2022 Toyota Vios D92A didedah - perasan tak komponen yang dikongsi bersama Perodua?
Haris Β· Jul 26, 2022 10:30 AM
0
0
Toyota Motor Thailand, tempat asal pembangunan model Toyota Vios telah mula mempromosikan video acah yang dipercayai model Toyota Vios D92A generasi baharu.
Model pembangunan kerjasama Toyota-Daihatsu-Perodua selalunya menggunakan kod nama yang bermula dengan huruf "D" misalnya D27A yang merujuk kepada Toyota Veloz - Daihatsu Xenia - Perodua Alza dan D55L yang menjadi Toyota Raize - Daihatsu Rocky - Perodua Ativa.
Oleh yang demikian, tidak keterlaluan sekiranya model 2022 Toyota Vios generasi baharu D92A ini mengambil sedikit sebanyak komponen yang dikongsikan dengan model Perodua. Malah, ramai yang mengakui sentuhan pereka Perodua dalam menghasilkan model kembar yang paling cantik antara 3 jenama tersebut.
Antara perincian perkongsian utama, Toyota Vios D92A akan berkongsi platform dengan model-model Perodua yang kini menggunakan platform DNGA sebagai asas.
Berdasarkan siluet bahagian luar, Toyota Vios D92A generasi keempat ini akan menawarkan lampu LED sepenuhnya depan dan belakang serta lampu siang DRL LED berbentuk L yang melingkari lampu utama.
Bergerak ke bahagian dalam, antara tumpuan mata tentunya pada bahagian kolum stereng. Mungkin ramai pengguna dapat mengenalpasti stereng yang sudah menjadi kebiasaan untuk rakyat Malaysia itu. Ya, ia adalah stereng Perodua Ativa.
Malah, unit kawalan iklim juga dilihat berkongsi bersama Toyota Raize (juga model pembangunan bersama Toyota-Daihatsu-Perodua). Di samping itu, unit skrin infotainmen dan tombol gear juga mungkin dikongsi bersama kembar SUV kompak itu.
Apa yang lebih menarik tentunya penggunaan warna kabin yang lebih 'berani' untuk standard Toyota yang membosankan. Warna merah baldu yang ditunjukkan bagi upholsteri kulit memberikan sentuhan mewah untuk sebuah sedan segmen-B mampu milik rakyat ASEAN.
Toyota Vios D92A juga dilaporkan bakal menampilkan enjin hibrid 3-silinder 1.5 liter aspirasi semula jadi dengan 2 motor (M15A-FXE) yang diambil daripada Toyota Yaris Cross, menjadikannya generasi pertama yang menawarkan enjin hibrid dalam 4 generasi Vios (termasuk generasi ini).
Pilihan enjin lain yang dijangka boleh digunakan termasuk enjin 4-silinder 1.2 liter untuk mematuhi peraturan Eco Car Thailand bagi mendapatkan cukai eksais yang lebih rendah, dan 4-silinder 1.5 liter aspirasi semula jadi 2NR-FE sedia ada.
Toyota Vios nampaknya bakal diposisikan dengan tema "kemewahan mampu milik" dengan rekaan-rekaan yang lebih eksekutif dan anggun, berdasarkan video acah yang ditampilkan. Jika dibandingkan daripada tingkap tiang-C yang diacah dengan model generasi ketiga sekarang, rekaan Toyota Vios juga akan lebih cenderung dengan bentuk badan separuh belakang yang lebih landai berbanding sedan 3-kotak konvensional dengan sudut tiang-C yang cerun.
Apa apa pun, ayuh sabar menanti tarikh 09 Ogos 2022 bagi menyaksikan dengan lebih dekat lagi apa yang bakal didedahkan oleh Toyota Vios D92A ini. Pelancaran Malaysia dijangka akan menyusul dalam tempoh masa beberapa bulan kemudian bagi menyesuaikan kilang pemasangan Toyota di Bukit Raja, Selangor untuk menghasilkan Toyota Vios 2022 CKD Malaysia.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.