COTY 2020: Saya nak kereta selesa! Nissan Almera 2020 atau Honda City 2020? Jom undi!
Mersita · Dec 18, 2020 07:00 PM
Apabila hendak menilai kereta, ada yang pentingkan prestasi enjin, ada juga yang pentingkan rupa bentuk berbanding hal-hal yang lain. Tapi, ramai juga yang menganggap kenderaan mereka sebagai ‘rumah kedua’ dan tempat di mana kita paling banyak luangkan masa seharian samada berseorangan atau dengan keluarga dan rakan-rakan.
Oleh itu, kali ini kami akan nilai secara terperinci tahap keselesaan antara dua sedan ‘panas’ tahun ini iaitu Nissan Almera 2020 dan Honda City 2020 - sebab kami nak bantu anda untuk buat pilihan undian Anugerah Kereta Terbaik tahun 2020 (COTY 2020) oleh WapCar! Undi kereta kegemaran anda dan dapatkan peluang menang hadiah istimewa! Pautan di hujung artikel.
Banyak yang boleh diperkatakan tentang senarai kelengkapan yang ada pada sedan segmen B terbaru Honda ini – ia sememangnya tidak ada kurangnya dalam aspek ini. Tapi kali ini kami akan fokuskan pada tahap keselesaannya dahulu.
Honda City 2020
Yang pastinya, ada perbezaan dari segi tren kuasa antara varian petrol standard dan varian tertingginya iaitu RS (akan dilancarkan pada Januari 2021). Perbezaan lanjut adalah seperti yang dihuraikan di bawah:
Spesifikasi Honda City 2020
Varian
Tren Kuasa
S, E, V
1.5 liter, 'naturally-aspirated', 4 silinder
121 PS / 145 Nm
CVT
RS (Pelancaran Januari 2021)
Enjin: 98 PS / 127 Nm
Motor: 108 PS / 253 Nm
e-CVT
Bagaimana tahap pemanduan City?
Kami baru-baru ini memandu-uji Honda City (varian V) selama beberapa hari dan kami dapati yang ia adalah pilihan sesuai sebagai kereta keluarga yang tangkas pemanduannya. Respon sterengnya terasa tajam, dan respon pemacuannya juga ada kesungguhan. Ia pastinya sebuah kereta yang sedap dipandu di jalan lurus mahupun yang berbengkang-bengkok sambil menawarkan pemanduan yang menyeronokkan.
Adakah ia cukup selesa untuk pemandu dan juga penumpang?
Peningkatan dapat dirasakan antara City baharu ini dengan model generasi sebelumnya (GM6). Keselesaan perjalanannya lebih lembut dari yang sebelumnya dan ‘suspension’nya juga menyerap hentakan dengan sangat-sangat bagus tanpa rasa membuai atau terlalu lembut.
Sebahagian daripada sebabnya ialah penyerap hentakannya disuntik dengan karakter kereta-kereta Eropah – pengalamannya serupa dengan Volkswagen Vento.
Ia juga dilengkapi salur penghawa dingin di belakang untuk keselesaan penumpang!
Kerusi kulitnya juga mempunyai sokongan yang bagus tanpa ada jurang tidak selesa antara dasar kerusi dengan peha anda (satu masalah yang kami dapati pada Proton X50 2020). Material kulit yang digunapakai untuk kerusinya juga memberikan pernafasan yang cukup dan ini bermaksud belakang badan anda tidak akan terasa begitu panas dan berpeluh dalam perjalanan jauh.
Penumpang di tempat duduk belakang juga akan dapat duduk dengan cukup selesa kerana kerusinya sama bagus dengan kerusi di hadapan.
Jika dirumuskan, tahap keselesaan pada City serba baru cukup bagus. Bunyi kabin direkodkan pada sekitar 70 dB pada kelajuan 110 km/jam. Ia lebih senyap berbanding yang dulu, tapi Vios (dan Almera) masih membawa saingannya untuk sedan ini.
Nissan Almera 2020
Almera serba baru dianggap sebagai model pemangkin bagi kenaikan semula Edaran Tan Chong Motor (ETCM) di dalam pasaran negara kita. Ia lebih mahal berbanding City, adakah ini bermaksud ia lebih bagus? Mungkin, kita teruskan membaca dulu…
Semua varian dikuasakan oleh enjin 1.0 liter berpengecas turbo 3 silinder yang menjana 100 PS dan 152 Nm. Ia cukup bagus untuk kegunaan harian dan torknya yang diaktifkan pada rpm cukup rendah (2,500 rpm) membuatkan memotong kenderaan lain satu perkara mudah.
Bagaimana pula pemanduan Almera?
Sifat pemanduan Almera lebih lembut berbanding Honda City. Memandangkan ia berpengecas turbo (City pula NA atau ‘naturally aspirated’), ia ada tork ‘low-end’ yang tinggi – cukup hebat untuk tabiat pemanduan di bandaraya dengan pecutan pantas apabila dikehendaki. Kekurangannya? Kuasanya ‘semput’ pada kelajuan 100 km/jam dan keatas.
Dari segi ‘suspension’ pula, ia lebih keras sedikit berbanding Toyota Vios. Tapi ini tidak bermaksud ia tidak selesa, jauh sekali – hentakan diserap dengan baik dan perjalanan dalam sedan ini sangat lancar. Penyerap hentakan Almera ditala dengan baik, memberikan pengalaman pemanduan seperti kereta Eropah seperti Honda City tadi.
Adakah Almera cukup selesa untuk pemandu dan penumpang?
Ia memang hebat. Kerusi ‘semi-bucket’ Zero Gravity (fabrik dalam varian VL asas, kulit dalam varian VLP/VLT) memang kena dengan gelarannya. Ia memeluk tubuh anda dengan baik, sokongannya hebat dan kusyennya empuk. Kerusi penumpang di belakang pun sama.
Tapi, ia tiada salur penghawa dingin di belakang.
Namun, ada beberapa rakan sejawat kami yang memberi komen tentang material kerusi kulitnya yang terasa terlalu sintetik – ia tidak begitu ‘bernafas’ dan boleh menyebabkan belakang badan berpeluh jika memandu di bawah cuaca terik. Satu perbezaan antara Almera dan City.
Material kedap-bunyi di dalam ruang enjin Almera.
Selain dari itu, Nissan memberi lebih perhatian kepada penghalusannya. ETCM berkata model pasaran kita mempunyai lebih pengedap bunyi berbanding model di Thailand. Hasil pemeriksaan kami dengan alat pengesan frekuensi membuktikannya; bunyi kabin Almera berada pada hanya 68 dB pada kelajuan 110 km/jam.
Hasil bacaan ini lebih bagus daripada Honda Accord yang berada dua segmen di atas Almera, dan ia juga memberi persaingan pada City yang mempunyai bacaan 70 dB pada kelajuan sama.
Kali ini, kami biarkan anda buat pilihan sendiri! Mana satu juara di hati anda – Honda City 2020 (RM 74,191 – RM 86,561 tanpa SST) ataupun Nissan Almera 2020 (RM 79,906 – RM 91,310 tanpa SST)? Anugerah Kereta Terbaik tahun 2020 (COTY 2020) oleh WapCar kini memberikan anda peluang untuk memilih kereta kegemaran anda. Tunggu apa lagi, undi sekarang!
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.
Komen