Nissan X-Trail, Nissan Sylphy dan Nissan Teana henti pengeluaran. Tidak lagi berminat?
Haris · Sep 10, 2020 11:59 AM
Berdasarkan laporan daripada Headlightmag, Nissan Motor Thailand telah menghantar notis kepada rangkaian pengedar mereka untuk berhenti menjual 3 model iaitu Nissan X-Trail, Nissan Sylphy dan Nissan Teana. Notis tersebut juga mengarahkan agar kesemua stok sedia ada dihabiskan ataupun ‘dihapuskan’.
Nissan e-Kicks, SUV hibrid mesra alam
Dalam notis tersebut, pihak Nissan Motor Thailand menegaskan bahawa Nissan sedang memberi tumpuan terhadap segmen kenderaan subkompak, MPV kompak, kenderaan komersial dan kenderaan mesra alam. Langkah tersebut lebih kepada strategi pasaran fokus dan bukannya disebabkan kekurangan permintaan terhadap model-model tersebut.
Selain daripada Thailand, Malaysia dan beberapa negara ASEAN lain turut terkesan daripada langkah ini. Hal ini kerana sebahagian besar pembekal kepada kelengkapan dan alat ganti ketiga-tiga model tersebut datang dari Thailand.
Nissan Sylphy generasi sebelum yang terjual di Malaysia juga telah diimport dari Thailand (CBU). Nissan Sylphy tidak lagi dijual di Malaysia pada ketika ini namun terdapat perancangan awal daripada Edaran Tan Chong Motors untuk membawa generasi terbaru Nissan Sylphy ke Malaysia. Nampaknya perancangan tersebut tidak dapat diteruskan.
ETCM mempunyai kilang pemasangan tempatan namun tidak diketahui sama ada langkah memasarkan 3 model tersebut adalah efektif dari segi kos. Pasaran Malaysia dilihat terlalu kecil untuk Nissan mengembangkan sayap mereka.
Selain daripada itu, pengguguran Nissan X-Trail juga kedengaran seperti kurang meyakinkan melihat kepada permintaan terhadap kenderaan SUV. Walaubagaimanapun, pasaran Thailand didominasi oleh SUV yang berasaskan trak seperti model Toyota Fortuner lalu menyaksikan SUV seperti Nissan X-Trail digugurkan.
Oleh hal yang demikian, Nissan telah pun mempunyai model Nissan Navara yang berasaskan trak pikap di Thailand. Hal ini terbukti apabila Nissan Navara terjual lebih banyak berbanding Nissan X-Trail justeru pengguguran model Nissan X-Trail lebih rasioanal.
Akhir sekali, Nissan bakal melancarkan model Nissan Proto-Z pada 15 September ini. Nissan Proto-Z dikatakan bakal menjadi model prestasi Nissan baharu dari legasi Z. Model prestasi adalah tunjang kekuatan Nissan selama ini. Adakah model Nissan Proto-Z ini akan mengembalikan Nissan ke landasan keuntungan selepas ini?
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.
Komen