini.

Sejujurnya, Civic terasa amat bosan untuk dipandu. Anda terkejut? Saya tidak menjangkakan Corolla Altis yang ditala khusus untuk tahap keselesaan berasa lebih seronok untuk dipandu berbanding Civic FC.

Mazda 3 memang tak payah cakap lebih…ia adalah sebuah kereta kegemaran ramai bagi kami di WapCar, bukan saya seorang sahaja.

Berbalik kepada Civic, sepanjang pengalaman saya memandunya, ia bukanlah sebuah kereta yang memberikan anda kepuasan pemanduan.

Ia terasa seperti sebuah mesin yang tiada jiwa mahupun karakter. Sterengnya mempunyai berat yang baik, namun anda tidak berasa ‘satu dengan kereta.’

Respon dari transmisi CVT-nya juga agak lembab berbanding pesaingnya, maklumlah kereta inipun keluar pada tahun 2016, jadi teknologi dan talaan CVT sudah jauh berkembang.

Dengan gandingan enjin turbo, CVT ini mengganggu input pecutan apabila anda ingin memecut, sekurang-kurang 3 ke 4 saat sebelum enjin dapat memacu Civic ke hadapan.

Selain itu, enjinnya terasa seperti sebuah enjin aspirasi natural dan bukannya turbo, dan mungkin ramai tidak menjangkakan respon sebegini.

Tayar Michelin Pilot Sports 4 dengan ukuran 235/40 adalah 10mm lebih lebar (225/40) berbanding Civic FC yang lama. Ini memberikan tahap kestabilan yang sangat tinggi ketika mengambil selekoh dan juga menyusur di lebuh raya.

Tambah pula, ia memberi perasaan konfiden dan rasa selamat kepada pemandu biasa, namun bagi peminat pemanduan anda akan merasa hampa kerana dinamik pemanduannya tidak memberi maklumbalas yang menarik.

Fungsi LaneWatch (kamera di bawah cermin sisi belah kiri) amatlah berguna untuk pemanduan harian. Walaupun kamera yang digunakan bukanlah tinggi kualitinya, ia jelas antara fungsi yang kami rasa patut dijadikan sebagai sebuah standard di Malaysia. Anda boleh melihat bahagian titik buta dengan jelas, siap garis pengukur jarak.

Brek pedalnya juga antara yang terbaik pernah kami rasa. Pedal terasa pejal dan tegap ketika dipijak, malah daya kekuatannya begitu kuat. Yang paling penting sekali, segala input ketika membrek adalah langsung, memberikan konfiden bahawa Civic FC ini akan berhenti mengikut perintah anda.

Tahap keselesaan

Ini antara salah satu aspek yang membuatkan Civic FC ini lebih selesa berbanding model lama – talaan penyerap hentak. Sebelum ini, ketika anda melalui jalan yang kurang cantik, penyerap hentak mengambil masa yang agak lama untuk naik semula ke posisi asal.

Ini memberikan rasa kurang enak, seolah-olah macam sistem gantungan kereta ‘tengelam’ sekejap.

Pada kelajuan lebuh raya juga, penyerap hentak Civic FC yang lama memberi perasan seperti anda sedang terapung, manakala ia sedikat berbuai ketika mengambil selekoh. Dengan model facelift ini, tiada lagi isu sebegini.

Kini, sistem penyerap hentak Civic FC facelift jauh lebih selesa untuk pemanduan di bandar mahupun lebuh raya, tetapi tidak boleh menang dengan talaan penyerap hentak Corolla Altis yang jauh lebih selesa.

Kabin Civic ini agak senyap dan jauh lebih baik daripada Corolla Altis. Ini memberikan perasaan nyaman dan meningkatkan lagi tahap kualiti keselesaan secara keseluruhan.

Tempat duduk depan agak lebar, sesuai untuk apa jua saiz pemandu. Kain kulit mempunyai tahap anti-slip yang baik, namun demikian ia tidak memegang pemandu dengan amat selesa dan erat berbanding Corolla Altis ataupun Mazda 3. Ketika mengambil selekoh, anda akan bergerak sedikit berbanding biasa.

Ruang di belakang luas dan jarak ruang di antara kepala juga boleh dikatakan memadai walaupun ia mempunyai garisan bumbung yang rendah. Ruang untuk lutut juga agak luas, namun tahap kelebaran bangku belakang ke paras lutus sedikit pendek, menganggu tahap keselesaan.

Span di tempat rehat kepala juga terlalu keras, paling keras kami pernah cuba. Ini terasa kurang enak. Yang baiknya, span di penyandar tempat duduk depan dan belakang terasa lebih mampat berbanding model sebelumnya.  

Tahap kecekapan bahan api

Setelah memandu sejauh 100 km yang meliputi 70% lebuh raya dan 30% pemanduan di bandar, jumlah bahan bakar yang diperlukan untuk mengisi tangki adalah 7.9 liter. Untuk perbandingan, Toyota Corolla Altis menggunakan 7.7 liter manakala Mazda 3 pula 7.6 liter.

Pendek kata, memang Civic ni betul jimat minyak seperti yang dijanjikan.

Konklusi

Dalam nada yang berbeza, saya faham kenapa Honda Civic FC ini mempunyai tarikan tersendiri kepada pemandu biasa walaupun saya terasa bosan ketika memandunya.

Reka bentuk luarannya garang dan edgy, ruang dalamannya sangatlah praktikal, ia boleh diharap untuk jangka masa yang panjang, dan tarikan lambang H dan VTEC itu membuatkan seorang itu terasa gah apabila memandunya. Bagi sesetengah individu, ia lambang yang mereka sudah berjaya.

Penambahan sistem ADAS Honda Sensing dan LaneWatch juga sangat berguna untuk pemanduan harian. Penalaan semula penyerap hentak yang lebih mantap, digandingkan pula dengan tayar Michelin Pilot Sport 4 menjadikan Civic sebuah kereta yang stabil dan selamat untuk dipandu harian.

Anda tidak perlu berasa ragu-ragu tentang bab ini.

Pendek cerita, jika anda inginkan sebuah sedan segmen B dari matahari negara terbit yang paling selesa, tidak kisah sangat pasal rupa kereta, dan inginkan tahap ketahanan serta boleh diharap pada jangka masa yang panjang, anda jauh lebih baik dengan Toyota Corolla Altis.

Jika anda suka memandu di jalan berliku pada hujung minggu, tidak kisah pasal praktikaliti dan inginkan pengalaman pemanduan yang terbaik, maka Mazda 3 lah jawapannya.

Akhir sekali, jika anda inginkan keseimbangan diantara rupa, tahap praktikaliti, keluasan ruang ergonomi, dan enjin yang paling berkuasa, pilihlah Honda Civic FC.

Komen

Berita Terkini

    Cek Lebih

    Model Terbaru