2022 Toyota Veloz dilancarkan - dari RM 93k, pengganti Avanza kini jauh lebih premium!
Haris Β· Oct 18, 2022 08:00 PM
0
0
UMW Toyota Malaysia hari ini tampil dengan Toyota Veloz 2022, MPV 7-penumpang baharu dalam barisan produknya. Kehadiran Toyota Veloz 2022 sangat ditunggu-tunggu dalam pasaran MPV kerana faktor kebolehpercayaan dan jenama yang mempunyai peminat yang tegar di Malaysia.
Model Toyota Veloz nampaknya berjaya mengekalkan harga di bawah RM 100k namun dengan kelengkapan yang premium. Harga 2022 Toyota Veloz adalah seperti berikut:
2022 Toyota Veloz 1.5L - RM 93,174*
*Harga termasuk cukai SST, tanpa insurans
Sebagai model asas kepada Alza, βjantungβ Toyota Veloz tiada bezanya dengan apa yang ditawarkan pada Alza.
Enjin 4-silinder 1.5 liter aspirasi semulajadi Dual-VVTi (2NR-VE) dikekalkan dengan transmisi automatik jenis D-CVT. Terdapat 7 gear maya yang menyalurkan kesemua 106 PS pada 6,000 rpm dan tork 138 Nm pada 4,200 rpm kuasa pada roda hadapan.
Bergantung pada keperluan anda juga, Toyota juga menawarkan pemilih mod pemanduan, bermakna pemandu boleh bertukar antara mod Eco, Normal dan Sport.
Disasarkan sebagai model yang lebih premium, spesifikasi Toyota Veloz juga sedikit berbeza dengan Perodua Alza. Veloz menawarkan stereng teleskopik serta kelegaan tanah 190 mm, menghampiri Mitsubishi Xpander dengan 205 mm, tetapi lebih tinggi daripada 160 mm Alza.
Bahagian luaran 2022 Toyota Veloz lebih menonjol dengan rekaan gril trapezoid yang terbalik - bahagian yang lebih besar berada di bawah. Juga terdapat jalur krom yang bermula dari atas gril memanjang hingga ke lampu dan seterusnya melintasi sisi badan hingga ke bahagian belakang.
Toyota Veloz 2022 ini tentunya mengenakan perincian yang lebih menarik. Rupa premium ini disempurnakan oleh rim 17-inci berprofil 205/50 hadir dengan Toyo Proxes CR1 serta warna dua tona bumbung hitam untuk beberapa pilihan warna. Bahagian belakang juga kelihatan mirip Alza namun dibezakan dengan bumper bawah dengan rekaan gerigi.
Rel bumbung juga merupakan faktor yang membezakan antara Veloz dengan Alza. Untungnya di sini, ia bukan hanya sekadar menunjuk-nunjuk kerana ia boleh memegang sehingga 75 kg bebanan.
Bergerak ke bahagian dalaman pula, ia mendapat upholsteri kulit berwarna hitam dengan perincian berwarna putih. Bahagian berwarna putih memberikan perasaan ruang yang lebih luas.
Kerusi baris kedua dan ketiga mengenakan upholsteri semi kulit lembut, menawarkan ruang yang cukup sehingga 7-penumpang. Model Veloz nampaknya mengenakan rekaan konsol tengah yang mirip dengan Alza varian AV teratas.
Untuk ciri-ciri keselesaan pula, terdapat gugusan instrumen digital 7-inci dan sistem infotainmen 9-inci skrin sesentuh yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay nirwayar. Ini mungkin satu-satunya kenderaan bawah RM 100k dengan fungsi AA dan AC tanpa wayar.
3 port USB, 2 port pengecas 12V, corong penghawa dingin belakang, pengecas wayarles Qi 2.4 di atas kotak konsol tengah dan penyaman udara auto zon tunggal ditawarkan untuk mereka yang berada di hadapan. Menariknya, ia tidak mempunyai pilihan untuk menghalakan penyaman udara ke arah kaki.
Penyelesaian storan didatangkan dalam bentuk kapasiti but 498 liter (dengan tempat duduk baris ketiga dilipat), serta sejumlah 15 pemegang cawan - cukup untuk setiap penghuni membawa 2 cawan minuman.
Aspek keselamatan pula ditampung oleh ciri-ciri standard seperti 6 beg udara, 4 sensor tempat letak kereta (2 hadapan, 2 belakang), kawalan kestabilan kenderaan (VSC), kawalan cengkaman (TRC), kawalan daki bukit (HAC) dan brek ABS + EBD.
Suite ADAS Toyota Safety Sense pula menyenaraikan ciri-ciri seperti:
Pre-collision system (PCS)
Lane Departure Warning (LDW)
Lane Departure Prevention (LDP)
Lane Keeping Control (LKC)
Blind Spot Monitor with Rear Cross-Traffic Alert (BSM, RCTA)
Adaptive Cruise Control (ACC, kamera stereo)
Ciri keselamatan lain termasuk kamera pandangan panoramik (PVM atau 360-cam), Adaptive Driving Beam, Front Departure Alert, dan Pedal Misoperation Control.
Perakam video digital hadapan (DVR, atau dashcam) disertakan dengan harga jualan kereta, walaupun pelanggan boleh menambah yang kamera perakam belakang pada harga RM 380. Sistem Telematik Kenderaan (VTS) dengan pautan aplikasi Toyota turut disertakan dan didatangkan dengan langganan percuma selama 3 tahun.
Terdapat 5 pilihan warna sebagai pilihan iaitu Blue Metallic (bumbung hitam), Silver Metallic (bumbung hitam), Red Metallic, Metallic Bluish Black dan White.
UMW Toyota Malaysia menawarkan Toyota Veloz dengan waranti perbatuan 5 tahun/tanpa had sebagai standard. Pelanggan boleh menambah pakej penyelenggaraan Toyota Service Savers selain daripada itu, yang berharga RM 1,780 untuk pakej 3 tahun/60,000 km, atau RM 2,790 untuk meliputi 5 tahun/100,000 km.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.