Spekulasi: Toyota Yaris Cross 7-penumpang mungkin pengganti Rush/Aruz, hadir seawal Okt 2023!
Haris · Oct 11, 2022 08:00 PM
0
0
Toyota sedang berusaha untuk menggantikan SUV 7-penumpang Toyota Rush yang popular dengan model baharu kerana ia kini di penghujung kitaran hayat. Model yang menjadi spekulasi adalah Toyota Yaris Cross versi ASEAN yang akan tampil berbeza daripada model yang boleh didapati di Jepun, Eropah, Singapura dan Australia.
Walaupun sebelum ini maklumat hanya berkisarkan mengenai Toyota Yaris Cross baharu dengan platform DNGA (model Yaris Cross sekarang menggunakan platform TNGA), kini terdapat satu lagi informasi yang tertiris di mana "Yaris Cross" generasi baharu ini adalah model SUV 7-penumpang.
Sumber memberitahu penerbitan automotif Indonesia, OtoDriver, bahawa Yaris Cross yang memanjang ini sedang menjalani ujian di Nusantara dan berbeza sama sekali dengan Yaris Cross yang ada sekarang.
Platform DNGA juga tidak terlalu jauh untuk sebuah kenderaan 7-penumpang. Model trio Toyota Veloz - Daihatsu Xenia - Perodua Alza telah mempamerkan kebolehan platform ini dipasang dengan 7 tempat duduk dan ini tidak begitu jauh daripada keperluan pengganti Toyota Rush/Perodua Aruz.
Menurut OtoDriver lagi, sumber yang tidak mahu dikenali itu juga mendedahkan bahawa "Yaris Cross DNGA" generasi baharu akan mengekalkan enjin 1.5 liter aspirasi semula jadi yang sama seperti Toyota Rush sekarang. Unit enjin 1.5L 2NR-VE dual VVT-i (104 PS/136 Nm) akan terus setia dipasangkan dengan gandingan sama ada transmisi manual atau automatik D-CVT.
"Yaris Cross DNGA" 7-penumpang ini juga dikhabarkan akan dilancarkan seawal Oktober 2023 dengan susun atur pacuan roda hadapan (FWD). Walaupun kedengaran seperti bertindih segmen pasaran dengan trio MPV Veloz - Xenia - Aruz, syarikat konglomerat itu pastinya mempunyai kajian kukuh dengan penawaran produk ini.
Walaupun nama Rush mungkin akan dihentikan, Daihatsu dijangka akan mengekalkan nama Terios untuk generasi akan datang.
Masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada Perodua akan mengekalkan nama Aruz untuk model baharu berpotensi ini walaupun ia telah mendaftarkan tanda dagang beberapa nama sebelum ini termasuk Nexis dan Traz.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.