![Spyshot: Toyota Harrier 2021 serba baru telah tiba di Malaysia, pelancaran sah 01]()
Setelah 9 bulan dijual di Jepun, Toyota Harrier serba baru akhirnya telah mendarat di Malaysia. Gambar intipan ini dikongsi oleh pembaca kami, VT, yang mengesan sebuah treler membawa 6 unit SUV berceloreng. Bahagian ‘C-pillar’ dan siluetnya jelas menampakkan Toyota Harrier 2021 berplatformkan TNGA-K.
![Spyshot: Toyota Harrier 2021 serba baru telah tiba di Malaysia, pelancaran sah 02]()
Harrier generasi terkini ini akan menggugurkan enjin 2.0 liter berpengecas turbo 4 silinder 8AR-FTS VVT-iW yang menguasakan model terdahulu. Ia akan diganti dengan enjin 2.0 liter Dynamic Force M20A-FKS beraspirasi natural (NA) 4 silinder yang mampu menjana 172 PS dan 203 Nm.
![Spyshot: Toyota Harrier 2021 serba baru telah tiba di Malaysia, pelancaran sah 01]()
Pilihan enjin 2.5 liter yang sama tapi dalam versi hibrid juga boleh didapati, iaitu enjin A25A-FXS yang menjana 218 PS. Kedua-dua enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik jenis CVT, dimana enjin hibrid itu jenis ‘gearset’ e-CVT planetari.
![Spyshot: Toyota Harrier 2021 serba baru telah tiba di Malaysia, pelancaran sah 02]()
Langkah dalam pengguguran enjin berpengecas turbo yang digantikan dengan jenis hibrid dan NA adalah satu keperluan memandangkan negara Jepun kini telah melaksanakan had pelepasan karbon dioksida bagi semua pengeluar kenderaan.
Malaysia, sebagai satu pasaran kecil, terpaksa menerima apa sahaja yang boleh didapati di Jepun.
![Spyshot: Toyota Harrier 2021 serba baru telah tiba di Malaysia, pelancaran sah 03]()
Berbeza dengan Harrier generasi terdahulu, Harrier yang berada di pasaran sekarang bukan lagi model khas untuk Jepun. Ia juga dijual di AS sebagai Toyota Venza yang hanya boleh didapati sebagai hibrid.
Memandangkan Harrier generasi sebelumnya berkongsi platform dengan Lexus NX (kaitannya dengan Lexus RX sudah terputus sejak sekian lama), Harrier terbaru ini akan berkongsi platform TNGA-K yang sama dengan Toyota Camry dan Toyota RAV4 – maksudnya pengendalian padu serta pemanduan yang lembut pasti ada.
![Spyshot: Toyota Harrier 2021 serba baru telah tiba di Malaysia, pelancaran sah 04]()
Sebagai model impot (CBU dari Jepun), Toyota Harrier ini tidak akan dijual dengan jumlah yang banyak. Namun, apa sahaja jumlah unit yang ditetapkan untuk Malaysia pastinya akan direbut dan habis dengan pantas.
Di Jepun, tempahan terkumpul dalam bulan pertama selepas Harrier dilancarkan adalah 15 kali lebih tinggi berbanding ramalan Toyota – 45,000 tempahan lawan sasaran jualan bulanannya iaitu 3,100 unit – dan ia mengakibatkan masa menunggu yang lama, namun kini sudah reda.
![Spyshot: Toyota Harrier 2021 serba baru telah tiba di Malaysia, pelancaran sah 05]()
Kami jangkakan yang Toyota Harrier akan dilancarkan di Malaysia sekitar bulan Mei atau Jun 2021.
Harrier generasi terdahulu kali terakhir dijual pada harga RM 234,000. Sila jangkakan yang harga model serba baru ini tidak jauh bezanya dengan harga lama.
![Spyshot: Toyota Harrier 2021 serba baru telah tiba di Malaysia, pelancaran sah 06]()
Walaupun ada perubahan kepada tetapan enjin NA yang lebih ringkas, enjin Dynamic Force sama moden – beroperasi pada 40 peratus kecekapan thermal, antara yang tertinggi bagi mana-mana enjin pembakaran (combustion engine). Rakyat Malaysia – dengan petrol bersubsidi yang murah dan tiada undang-undang pelepasan karbon atau cukai karbon – tidak dijangka untuk menghargai jenis enjin sebegini. Namun, inilah hala tuju bagi banyak negara di dunia masa kini.
![Spyshot: Toyota Harrier 2021 serba baru telah tiba di Malaysia, pelancaran sah 07]()
Lagipun, beberapa media Jepun mengatakan yang Harrier terbaru ini tidak lagi semewah dahulu, manakala Honda HR-V serba baru telah membuat perubahan ketara sehinggakan ruang kabinnya terasa lebih mahal berbanding Harrier.