Proton X50 baru sahaja dipertontonkan pada 15 September 2020 yang lalu. Menjelang 1 Oktober 2020, sasaran sebanyak 4,000 unit pengeluaran sebelum hujung tahun sudah pun dipenuhi.
Lebih menarik lagi, belum ada harga rasmi yang dikeluarkan untuk Proton X50 ini. Pembeli meletakkan yuran pendahuluan tidak mengetahui mengenai sebarang harga yang akan ditetapkan.
Begitulah hebatnya penangan Proton X50. Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Roslan Abdullah turut meluahkan rasa terkejut dengan sambutan yang diterima oleh Proton X50 pada sesi pandu uji media yang dijalankan semalam.
"Ia sesuatu yang baharu kepada PROTON. Kebiasaanya pelanggan hanya mengesahkan tempahan apabila melihat model yang ingin dibeli dengan mata dan kepala sendiri. Namun, situasi yang dihadapi kami untuk Proton X50 amat berlainan.
"Pelanggan langsung tidak pernah melihat apatah lagi menyentuh model ini di pusat pengedaran Proton di seluruh negara tetapi membuat tempahan hanya berdasarkan laporan media dan gambar yang tersebar di media sosial.
"Apa yang boleh diperkatakan mengenai model ini adalah sambutan hebat yang kami tidak pernah jangka. Namun, saya memohon maaf kerana tidak boleh mendedahkan jumlah sebenar tempahan tetapi ia melebihi sasaran jualan (4,000 unit) menjelang akhir tahun ini," katanya.
Majlis prebiu prestasi dan aktiviti pemanduan Proton X50 di Litar Sepang mendedahkan sedikit sebanyak ciri-ciri yang bakal dimiliki oleh Proton X50. Antara yang menjadi perhatian utama adalah aspek keselamatan dan fungsi bantuan parkir automatik.
Selain itu, Roslan turut mengumumkan bahawa pelanggan Proton bakal menerima pengecualian cukai sehingga Januari 2021. Sebagai rujukan, tempoh pengecualian cukai tersebut diumumkan tamat pada Disember 2020.
Sehubungan dengan itu, Roslan menjelaskan bahawa manfaat itu akan dinikmati pelanggan berdasarkan tarikh pengeluaran terakhir pada Disember.
"Bagaimanapun, PROTON akan memaklumkan kepada pelanggan sama ada mereka menikmati pengurangan harga dari pengecualian cukai atau sebaliknya ketika membuat tempahan memandangkan tempoh menunggu ketika ini sudah melebihi tiga bulan," katanya.
Sumber: Berita Harian
Mudah, dapatkan kereta yang dibeli dengan pantas!
2020 Proton X50 1.5T Standard
Upgrade
Add your car