Kenapa harga kereta berprestasi Jepun (JDM) 80an dan 90an tiba-tiba mahal?
Zamil Syaheer · Jan 16, 2021 06:00 PM
0
0
Baru-baru ini saya perhatikan banyak netizen Facebook riuh rendah tentang trend kereta berprestasi Jepun dari zaman 80an, 90an, sehingga awal tahun 2000 yang dijual dengan harga melebihi nilai sebenar.
Malah ada yang mencecah enam angka bagi casis bukan original model tetapi ‘convert’. Apa cerita?
Kalau lihat bahagian komen, mesti ada yang meninggalkan komen seperti “mahal tak kena gaya”, “tak berbaloi sebab ‘convert’”, ataupun “kereta dah lama pun harga neraka ke?”.
Secara peribadinya, saya bersetuju dengan komen-komen tersebut, tetapi ada sebab kenapa trend sebegini terjadi - “cause and effect”.
Faktor nostalgia
Perkara pertama yang menarik minat generasi millennial untuk membeli kereta impian mereka adalah faktor nostalgia. Macam kereta berprestasi Jepun, minat sebegini bermula melalui penubuhan Proton pada tahun 1983.
Tambahan pula, Proton sendiri aktif dalam sukan permotoran rali dan juga perlumbaan di sirkit, menggunakan komponen Mitsubishi Galant (ataupun Mirage) versi VR4 untuk Iswara/Saga versi rali dan kemudian Mitsubishi Lancer Evolution yang diolah menjadi Proton PERT.
Kemudian Perodua pula ditubuhkan pada tahun 1993, mengambil asas daripada pengeluar kereta kompak Jepun iaitu Daihatsu.
Selain daripada itu, konsol Sony PlayStation yang pertama juga membuka mata ramai orang tentang kereta berprestasi dari Jepun. Ingatkah anda tentang siri Gran Turismo yang dilancarkan pada tahun 1997?
Dikenali sebagai ‘game’ simulasi perlumbaan yang realistik, ia merupakan ‘game’ yang paling berjaya untuk konsol Sony PlayStation pertama dengan lebih dari 10 juta unit terjual.
Turut diambil kira adalah populariti cerita seperti siri francais Fast and Furious dan manga/anime Initial D serta 'game' siri Need For Speed, membuatkan ramai yang tertarik dengan kereta sebegini.
Dengan prestasi yang menakjubkan, rupa yang cantik, boleh diubahsuai, serta keupayaan kereta sebegini untuk mengalahkan supercar atau sportscar yang x3 atau x5 kali ganda mahal – maka tak hairanlah orang sanggup membayar harga yang tinggi.
Oleh itu, faktor nostalgia yang meninggalkan kesan yang mendalam terhadap kereta berprestasi Jepun kerana kereta ini sinonim dengan masa muda mereka dan mengembalikan lebih banyak kenangan daripada yang lain.
Inipun sama dengan golongan ‘baby boomer’ yang minat kereta seperti Mini Cooper,Volkswagen Beetle, dan juga Morris Minor. Lain zaman, sama minat.
Kereta sebegini direka pada kemuncak ekonomi Jepun
Saya rasa sudah tiba masanya orang menerima hakikat bahawa masa telah berlalu. Sebagai contoh, Mitsubishi tidak akan membuat sebarang jenis sportcar mahupun sports sedan buat masa sekarang kerana trend SUV sedang mendominasi pasaran global.
Ambil contoh sportscar Mitsubishi Eclipse yang kini diberi nafas baru sebagai sebuah SUV, termasuklah (kemungkinan) nama Lancer. Sayangnya.
Sebagai seorang peminat kereta tegar, saya sendiri pun memiliki Nissan Silvia S15 (adik kepada Nissan Skyline GT-R), dan pernah memandu beberapa kereta berprestasi dari Jepun dari zaman itu (dan sebelumnya).
Satu benda yang saya boleh nyatakan dengan yakin – kereta sebegini menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih ‘pure’, ‘raw’, dan lebih seronok berbanding kereta moden dengan pelbagai teknologi pada zaman sekarang.
Tetapi hakikat sebenar adalah kita bukan di zaman 80an, 90an mahupun awal 2000 lagi. Tidak banyak kereta berprestasi moden dari negara matahari terbit yang memberikan pengalaman pemanduan sedemikian.
Subaru juga masih lagi menyambung legasi Impreza (kini dikenali sebagai WRX STi), dan Nissan juga bakal menghasilkan Nissan Z yang baru. Pendek kata, permintaan untuk barang lama akan kekal. Kesannya, harga pasaran mesti akan naik.
Peningkatan AP kereta klasik daripada 25 ke 35 tahun
Pada 1 Julai 2018, kerajaan telah melaksanakan garis panduan baharu bagi pemohonan yang melibatkan kenderaan klasik yag diimport ke negara. Garis panduan ini dilihat telah meningkatkan keperluan usia kenderaan bagi lesen import (AP, atau approved permit) kereta klasik.
Peraturan baharu ini telah memberikan kesan terhadap pengimport dan pengumpul kereta klasik. Ini telah membantutkan proses import model ikonik Jepun.
Sebagai contoh, Nissan Fairlady Z (atau 300ZX) generasi keempat tidak layak untuk diimport menerusi AP kereta klasik dalam tempoh empat tahun akan datang.
Oleh sebab itu, peraturan ini sedikit sebanyak mengganggu harga kereta sebegini di Malaysia kerana bukan saja orang kita nak kereta berprestasi Jepun ini, tetapi banyak lagi orang di negara lain terutamanya Amerika Syarikat yang sangat gilakan kereta sebegini. Mana tahu, harga akan naik balik ataupun sebaliknya, seperti poin kami seterusnya iaitu…
Apabila harga pasaran menjunam
Tahun lepas, banyak pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga kereta Jepun berprestasi dengan niat untuk mengaut keuntungan maksima. Tetapi mereka perlu ingat, tidak semua model yang dijual itu mempunyai legasi, pengikut dan sejarah yang kuat.
Ambil contoh Mitsubishi GTO Twin Turbo keluaran tahun 1992. Kereta ini direka sebagai pesaing kepada Toyota Supra dan Nissan Skyline GT-R dengan pelbagai teknologi seperti aerodinamik aktif, stereng empat roda, dan penyerak hentak dikawal secara elektronik.
Namun sayangnya ia diperlekehkan kerana terlalu berat dan harganya mahal pada ketika itu. Tambahan pula, ia bukan begitu kompetitif di litar dan tidak selincah pesaingnya.
Sebelum trend kenaikan harga, Mitsubishi GTO boleh dibeli pada harga serendah RM 47,000 pada tahun 2017. Pada tahun 2020, ada pihak yang menjualnya pada harga RM 168,000.
Secara tidak langsung banyak pemilik atau peniaga terus melonjakkan harga kereta sportscar 'heavyweight' ini. Namun begitu tinjaun kami pada kali ini melihat banyak yang sudah menurunkan harga semula kerana tiada siapa yang nak beli.
Senang cerita, kalau pada harga RM 47,000 pun tiada orang nak beli, inikan harga enam angka, jadi boleh nampak sangat ramai yang mengikut trend "campak harga" dan bukannya berdasarkan nilai sebenar kereta ini.
Kesimpulannya
Jadi sekarang korang dah tahu kenapa banyak yang sanggup membelanjakan wang untuk memiliki kereta sebegini. Bila ada permintaan, maka adalah pasarannya. Apa-apa pun, ini semua terpulang kepada individu untuk menilai kerana lain orang lain pandangannya.
Pada mana yang mampu dan sanggup membelanjakan wang sebegitu banyak, mereka telah berjaya merealisasikan impian masa muda mereka. Saya sendiri pun sedang menyimpan wang untuk membeli sports sedan dari zaman itu.
More than 10 years experience, specialising in Motorsports, Advanced Driving, Event Management & Creative Design. He enjoys driving (drifting, actually) anything RWD with a proper LSD over the limit. Versatility is his motto and mantra.