Honda Civic Hatchback 2022 – Apa yang ‘best’ & tak ‘best’, kali ini jadi masuk Malaysia?
Zamil Syaheer · Jul 11, 2021 02:00 PM
0
0
Setelah sebulan setengah Honda Civic (FE) 2022 sedan membuat debut global, Civic Hatchback pula dilancarkan pada bulan lepas. Ada banyak pertanyaan dari pembaca WapCar – BM tentang model ini, oleh itu jom kita bincangkan.
Apa yang baru dengan Civic Hatchback?
Sama seperti sedan, disebalik penampilan baru yang nampak lebih matang, Civic Hatchback juga menerima pelbagai naik taraf dari segi prestasi, keselamatan, dan teknologi.
Buat pertama kalinya dalam sejarah Civic Hatchback, model ini akan dihasilkan di kilang Honda Manufacturing of Indiana di Greensburg. Ini berikutan penutupan kilang Swindon, United Kingdom yang memasang Civic Hatchback (FK) generasi sebelumnya.
Honda Civic Hatchback ini lebih rendah, kurang lebar, dan pada masa yang sama lebih panjang daripada pendahulunya. Anda boleh lihat perbezaan dimensi dibawah:
Dimensi Honda Civic Hatchback 2022
Model
Civic HB serba baru
Civic FK
Panjang (mm)
4,549 (+30)
4,519
Lebar (mm)
1,801 (+3)
1,798
Tinggi (mm)
1,415 (-15)
1,430
Jarak Roda (mm)
2,736 (+36)
2,700
Perubahan dimensi lain termasuk tiang A yang digerakkan ke belakang sebanyak 50 mm (meningkatkan penglihatan depan menjadi 87 darjah, naik dari 84 darjah sebelumnya), dan jarak roda belakang yang 12.7 mm lebih lebar berbanding sebelumnya.
Di belakang pula, ada mekanisme engsel yang ditempatkan semula untuk bonet belakang yang mengurangkan ketinggian di kawasan engsel sebanyak 50 mm.
Senang cerita – sejibik macam sedan. Peningkatan terbesar oleh Civic Hatchback generasi ke-11 adalah penambahan 36 mm di ruang kaki belakang berbanding pendahulunya.
Ruang kepala 949 mm di bahagian belakang pula sama dengan Civic FK.
Sementara itu, bukaan but telah diperluas sebanyak 41 mm, memudahkan akses berguna ke boot yang luasnya 639 liter.
Apakah ciri yang ada pada Civic Hatchback?
Peyambungan Apple CarPlay dan Android Auto pada unit infotainment skrin sentuh berukuran 7 atau 9 inci adalah standard di seluruh varian Civic Hatchback.
Ciri-ciri yang bergantung pada varian termasuk kluster instrumen separa-digital 7-inci (varian paling tinggi di AS dan Jepun mendapat yang kluster 10.25 inci digital sepenuhnya), tempat duduk kain atau kulit ‘perforated’, dan juga pengecasan tanpa wayar Qi.
Bagi peminat pemanduan – Civic Hatchback masih lagi ditawarkan dengan transmisi manual 6-kelajuan. Bagi mana yang nak santai, ada pilihan transmisi automatik CVT.
Seperti barisan model Civic terdahulu, ia mengekalkan penggunaan pacuan roda depan. Terdapat tiga pilihan enjin – dua untuk AS, dan satu untuk Jepun:
Trenkuasa Honda Civic Hatchback 2022
Pasaran AS
1.5L, turbo 4-silinder
180 PS / 240 Nm
2.0L, NA 4-silinder
158 PS / 187 Nm
Pasaran Jepun
1.5L, turbo 4-silinder
182 PS / 240 Nm
Transmisi
CVT / Manual 6-kelajuan
Dari segi kawalan pemanduan pula, Honda mengatakan struktur badan baru memberikan peningkatan 19 peratus ketegaran torsi berbanding model sebelumnya. Struktur yang lebih keras menyokong peningkatan perjalanan, pengendalian dan penyempurnaan.
Bagaimana pula dengan Civic Type R?
Anda kena tunggu, sebab Honda Civic Type R hanya akan diperkenalkan pada tahun 2022.
Terdapat laporan mengatakan bahawa Honda mungkin akan memasangkan motor elektrik dengan enjin 2.0 liter 4-silinder berpengecas turbo K20C dari Civic Type R FK8, menjadikannya sebuah hibrid.
Bercakap pula tentang hibrid, katanya Honda akan memperkenalkan varian e:HEV (hibrid sepenuhnya) pada tahun depan.
Berapakah harga Civic Hatchback serba baru?
Setakat ini, Honda belum lagi mengumumkan harga Civic Hatchback. Tetapi seperti biasa, jangkakan harganya akan naik – maklumlah sedan pun dah mahal sikit.
Persoalan penting – masuk Malaysia ke tak?
Ampun 'gais' – jawapannya adalah TIDAK. Sifat pasaran automotif Malaysia (struktur cukai dan permintaan pengguna) tidak menyakinkan Honda Malaysia untuk melabur dalam Civic Hatchback.
Ini bermakna jiran kita di Thailand dan Indonesia akan kekal menjual model ini.
Pasaran Malaysia hanya akan mendapat Civic sedan. Ada kemungkinan ia akan dipratonton tahun ini, tetapi itu bergantung kepada keadaan pandemik Covid-19 di Malaysia.
Inilah dia, segalanya yang kami tahu tentang Honda Civic Hatchback yang telah kami rungkaikan. Jika anda berminat dengan topik sebegini, jangan risau – ada lagi! Tunggu ya!
More than 10 years experience, specialising in Motorsports, Advanced Driving, Event Management & Creative Design. He enjoys driving (drifting, actually) anything RWD with a proper LSD over the limit. Versatility is his motto and mantra.